PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for Mac 2011


Hidangan makanan laut dalam resepi nasi kandar, “sotong masak nasi kandar” adalah paling digemari oleh pengemar makanan tempatan. Malangnya masakan sotong nasi kandar yang begitu murah satu masa dulu kini telah menjadi makanan untuk golongan mampu saja. Bukan sotong saja tetapi makanan seperti ikan bilis dan ikan sardin dalam tin tidak termampu oleh golongan pendapatan rendah. Minggu lepas Mamak Haji teringin nak masak sambal ikan masak sardin. Sardin dalam tin yang terbak adalah “cap Ayam” memang keenakan sos tomotonya tak terbanding dengan sardin dalam tin yang lain. Harga sekarang telah mencecah RM6.00 lebih..wow! terkejut Mamak kerana sardin dalam tin masa kecil-kecil adalah untuk golongan pendapatan rendah atau orang kampung yang sukar mendapatkan bekalan ikan air masin segar. Begitu juga dengan ikan bilis yang rangup dan boleh kunyah, sekilo sampai RM30.00. Bayangkanlah. Patutlah sambal ikan bilis dalam nasi lemak, ada peniaga cuma gunakan abuk dan kepala ikan bilis. Tak salah juga peniaga kita nak kekalkan nasi lemak sebungkus RM0.50. Manalah larat penjual itu. Kita tak bising harga barang naik tapi bising pasal nasi lemak dan roti canai harga naik. Yang mangsanya penjual dan ada pihak lepas tangan. Tak ada penjual saja-saa nak naik harga juadah makanan mereka kecuali ada sebab tertentu dan kadangkala terpaksa. Begitu juga dengan “sotong masak nasi kandar ini.  Yang penting anda kalau nak memesan sotong atau udang di restoren nasi kandar  perlu berhati-hati dengan harga.  Baik tanya harga dulu sebelum memesan kerana papan tanda harga di restoren nasi kandaryang tergantung itu, tidak akan ada tanda harga cuma  dengan perkataan, ” Harga Ikut Saiz”. Maka awas yea…!.

Kenapa menu nasi kandar sotong ini mahal?. Ada sebabnya yang kita perlu tahu tentang jenis sotong dan cara masakanya lain dari masakan biasa. Sotong untuk nasi Kandar bukan sebarang sotong. Biasanya Sotong untuk masakan nasi Kandar dipilih dari jenis, “sotong putih yang sarat berisi telur sotong”. Saiz pulak perlu diteliti biasanya yang sedang. Isi sotong putih biasanya tebal, lembut dan manis dari sotong yang jenis warna pink ( sotong yang berwarna merah adalah sotong ais dan sudah dua tau tiga kali disejukan dan boleh dikatakan sotong yang sudah lama). Sotong yang sarat punyai telur sotong, dipilih kerana bentuk asal sotong tidak akan ubah menjadi kempis (leper) bila masak dan telur sotong itu memberi rasa yang enak berlemak dan manis. Masalah sotong yang putih ini ialah, ia cuma ada pada musim-musim yang tertentu. Sekirnya anda ingin dapatkan sotong jenis ini perlu ke pasar basah awal pagi lagi kerana permintaannya tinggi. Di Pulau Pinang tak ada masalah dapatkan sotong jenis ini. Mamak Haji kurang arif tentang pasar di negeri lain. Mamak celoteh banyak sangat tentang sotong ini?. Macam biasalah, mamak haji bukan ingin cuma nak berikan resepi tetapi pemahaman tentang resepi perlu sebelum  kita masak sesuatu resipi. Kalaulah dikatakan inginkan resepi berpuluh ribu blog menulis resepi dalam internet atau beli saja buku resepi pasti hebat. Di sini Mamak haji mahu pengunjung blog ini betul-betul selami apa itu masakan Nasi kandar. Cuma orang Pulau Pinang yang arif tentang apa yang buat nasi kandar itu sedap tetapi di negeri-negeri lain apa yang mereka memahami tentang dari  Nasi kandar ialah satu lagi masakan biasa kari India.

CARA MENYEDIAKAN SOTONG UNTUK MASAK.

Cara bersihkan sotong dalam masakan nasi kandar berlainan sedikit dari yang biasa. Ramai yang tak tahu bagaimana sotong nasi kandar bahagian kepalanya masih bercantum dengan badan sotong dalam masakan nasi kandar. Ada juga yang cucuk lidi untuk mengekalkan keseluruhan sotong untuk mengelak kepala bercerai dari badannya. Cara cucuk lidi itu OK tetapi bila cabut lidi selepas masak nampak hodoh sotong itu seperti kena tikam dan dibunuh..hahaha. Ini sebahagian Tip-Tip membersihkan sotong untuk masakan resepi nasi kandar. Sotong yang beli perlu basuh bersih dahulu. Tarik kepala sotong dengan cermat sehingga anda jumpai pundi dakwat sotong. Dengan cermat keluarkan dan buang pundi dakwat sotong (ia seperti pundi hempedu ayam berwarna kehitaman). Sekiranya pundi dakwat itu pecah dan dakwat hitam percik tidak mengapa. basuh bersih sotong itu. Masukkan kembali kepala sotong kedalam badan sotong dengan cara menekan masuk. Jangan tarik keluarkan tulang belakang sotong itu, nanti lembik pula sotong itu. Rebus sotong sehingga 3/4 masak. Jangan gunakan terlalu banyak air semasa rebus. Tentukan air rebusan sotong ditapis dan disimpan untuk masak. Sekiranya anda tidak dapat sotong yang putih tetapi hitam kemerahan, masukan satu sudu cuka semasa rebusan. kulit sotong yang kehitaman akan terkopek sendiri buat kulit sotong supaya nampak putih.  Jangan rebus terlalu lama sotong anda akan terlalu kecut. Isi sotong akan menjadi tebal semasa masak dan pengecutan tidak boleh dielakan. Maka saiz sotong yang dibeli perlu di ambil kira. Pengecutan selalu berlaku separuh dari saiz asal sotong. Saiz sotong yang terbaik dibeli ialah 5-6 inci dan bila direbus saiz menjadi lebih kurang 3-4 inci.

Resepi sotong nasi kandar yang popular ada dua atau tiga jenis masakan. salah satunya resepi masak sotong masala (kari pekat) atau pun masak kuning pekat atau sotong goreng tepung rangup (kaedah penyediaan tepung sama seperti ayam goreng rempah mamak penang di blog ini). Cara masakan kedua-dua resepi sama cuma masak kuning tidak menggunakan serbuk kari tetapi masak seperti kurmak. Sotong masak masala (kari) lebih popular di luar Pulau Pinang.

RESEPI SOTONG MASAK MASALA (KARI PEKAT) NASI KANDAR.

Sotong Masak Nasi Kandar..

Sotong Masak Nasi Kandar..

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg Sotong putih (sarat telur). Persediaan seperti keterangan di atas.
  • 100 gm rempah serbuk kari jenis daging/ayam. ( 1/2 bungkusan 250gm serbuk kari).
  • 1 biji bawang besar labu (sedang) dihiris. (hirisan bawang untuk masakan resepi nasi kandar perlu di potong menegak bawang atau memanjang).
  • 2 biji bawang labu (sedang) di kisar.
  • Pes bawang putih dan Halia. Pes ini penting dalam masakan nasi kandar. Sila rujuk tulisan mamak yang lepas mengenai bagaimana penyediaan pes ini.
  • 1 tsp serbuk jintan putih, 1 tsp serbuk jintan manis, tsp serbuk kas-kas (tidak kemestian)
  • 1 tsp serbuk cili (tidak kemestian cuma sekiranya ingin lebih pedas, warna kari anda juga boleh bertukar kemerahan yang cantik).
  • 1 tsp gula pasir.
  • kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan buah pelaga (ini digelar garam masala).
  • 2 ranting daun kari.
  • 3 cili merah dibelah dua memanjang.
  • Daun bawang dipotong 2 inci.
  • 75 gm santan pekat atau (4 tbsp yogurt atau 1/2 tin susu cair).
  • Minyak Masak untuk tumis dan Garam secukup.

CARA-CARA:

  1. Bila kuali panas masukkan minyak masak. Bila minyak panas, tumis rempah garam masala ( 4 serangkai). Bila bau haruman naik, masukkan bawang hirisan dan cili merah. Agak hirisan bawang mula bertukar warna keemasan, masukkan pes bawang putih dan halia dan daun kari. Bila mengeluarkan bau haruman(jangan sampai hangus!), masukkan air bawang kisar. (air bawang kisaran adalah cara masak lauk  nasi kandar supaya kuahnya pekat dan tidak ada lapisan air terapung di atas kuah kari bila ia sejuk.).
  2. Bila air bawang mula mendidih (sekiranya anda masak tak tumis betul bawang kuah anda akan berbuih seperti basi apabila ia dihidangkan)  masukkan serbuk kari, serbuk jintan putih, jintan manis dan kas-kas. Tambahkan air rebusan sotong yang telah ditapis. Kacau rata biarkan kuah mendidih dan menjadi pekat sedikit. Masukan santan pekat atau susu cair mengikut selera anda. Kuah jangan terlalu pekat semasa memasak kerana ila sejuk kuah akan semakin pekat. Tunggu hingga kuah mendidih. jangan terlalu didihkan kuah anda kerana kalau santan ia pecah minyak kalau susu ia akan bergentel.
  3. Masukkan sotong yang telah rebus dan sehingga sotong itu masak 1/4 bahagian lagi. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Masukan hirisan daun bawang. Kacau serata. Sotong tak perlu masak terlalu lama. Sekiranya kuah anda pekat tambahkan air rebusan sotong. Pastikan kuah tidak terlalu cair. Mamak haji tidak dapat beri sukatan yang tepat mengenai kepekatan kuah ini. Ikutlah kepekatan kuah mengikut selera anda. Kalau anda tidak mahu rasa kari terlalu kuat kurangkan rempah kari. Hidangan ini biasanya untuk 12 orang. Selamat mencuba. Sekiranya ada masalah e-mail kepada mamak haji: mohd.roslan99@gmail.com.
  4. Nota: Sayang gambar sebenar masakan resepi tiada..walau macam mana pun mamak cuba usahakan nanti.

  • Tajuk ini Mamak tulis mengikut pengalaman, bukan dengan satu formula yang tepat. Harus ingat juga, tajuk ini bukanlah satu kajian pemasaran dalam bidang katering. Bagi Katerer yang sudah lama (sesion) dan berpengalaman harga katering ini dihujung jari mereka. Bagaimana dengan katerer yang baru nak mula?.  Tajuk ini Mamak tulis kerana, kisah malam tadi dengan seorang katerer yang lama dalam bidang ini dan menjalankan perniagaan katering yang datang berjumpa mamak mengenai harga yang semakin lama semakin murah dalam perhitungannya?. Dia meluahkan perasaan keciwa dengan perniagaan katering kini. Mamak Pulau Pinang ini ada satu perangai,  nak kata baik bukan elok tapi nak kata elok bukan molek. Kenapa Mamak kata begini?. Kerana sikap golongan Mamak ini suka pegang pada “pradigma” perniagaan keluarga termasuk cara penyediaan, harga dan juga resepi. Kalu yang tahu masak tiga resepi sampai dia ke liang kubur tak mahu belajar resepi baru. Terlalu “kiasu” atau egoist. Pendek kata mereka ini tak mahu ubah diri dan pemikiran mereka mengikut keadaan semasa. Seperti anda tahu semua, perniagaan katering sekarang sedang berkembang pesat dan ke arah sangat maju. Sekiranya kita tak ubah mengikut peredaran masa, kita pasti akan ketinggalan dalam Industri katering ini. Bila kita kata, “perniagaan katering”, biasanya ia terbahagi kepada tiga bahagian.
  • katering komersial : seperti Hotel, Restoren biasa dan segera, katering pengangkutan dan yang bergerak dll.
  • Katering yang bersubsidi. Makna subsidi ini ialah pihak yang meminta perkhidmatan katering ini menyediakan tempat, kemudahan letrik dan air secara percuma. Ini termasuk Dapur yang lengkap. Kadangkala Gas masak, peralatan perniagaan sehingga sudu garpu pun dibekalkan. Jenis katering ini termasuklah untuk  Sekolah, Universiti, Hospital, penjara dan juga katering makanan untuk pekerja kilang. Selalunya jenis katering ini bersifat tender dan perjanjian kontrak.
  • Katering Tempahan. Ia itu katering yang ditawarkan melalui tawaran untuk majlis-majlis formal dan tak formal seperti majlis kahwin, majlis hari jadi, mesyuarat, forum atau rekreasi.

Persaingan dalam Industri penyediaan makanan semakin hari semakin meningkat disebabkan bilangan penyertaan wanita dalam sektor Industri ini semakin ramai diminati. Ia satu perkembangan baik dan sihat bagi golongan wanita menceburkan diri dalam perniagaan. Khas pada perniagaan yng berisiko rendah. Selain dari ini, pertumbuhan bilangan Sekolah, Universiti, Hospital, Penjara dan kilang-kilang Industri juga semakin hari semakin tambah. Maka berlakulah pertambahan dalam permintaan untuk perkhidmatan katering. Maka kewujudan Pengusaha-pengusaha katering yang baru untuk mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam perniagaan ini. Dengan ini satu persaigan sengit sedang berlaku dalam industri ini. Maka persaingan harga tidak dapat elakan lagi. Penglibatan Katerer yang baru ingin memasuki dalam perniagaan ini tidak perlu gusar kerana pengalaman katerer yang lama bertapak, boleh dicabar dengan ilmu. Ilmu berserta pengalaman akan membuka minda kita, untuk satu perniagaan yang sentiasa perlukan inovasi dan kreatif seperti bidang katering. Bidang katering adalah salah satu cabang seni. Seni bukan hak milik sesiapa. Seni boleh diasah dan digilap mengikut cita rasa pencinta seni itu sendiri dengan berbekalkan Ilmu. Ingat!! masakan adalah, ” Culinary Art”. Dengan ini mari kita belajar sedikit bagaimana kita menghadapi persaingan “Harga” di pasaran sekarang. Mamak juga ingatkan anda perlu memahami tajuk atikal ” Titik Pulangan Model (Break even) dalam blog ini. Tanpa kefahaman ini anda akan mengalami kesukaran  untuk bersaing dan kekal dalam pasaran perniagaan katering sekarang.

KOS MAKANAN (FOOD COST).

1. Anda perlu buat anggaran kos perbelanjaan anda untuk harga makanan/hidangan yang anda tawarkan kepada pelangan. Anggaran dalam kos makanan adalah tambahan kepada setiap barangan yang dibeli dengan kadar 22%  ke 34 % dan ditambahkan lagi dengan kos 60%- 70%  lagi sebagai kos upah kerja dan lain-lain kos yang tersembunyi dalam penyediaan menu tersebut.

Contoh : Sekiranya anda dipelawa untuk sebut-harga tempahan katering untuk 100 orang tetamu. Katakan menu yang anda cadangkan:

  • Nasi Tomato
  • Ayam masak Mamak Penang.
  • Daging Masak Itam Mamak Penang.
  • Dalca Mamak Penang.
  • Kerabu Nenas Timun Mamak Penang.
  • Air sirap Kurang Manis.

1. Cara kira kos Makanan satu hidang seperti di atas:

Nasi Tomato. Beras yang diperlukan (anggaran 1 kg beras boleh dihidangkan untuk 10 tetamu. Dengan ini anda perlukan 10kg untuk 100 orang. 10 kg beras hancur 5% berharga RM24.00. sekilo RM2.40, maka satu hidangan kos RM0.24 sen. Maka tambah 24 % + 66 %, RM0.48 sen atau RM0.50 sen kos untuk satu hidang Nasi Tomato.

2. Seekor ayam yang beratnya 1.8 kg dengan harga pembelian RM12.00. Ayam itu dipotong 12 bahagian. kos ayam seketul adalah RM1.00 maka ditambah 34% + 66% = RM2.00. Maka harga jualan seketul ayam masak merah anda ialah RM2.00.

3. Daging Masak Hitam 1.0 kg di potong 16 ketul. Sekilo daging ais batang pinang RM16.00. Satu ketul daging RM1.00 di tambah 24% + 64% = RM2.00. Maka Harga seketul daging masak Hitam ialah RM2.00.

4. Sebagai kiraan rambang, Dalca satu hidangan biasa RM0.50.

5. Sebagai kiraan rambang, Kerabu Timun dan Nenas satu hidangan  RM0.50.

Maka Harga keseluruhan :  RM0.50 + RM.2.00 + RM2.00 +RM0.50 + RM0.50 = RM5.50. Ditambah dengan air sirap RM0.50 Jumlah Besar: RM6.00 X 100 = RM600.00.

Nota: Kalau anda ingin bersaing harga dengan katerer lain jangan sekali susutkan nilai keuntungan anda. Tetapi anda boleh turunkan harga sebut harga dengan menjimatkan bahan masakan dan juga harga pembelian 24% dan 66%. Pembelian bahan masakan perlu tepat dan tidak boleh membazir.

ANGGARAN KUANTITI MASAKAN:

Anggaran Masakan atau kuantiti masakan bagaimana pulak?. Sekiranya nasi bungkus tidak ada masalah. Bagaimana pula dengan cara hidangan “buffet”? majlis. Berapa kuantiti nasi yang diperlukan?. Ketul ayam dan ketul daging tak apa. Bagaimana dengan Kuahnya?. Bagaimana dengan kuantiti Dalca dan Kerabu nenas/Timun yang diperlukan untuk seratus orang tetamu?. Bagaimana dengan air sirap anda?. Anda sebagai katerer perlu ingat, masakan lebih tak apa, cuma anda rug sedikit tetapi kalau kurang bagaimana?. Tak berasa malu pelangan anda?. Cara yang mudah ialah gunakan sukatan mengikut size dan kedalaman bekas hidangan atau Tray anda. Jangan gunakan siaz tray yang salah. Anda membuat sukatan sendiri dengan senduk yang disediakan untuk pertama kali. Maka anda akan tahu kuantiti yang sebenar yang diperlukan. Anda perlu tahu tray yang digunakan 25 orang, 50 orang dan 100 orang. Maka disebabkan  inilah tray ini datang dengan berbagai size yang standard. Kedalaman dan saiz tray mainkan peranan utama dalam tafsiran kuantiti makanan. Sediakan tray yang bersesuain untuk kuantiti yang tentukan.

Nota: Kalau ada katerer baru yang punyai masalah dalam masakan resepi Mamak untuk katering mengenai tentang harga atau kuantiti dan kuantiti bahan masakan yang diperlukan, sila e-mailkan Mamak. Insyallah mamak cuba membantu. e-mail mamak:

mohd.roslan99@gmail.com.


1. KEPANTASAN LAYANAN PELANGAN:

Kepantasan layanan yang pantas dan cepat selalunya berkait rapat dengan sebahagian dari keuntungan perniagaan restoren anda. Walau pun layanan yang baik untuk mengekalkan pelangan setia perlu dan mustahak (baca tip-tip atikal tip-tip pengurusan restoren) tetapi bukan perkara ini yang dimaksudkan “Layanan Pantas“. Layanan pantas yang dimaksudkan ialah pelangan yang mengkunjungi Restoren anda dilayan dengan segera dan semua pesanan makanan dan minuman  sampai ke meja makan pelangan dengan cepat. Pelangan yang berada di meja makan dalam restoren perlu silih berganti dengan pelangan lain setiap 15 minit ke 30 minit. Sekiranya restoren anda mengambil masa yang panjang untuk menerima pesanan pelangan dan pesanan makanan sampai ke meja makan masa yang lama, ia bermakna nilai keuntungan anda akan menurun. Pelangan baru yang berkunjung tidak akan masuk ke restoren anda dan anad akan kehilangan pelangan.  Kepantasan layanan juga bergantung kepada kriteria dan jenis restoren anda. Sekiranya anda ingin jadikan perniagaan restoren anda untuk pelangan eksekusif dan kaedah kepantasan layanan mungkin tidak diguna pakai. Pelangan yang berkunjung tempat eksklusif ini selalunya memerlukan tempat untuk bersantai, selesa dan berasa selamat berada di ruang restoren anda.  Kadangkala pelangan jenis ini ingin menghabiskan masa 4-5 jam dalam restoren anda. Di restoren begini Kepantasan layanan tidak memberi impak pada keuntungan kerana jualan satu-satu hidangan berkali ganda kosnya dengan restoren biasa. Jenis restoren ini memerlukan kos permulaan dan kos pengendalian yang amat tinggi. Restoren jenis ini juga memerlukan sumber kewangan yang tinggi dan kukuh.  Dengan ini, kita tinggalkan restoren ini untuk diskusi kerana sekiranya kita mempunyai kewangan yang diperlukan dengan mudah kita boleh dapatkan firma-firma profesional “Businees develoment Management” mengendalikan restoren seperti ini.

Restoren yang kini menjadi tarikan golongan bumiputera ialah Restoren jenis ‘Ala carte. Ala ‘ carte adalah sebutan Perancis yang bermakna, ” hidangan mengikut Menu”,  yang ditetapkan, harga dan dengan cara melalui pesanan. Kebanyakan restoren Jenis ‘ala carte ini menyediakan makanan “Thai” atau Ala Barat. Bagi Restoren masakan ala Thai atau Tom Yam, tukang masaknya selalu di impot dari Selatan Thailand yang berbangsa Melayu Islam. Yang anehnya restoren ini kebanyakan kini telah dipunyai oleh rakyat asing yang mula bekerja cuma sebagai tukang masak. Restoren seperti ini tukang masak memainkan peranan utama. Biasanya tukang masak ini selalunya cepat merajuk dengan taukeh yang terdiri dari orang tempatan. Bila anda bukak restoren begini anda sukar dapat kawal tukang masak. Dari kawan-kawan yang membuka restoren Nasi kandar dan di gandingkan dengan makanan ‘ala carte Thai (atau Tom Yam) merungut mengenai sikap yang angkuh tukang masak ini. Jadi anda perlu awas tentang sikap tukang masak seperti ini. Kalau ingin juga, carilah chef-chef yang profesional walau pun bayar lebih sedikit tetapi tak pening kepala. Mamak Haji tak mahu cerita lebih tentang jenis restoren ‘Ala Carte Tom Yam ini kerana perniagaan yang kita sukar boleh kawal bukan perniagaan namanya. Jangan jadi perniagaan kita menjadi hak orang lain. Ramai pengusaha Melayu yang berkimpung dalam restoren Tom Yam gagal kerana faktor tukang masak yang leceh dan bermasalah sikap. Sikap orang lain sukar diubah kecuali mereka ubah sendiri.

Walau apa jenis restoren pun yang anda berminat untuk berniaga,  tempat dan lokasi kedudukan restoren itu memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh;  sekiranya anda ingin membuka restoren di kawasan perindustrian, perniagaan anda masa puncak ialah waktu tengah hari dan anda perlu dapatkan pelangan yang seberapa ramai dengan layanan yang pantas. Harus ingat, Pelangan anda ialah kebanyakan pekerja kilang atau industri yang mempunyai waktu makan yang pendek 30-45 minit. Jenis restoren yang mereka minati adalah restoren yang mampu layan mereka dengan cepat. Tak perlu bagi mereka menyediakan kerusi yang empuk. Pelangan yang datang bukan untuk bersantai tetapi mahu hidangan diperolehi dengan cepat dan beredar. Dengan sebab ini, carilah lokasi yang baik untuk restoren dengan mengkaji segala aspek pemasaran untuk restoren anda.

Kali ini Mamak Haji ingin memperkenalkan Resepi Masakan Istimewa dari : Gerai Afiza yang terletak di PASAR EKS TMN.TUN PERAK, CHERAS, KUALA LUMPUR. Kalau sesiapa nak pesan atau sesat jalan boleh call beliau di talian : 012 – 3446299;

RESEPI “BEEF NOODLE FIZA”.

BAHAN:

  • Daging direbus dan dihiris dihias di atas sup.
  • Bebola Daging.
  • Perut (lembu) direbus dan dihiris.
  • Tulang (lembu).
  • Pes Bawang Besar, Bawang Putih dan Halia.
  • Bawang merah dan bawang putih dihiris untuk tumis.
  • Hirisan Halia dan Lengkuas.
  • Rempah sup adabi.
  • Sedikit sudu lada hitam tumbuk.
  • untuk menumis kayu manis, buah pelaga , cengkih dan bunga lawang.
  • Mee Kuning.
  • Bawang goreng, daun sup dan bawang goreng.

Cara-Cara:

1. Masukan minyak masak di dalam periok/ kuali. Bila minyak panas, tumis rempah ratus, pes bawang putih + Bawang merah dan halia, dan hirisan halia dan lengkuas.

2. Bila bau naik, masukan perut, tulang dan bebola daging serta serbuk sup adabi-kacau rata.

3. Masukkan air, garam, dan secubit gula. Bila sup telah Didih, rendahkan api dapur.

4. Ambil mangkuk masukan mee (se cekak) hidangkan di atas daging hirisan dan bebola daging daun bawang/sup. Tuang sup kedalam mangkok. taburkan sedikit bawang goreng. Sup Mee Bebola daging Fiza anda siap. ..Resepi ini adalah sumbangan dari Fiza sendiri. kalau masih keliru jumpa Fiza di gerainya dan tanya, tetapi ada syaratnya, kena pesan se mangkok dulu. Resepi Free tapi Beef noodle Soup kena bayar yea….terima kasih Fiza.



MULAKAN PERNIAGAAN KATERING DI RUMAH TANPA MODAL:

Bila Mamak mula menulis tentang, “ingin mulakan perniagaan katering dari rumah”, perniagaan  katering yang dimaksudkan adalah khas untuk suri-suri rumah yang sepenuh masa yang  menganggap masak sebagai hobi dan ingin mencari pendapatan tambahan untuk keluarga.  Ia juga maksud untuk meringankan tanggungan hutang rumah tangga yang semakin meningkat. Hutang dalam rumah tangga dalam negara kita khas golongan pendapatan rendah dan pertengahan telah menjadi sangat kritikal dan membimbangkan di negara ini. Bank Negara sendiri akui kebimbangan ini. Hutang keseluruhan kredit kad rakyat saja sudah melebihi 30 Billion. Bank Negara juga telah mula gunakan garis panduan baru untuk pelanggan baru kad kredit. Kalau hutang dalam rumah tangga dalam negara ini tidak dapat kawal lagi, kemungkinan ramai keluarga akan bankerap dulu diikuti dengan  negara bakal jadi bangkerap. Ada asas  juga amaran Datuk Idris Jala itu. Suami-Isteri sekarang perlu kerja dan berganding bahu melangsaikan hutang rumah tangga. Suami bayar hutang rumah, si Isteri pula kena bayar hutang kereta. Kita sekarang hidup dengan hutang. Tengok rumah ingat hutang ansuran rumah, petik lampu ingatkan bil TNB, buka pili air untuk mandi ingatkan hutang bil air, rehat nak tengok tv, ingatkan hutang tv plasma 42 inci, tengok muka anak, ingatkan yuran sekolah dan belanja sekolah. Di luar tengok kereta ingatkan hutang ansuran kereta, duduk dalam kereta terpandang  cukai jalan teringatkan insuran kereta beribu, tengok meter tanki minyak, perlu isi minyak…aduuuh apa nak jadi?. Kenapa kita jadi begini?. Hutang sudah pengaruhi hidup kita. Bagaimana kita kita harus lari dari cengkaman hutang ini?. Jawap sendirilah…pasal hutang ini.

Catitan kali ini adalah e-mail dari  seorang suri rumah dari Kedah yang ingin mencebur diri dalam membantu suami dan keluarga. satu niat yang murni. Sedih mamak baca kisah kesempitan kewangan kelurganya. Bahagian yang sedih itu mamak delete. yang Mamak menarik dengan e-mailnya ialah:

“cheq nak cari pendapatan sampingan xtau macam mana cara.dulu ada buat macam-macam tapi tak menjadi. la ni tak buat apa dah.suami saja kerja sorang..gaji alhamdulillah setakat rm1500..nak mintak pandangan mamak haji,oghang yang macam cheq ni,xdak modal langsung nak berniaga tapi nak tambah pendapatan..tu nak tanya mamak haji apa yang cheq patut buat?.”

Jawapan Mamak:

Kebanyakan perniagaan kecil yang paling berjaya bermula sebagai hobi dari rumah dan dimajukan dan diperkembangkan dari titik permulaan dari kegiatan hobi. Memulakan perniagaan dari rumah sebenarnya  tidaklah memerlukan modal yang besar beribu ringgit cuma perlukan modal yang sedikit. Modal yang maksudkan dalam katering ialah biasanya dalam penyediaan makanan yang dipesan pelangan dikira sebagai sudah pasti telah jual. Kebiasaaannya kita boleh mengambil wang pendahaluan (deposit 50%) dari pelangan sebelum sesuatu majlis dan selepas majlis selalunya dilangsaikan bayaran penuh.

Mamak ingin menceritakan kisah benar seorang sahabat Mamak yang menjalankan katerer dari rumah. Dia punyai kontrak-kontrak membekalkan nasi bungkus sekitar 100 bungkus sehari yang berharga RM3.50  kepada sebuah kilang di Mak Mandin untuk pekerja-pekerja yang lakukan kerja lebih masa yang dibekalkan oleh majikan kilang secara percuma. Kaedah bekal nasi bungkus kawan mamak ini amat mudah dan menunya cuma Nasi Putih, Ayam dan Sayur.  Secara kasar keuntungan dari sebungkus adalah RM1.00 – RM1.50.  Katakanlah sehari 100 bungkus, untung bersih dalam sebulan adalah RM150.00 X 20hari= RM3,000.00. hahaha!. Patutlah sahabat mamak ini ke sana ke mari pakai van buruk tapi anak dia pakai Honda Accord baru. Ini cuma kilang yang mamak tahu. Yang tak tahu?. Ini satu contoh cara berkatering dari rumah. Di luar sana beratus pelangan menunggu anda. Cara meniaga nasi bungkus jangan pandang rendah. Katering dari rumah kita tak perlukan dapur dan peralatan khas masakan dan sewa tempat khas untuk memasak atau pun pekerja profesional. Modal perniagaan apa yang kita perlukan?. Cuma tahu masak nasi, goreng ayam, kuah dan sayur kangkong dan bayam. Tak perlu berkursus membelanjakan beratus ringgit. Tak perlu belajar jadi chef dua tahun di kolej dengan perbelanjaan belajar  sekitar RM25 Ribu. Modal cuma RAJIN dan tak malu cari rezeki HALAL.  Katakanlah Kalau kita kembangkan perniagaan seperti kisah sahabat Mamak itu kepada 5 tempat. Sehari 500 ratus bungkus nasi, RM3,000 X 5 = ???. Berapa pendapatan anda sebulan?. Kenapa kita perlu jadi operator di kilang untuk gaji RM700/= sebulan. Pukul 5 pagi kelaur rumah lepas maghrib balik rumah?. Katakanlah anda punyai dua orang anak yang perlukan penjagaan. Upah jaga anak saja hampir 300 – 400 ringgit. Berapa baki pendapatan bulan anda yang tinggal?. Belum  dipotong kwsp, sosco dll. Kenapa anda tak mahu cebur dalam bidang katering?.

Ada juga mengadu kat Mamak, “bagaimana orang kenali saya sebagai seorang katerer”. Bagaimana anda boleh iklankan diri anda?. Sebenarnya ia amat mudah. Beritahu kepada sesiapa saja anda kenali atau berjumpa “saya seorang katerer”. Sediakan kad nama. Untuk dapatkan kad nama, 300 kad cuma dalam harga RM30.00. Beri kepada orang pengaruh dan orang yang berpotensi boleh kenalkan anda kepada ramai berpotensi sebagai pelangan. Kalau bertandang ke rumah saudara atau kawan, bawa contoh makanan contoh menu katering kepada mereka. Mereka akan perkenalkan diri anda kepada kawan-kawan mereka. Pendek kata cara ikutlah “Direct Selling” macam Amway!. Jangan malu dengan perniagaan HALAL anda. Kenapa patut malu?. Perniagaan adalah sunnah Rasullullah s.a.w. Anda jangan sekali membuat keputusan untuk orang lain. Tugas anda cuma memperkenalkan produk anda. Ikut cara orang jualan terus. Sesiapa juga ingin tahu karier anda terangkan. Kadangkala orang yang tanya itu akan jadi pelangan potensi masa akan datang. Dengan ini mulakan iklan anda dari hari ini. Jangan tangguhkan perkara yang baik. Syaitan selalu mengoda hati kita dengan diisi was-was!. Sekali kehadapan jangan undur atau rehat. Kejayaan terletak di tangan anda sendiri. Keputusan hari ini adalah kejayaan masa hadapan anda. Kenapa orang lain perlu buat keputusan untuk anda?. Allah SWT akan membantu orang ingin bantu diri sendiri dan orang lain. Mengenyangkan orang yang lapar sangat besar pahala dari Allah SWT. Ketabahan, cara kendalikan perniagaan adalah kunci kejayaan katering dari rumah. Hubungi Mamak Haji melalui e-mail: mohd.roslan99@gmail.com sekiranya ada masalah atau mula lentur semangat. Kita akan kongsi pendapat. Blog ini adalah medan perjuangan untuk anda semua dalam bidang katering. Perjuangan adalah kasih sayang antara kita yang  ingin mencapai kejayaan sebagai ummah Nabi Mohammad s.a.w.  di dunia dan di akhirat. Insyallah anda akan berjaya!!!.


INGIN MULAKAN PERNIAGAAN KATERING DARI RUMAH bahagian satu,  Mamak telah menulis kaedah asas untuk membuka sebuah perniagaan katering sendiri di rumah. Dalam Bahagian Dua ini, Mamak  ingin sentuh sedikit tentang menu asas katering.

Sebagai seorang yang bergelar “katerer” , bermakna anda menjalankan sebuah perniagaan sendiri seperti ahli perniagaan yang lain. Anda perlu lakukan pemasaran, jualan dan juga menyelia pekerja anda untuk majukan perniagaan.  Kalau anda Pandai Masak hanya salah satu kriteria dalam bidang katering. Hanya dengan pandai masak anda cuma boleh jadi seorang tukang masak yang baik bukan sebagai seorang usahawan katering. Menjalankan perniagaan katering, anda perlu juga mahir dalam bidang pemasaran, jualan dan kawal selia segala operasi perniagaan anda sebagai seorang perniaga. Katerer adalah seorang usahawan (entrepreneur) dan bukan seorang peniaga. Sebagai peniaga dan usahawan mempunyai banyak perbedzaan. Seorang Peniaga cuma beli dan menjual untuk mendapatkan keuntungan, seperti seorang peniaga kedai runcit tetapi sebagai seorang usahawan anda perlu mengumpul segala data dan maklumat perniagaan katering mengikut kehendak pelangan yang sentiasa inginkan pembaharuan. Maka seorang katerer perlu inovasi , memperkenalkan resepi baru dan cara baru yang menghambat hati pelangan dalam menjalankan katering untuk menghadapi cabaran dari persaing katering lain di kawasan anda. Dalam bahagian 2, Perniagaan katering ini , kita belajar Menu asas katering.

MENU ASAS KATERING:

Contoh Menu Katering:

Pakej Tanpa Pelayan: RM6.50

* Tempahan Minima: 500

* Harga termasuk peralatan jamuan dan Buffet.

* Ais, tisu dan air minuman mineral untuk permintaan pusingan pertama.

* Sebagai Hadiah Bonus:  kek 3 tingkat mengikut warna mengikut tema pilihan.

MENU: Di Cadangkan.

  1. Nasi Beriani.
  2. Ayam Masak Merah Mamak Penang.
  3. Daging Masak Hitam Mamak Penang.
  4. Dalca Mamak Penang.
  5. Kerabu Nenas Timun.
  6. Potongan Buah Tembikai.
  7. Kordial Oren/ Sirap.

Pakej Menggunakan Pelayan : RM7.50

* Tempahan Minimum: 500

* Harga termasuk peralatan jamuan dan buffet.

* Menyediakn Pelayan Berpakaian seragam.

* Menyediakan Dua(2) meja khas untuk keluarga pengantin. (Tidak termasuk meja, alas, kerusi, sarung kerusi dan ribon.

* Dua unit stainless steel Dome untuk meja khas keluarga pengantin.

* Percuma kek tiga(3) tingkat mengikut warna pilihan.

  1. Nasi putih.
  2. Nasi Beriani.
  3. Ayam Masak Merah mamk Penang.
  4. Daging Masak Hitam Mamak Penang.
  5. Dalca.
  6. Kerabu Nenas Timun.
  7. Potongan buah tembikai.
  8. Kordial Oren/Sirap.

Bonus Percuma Hidangan Pengantin untuk 12 tamu.

  • 1 set ayam tandoori Mamak Penang.
  • 1 set siakap masam manis (sweet sour).
  • 1 set udang besar masak Masala Mamak Penang.
  • 1 set buah-buahan potong berhias dalam bakul tembikai.
  • 1 set Fruit Salad.

Sila lihat contoh menu asas di atas.  Harga yang diberikan itu berpandukan faktor-faktor yang diambil kira untuk seorang pelangan yang mohon sebutharga. Harga menu di atas telah diambil kira faktor-faktor seperti, tarikh jamuan ( kesibukan jadual kita juga perlu diambil kira), jumlah tetamu, lokasi jamuan dan juga kemampuan pelangan. Setiap menu yang anda berikan itu akan mencerminkan identiti kepada perniagaan katering anda. Setiap katerer punyai struktur kos yang berlainan yang berasaskan faktur individu seperti kos overhead, buruh, perbelanjaan pemasaran dan lokasi dimana jamuan itu diadakan. Sekiranya majlis diadakan di Taiping mungkin kos katerer yang berada di Pulau Pinang tak sama dengan kos katerer di Taiping. Sekiranya kos katerer yang mengajikan 5 pekerja untuk masak tidak akan sama dengan anda sebagai tukang masaka dan dibantu keluarga. Tidak sama dengan kos katerer yang masak di tempat yang disewa dengan anda yang masak sendiri di dapur rumah anda. Apa yang mamak maksudkan  ialah,  jangan tiru kos orang lain tetapi ia boleh dijadikan sebagai panduan dalam menyediakan kos asas untuk masakan katering anda.

Pada dewasa ini, Kenaikan harga barangan mentah, upah buruh, harga peralatan, harga minyak dan harga bahan masakan terus melonjak. Walau pun anda boleh menaikan harga jualan menu asas anda mengikut peredaran kenaikan harga bahan makanan, tetapi ia bukan lah satu cara yang terbaik. Cara terbaik ialah perlu menghadapi cabaran kenaikan harga ini dengan mengawal kos perbelanjaan perniagaan anda. Bila anda dapat mengawal dan kurangkan kos perbelanjaan anda, dengan sendiri keuntungan perniagaan anda akan melonjak. Mamak ada menulis atikal tentang bagaimana mengawal kos perbelanjaan di dalam blog ini. Sila rujuk.


Pada mulanya Mamak Haji kalau boleh tak mahu sentuh tentang perniagaan Francais ini. Tetapi apabila baca e-mail dari pengunjung blog ini, terpaksa Mamak terangkan sedikit sebanyak tentang perniagaan Francais yang menjadi perniagaan yang terbesar di dunia sekarang.  Pada tahun 2007,  jumlah berdaftar perniagaan Francais dibawah ROF dan MECD, berjumlah 193 sistem Francais Tempatan dan 112  Sistem Francais Luar Negara. Francais bidang Makanan sebanyak 89 (29%). Maka dari sekian hari sekian banyak sayrikat francais tumbuh di negara ini. Berbagai perniangan terbentuk dlm perniagaan Francais. Diantaranya perniagaan Bahulu, Ice Blender, Ice Cream, Tandoori, kebab, Sup, Satay , Laksa, air soya dan lain-lain telah memasuki dalam perniagaan Francais. Bila Mamak tulis atikal tentang berniaga sendiri dan memikirkan tentang perniagaan Francais ini, serba salah dibuatnya. OK mari kita memahami apa yang maksudkan Perniagaan Francais ini. Sebelum itu sila baca sebahagian e-mail yang mamak maksudkan:

untuk pengetahuan encik, perniagaan nasi ayam yg hendak saya mulakan ini adalah berkonsepkan franchais walaupun belum di daftarkan dgn MFA. maka pengurus syarikat tersebut mengenakan saya sebanyak rm20k sebagai bayaran utk memulakan, termasuk 2 bln mengajar saya menguruskan segala2 dari A-Z. tetapi modal bhn mentah, serta brg2 keperluan perniagaan adalah atas saya sendiri. adakah itu berpatutan? wajarkah begitu? ini kerana beliau sudah membuka bwk cawangan di selatan malaysia dgn konsep sedemikian (mungkin resepi beliau memang istimewa, memang sedap hehehe)
saya amat terbuka untuk mendengar komen & hujan dr pihak encik beserta nasihat kepada saya. saya dahului dgn ucapan terima kasih.”

yg benar
Nor XXXX

Maksud,  “Francais” atau sebutan bahasa Anglo-French, ” Franchising” , diambil dari  kata dasar “Franc” yang bermaksud PERCUMA. Tuan punya perniagaan digelar ” Francaiser” (Franchiser) dan peniaga yang menggunakan model perniagaan Francaiser digelar, ” Francaisi” (Franchiser). Kejayaan Francaiser selalunya bergantung kepada kejayaan Francaisi-Francaisi yang bersamanya.  Jenis perniagaan yang boleh berjaya dijadikan Francais adalah perniagaan yang memberi pulangan keuntungan yang tinggi dan senang ditiru konsep perniagaannya. Perniagaan Francais adalah perniagaan berkonsepkan boleh di dominasi dalam berbagai cara dalam perniagaan yang diceburinya. Hubungan di antara Francaisi dan Francaisor adalah seperti hubungan majikan dan pekerja yang terikat dengan kontrak yang rapi. Kontrak ini biasanya berat kepada kepentingan Francaisor.

Kalau anda ingin memulakan sesuatu perniagaan sendiri, anda sudah pasti perlu menghadapi segala rintangan dan kepayahan. Tempoh risiko perniagaan biasanya di antara tahun pertama dan kedua. Tahun pertama adalah merealisasikan segala buah fikiran anda dalam rancangan perniagaan anda. Tahun kedua anda perlu bertahan dengan kosep yang sudah kenal pasti. Tahun ketiga adalah tahun menuai hasil keuntungan. Tempuh 1-3 tahun ini biasanya, “trial and error”. Apabila anda memulakan perniagaan melalui cara francais ini, anda bukan saja boleh memendekan tempuh “trial and error” ini tetapi rancangan perniagaan anda akan berfungsi mengikut sistem perniagaan “Francaisor” yang telah diuji dan terbukti berjaya. Kemudahan ini akan sediakan oleh Francaisor anda. Perniagaan anda melalui Francais akan memberi pulangan yang baik untuk anda dalam jangka waktu pendek. Boleh dianggap memulakan perniagaan dengan cara Francais akan kurangkan risiko perniagaan dan berdaya maju.

KEBAIKAN MEMBELI PERNIAGAAN FRANCAIS:

  • Nisbah risiko kegagalan dalam perniagaan diceburi melalui fracais rendah berbanding dengan perniagaan sendiri yang risikonya boleh mencecah 70 peratus pada permulaan perniagaan tahun pertama dan kedua.  Perniagaan melaui Francais pula  punyai kadar kejayaan hampir 80 peratus.
  • Perniagaan Francais biasanya mendapat bantuan seperti pengiklanan, sokongan dan latihan perniagaan yang biasanya merupakan sebahagian pakej Francais yang ditawarkan oleh Francaisor.
  • Pembelian stock boleh didapti dengan harga terendah dari francaisor yang akan memberi pulangan yang lumayan.
  • Sekiranya anda membeli Francais yang telah tercipta nama dalam pasaran, anda tak perlu risau tentang strategi pemasaran kerana anda sudah punyai pelangan yang tersedia ada.

KEBURUKAN MEMBELI PERNIAGAAN FRANCAIS.

  • Anda akan kehilangan kebebasan dalam perniagaan anda sendiri. Walau pun anda punyai perniagaan sendiri yang boleh dibanggakan tetapi anda perlu mengikut segala arahan dan yang syarat seperti termeterai dalam perjanjian dengan Francaisor anda. Anda akan terasa perniagaan yang anda jalankan bukan perniagaan anda.
  • Pembelian perniagaan Francais yang berjenama biasa harganya amat tinggi. Di samping perlukan modal yang tinggi untuk memulakan perniagaan dan ada juga Francaisor kenakan royalti, kos Iklan, atau perkhidmatan tambahan. Anda perlu berhati-hati dalam perkara seperti ini sebelum memasuki kontrak.
  • Sekiranya anda membeli Perniagaan Francais yang murah, yang kurang sambutan pelangan, belum lagi diuji tahap dan impak dalam pasaran,  anda perlu hadapi risiko yang sama seperti perniagaan anda yang sendiri. Ada kalanya Francaisor gulung tikar kerana tak mampu bertahan dalam pasaran dan tujuan francaisor yang lebih kepada jual dari membaiki perkhidmatan. Berwaspada Francaisor yang tidak punyai track record ini.

Peringatan: Semua pendapat dalam tulisan atas adalah pendapat peribadi penulis sendiri. Penulis tidak ada niat atau maksud terlintas dalam fikiran, bertujuan  merendahkan sesiapa saja dalam yang berkecimpung dalam bidang perniagaan Francais ini. Harap maklum.


Resepi kali Mamak nak pertengahkan satu lagi resepi tradisional Mamak Penang. Resepi ini berasal dari India Selatan. Nama kueh ini berbagai gelaran seperti: Vada, Vadei, Wada, atau pun Vadai. “MASALA‘ bermaksud adunan rempah. Maka Vadei yang berperasa rempah.  Vadei digemari sebagai makan petang kerana rasa dalam keadaan panas, garing, berempah lembut dan pedas sedikit. Betuk fizikalnya selalu berbentuk bulat 10-15cm bergaris pusat dan ada juga dalam bentuk bujur. Vadei di Pulau Pinang amat digemari oleh semua kaum. Penjaja Pasar Malam Melayu Pulau Pinang sudah jadikan jualan vadei ini sebagai kueh sampingan  bersama karipap atau pun popia. Kini jualan vadei, putu mayom, atau pun popia bertukar tangan dari Mamak kepada orang Melayu. Vadei atau pun Popia buatan anak tempatan Melayu lebih lembut, gebu dan lazat berbanding dengan buatan Mamak itu sendiri walau kueh warisan mereka. Kalau anda perhatikan cara buat vadei oleh anak-anak Melayu muda di pasar malam, lebih inovatif dari dan cepat dari pembikinan  Mamak sendiri. Mereka gunakan acuan yang mudah ( acuan berbentuk kon yang di selaput dgn kain)  pembuatan bukan saja cepat tetapi bersih. Ini satu perkembangan yang sangat baik bagi masyarakat majmuk di negara ini. Inilah uniknya kebudayaan negara kita yang tidak terdapat di mana-mana negara di dunia. Kalau di Malaysia ini kaum India dan kaum Cina lebih gemar makan laksa dan nasi lemak dari tosai atau sarapan orang Cina. Perpaduan nasional di negara ini cuma kita boleh lihat dalam bidang masakan saja. Bidang yang lain, Fahaman Politik yang cetek sudah menguasai minda rakyat negara ini. Kementerian Perpaduan Negara patut memulakan intergerasi nasional melalui pertandingan masakan  lebih baik dari ceramah atau pun aktiviti acara hiburan seperti gangnam style. Mamak juga teringin belajar masakan dari Sabah dan Sarawak. Kalau ada pengunjung blog ini dari Sabah, Sarawak, Brunei atau dari Indonesia, e-mail resepi terbaik anda. Boleh mamak test resepi untuk tukar selera dan boleh buat posting diblog ini. kita kongsi resepi anda bersama. Kalau ada blog, sila beri link anda. kita baca bersama. Mamak kalau celoteh tak habis…ok..Mamak faham kadangkala bosan juga blog ini banyak sangat celoteh tapi perlu tahu celoteh ini dah jadi darah daging Mamak Penang…mulut susah nak katup!. Celoteh ini sebenarnya  hidupkan suasana di Restoren bagi menhilangkan penat dan bosan. Mungkin MacDoland pun belajar dari kedai mamak agaknya lah…hahaha!. Rioh juga dapur depa. Tapi depa pakai bahasa Inggeris, “Cheese burger one”…Mamak noo speaking inglish..jadi,  “Teh tarek onnu..roti canai kuah banjir, taruk telur mamak goreng tarok atas …satu”..hahaha!. “Teh Ais untuk mami comel loteh yang  hidung mancung macam pelancung… satu”… inilah meriahkan restoren anda…cuba lakukan ini..ia akan beri satu umphhh yang baru untuk warung atau kedai anda…pelangan akan suka..pekerja hilang bosan…isteri taukeh yang asyik masam muka di kaunter akan senyum dan jarang angkat-angkat tangan menunjukkan gelang emas tebak yang dibeli semalam dari duit dari kaunter, nanti pelayan pun asyik dapat panggilan telipon kerana semalam beli i-Phone yang baru….keadaan restoren kena ceria selalu dan wujudkan suasana mesra di kedai anda. Ketawa adalah ubat yang terbaik dalam perniagaan. Jangan marah dan masam muka di depan pelangan, walau pun marah dengan pekerja anda. Jangan serius sangat di kedai anda…cuba hidupkan suasana meriah dan ceria. Ok lah mai kita tengok resepi kali ini:

RESEPI MASAL(A)  VADE)I:

BAHAN-BAHAN:

  • 250 gm. kacang dal (pilih Dal Austarlia kerana ia lebih lemak dan kurang bau. Nak kenalnya, ia lebih bersaiz besar dari kacang Dal dari India yang bersaiz kecil dan leper). Basuh dan Rendam selama 4 jam atau lebih. Selepas tempoh rendam, kisar sedikit dan toskan dalam penapis. Nota: sebelum kisar keseluruhan kacang dal , ambi dua sudu besar (tbsp) dan simpan.
  • 2 tangkai cili kering dihiris halus.
  • 1 labu bawang sedang dipotong dadu halus atau boleh hiris halus.
  • 1 sudu kecil (tsp) biJI jintan manis.
  • 6-8 helai daun kari dicincang.
  • 1/2 sudu kecil garam masala (tak  kemestian kalau ada gunakan).
  • 1/2 inci halia dicincang halus.
  • Garam secukup rasa mula dari 1/2 sudu kecil (tsp)
  • Minyak untuk goreng.

CARA-CARA:

1. Masukkan kacang dal yang telah rendam itu dalam mesin kisar(blender). Kisar kacang dal di tambah air sedikit demi sedikt semasa kisaran. Biar hasil kisaran anda halus sedikit. Asingkan hasil kisaran dalam satu bekas penapis untuk tos airnya.

2. Bila hasil tos anda agak dintara kering dan basah, masukkan daun kari, bawang , biji jintan manis, hirisan cili kering dan garam masala, halia cincang dan garam dalam sebuah bekas. Gaul rata secara ambil setapak tangan hasil kisaran tepukan kepada  hasil kisaran yang terdapat dalam bekas. Ia sebenarnya cara masukkan udara dalam adunan bagi hasil vadei anda gebu dan lembut. Kalu anda buat tosei juga perlubuat cara ini dengan memukul tepung tosei itu. Masukkan kacang dal yang telah diasingkan tanpa kisar. Adunkan sama rata

3. Ambil hasil pes campuran dan jadikan bulat dan leperkan di atas tapak tangan anda. Tentukan guna sarung tangan plastik dan basah sedkit dengan permukaan sarung tangan anda supaya pes kisaran tidak melekat di tapak tangan anda. Anda juga boleh lakukan dengan daun pisang. Nota: Kalau anda tidak berpengalaman atau mahi, gunakan sudip yang telah rendam minyak dalam kuali. Letakan sudip ditepi gerigi minyak tolak masuk adunan itu dalam minyak panas dengan bantuan sudip satu lagi atau sudu).

4. Panaskan dan tentukan minyak gorengan boleh tengelami “vadeh”  yang akan gorengan. Dalam gorengan vadei ini minyak perlu cukup panas sebelum mulakan gorengan. Mulakan gorengan dengan api dapur yang sederhana. Kalau minyak tak cukup panas vadei anda akan bertaburan dalam minyak. Kalau api dapur atau minyak terlalu panas anda boleh kecil apai dapaur untuk vadei masak sempurna.

5. Jangan goreng terlalu banyak kuanti dalam kuali  kerana Ia akan menurunkan suhu minyak gorengan. Goreng 4 atau lima, dan tentukan ia tidak bertindeh di antara satu sama lain. Suhu minyak perlu dijaga sentiasa jika  tidak vadey anda bertabur dalam kuali atau pun hangus sebelum masak. Masa gorengan selalunya 5-6 minit vadey anda cukup masak dan garing. Vadei yang masak biasanya akan terapong naik ke atas dan bueh-bueh semakin kurangan melalui vadei.

Selamat mencuba.

Mudah bukan resepi ini yang perlukan cuma berlatih. Sila cuba hari minggu ini untuk minum petang yang berlainan sedikit dari lain dengan seisi keluarga. Jangan suka makan di luar selalu. Seminggu sekali masak sendiri. “Practice Make Perfect”. Kalau ada jiran orang India hadiahkan vadey anda dan tanya komennya. Pasti dia teruja dengan “vadey” anda!. Jiran patut diutamakan dari saudara mara yang jauh. kalau ada masalah seperti biasa e-mail kat Mamak kita kongsi pengalaman. mohd.roslan99@gmail.com

Nota: Kepada saudara/saudari “kecepus”…tentang promosi kedai Nasi Lemak anda, insyallah.. akan datang bila Mamak tulis tentang resepi Nasi Lemak Kukus Pulau Pinang..mamak sertakan sekali promosi untuk anda.. peluang promosi diblog Mamak ini  percuma dan secara ikhlas. Apa yang anda patut buat ialah: Hantar Resepi terbaik, Gambar-Gambar, dan alamat berserta email atau contact no untuk membuat tempahan. Katerer yang berniaga dari rumah bersaiz kecil atau ingin mulakan perniagaan, amat digalakan promosikan “Perkhidmatan katering” anda diblog Mamak. Insyallah Mamak bantu anda dalam Strategi Pemasaran. Gunakan peluang ini.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 6,038,831 hits
Mac 2011
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Kemaskini Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.