PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for Jun 2011


Inventori?. Apa benda ini?…hahaha!. Inventori ini adalah stok barangan yang disimpan untuk masak yang perlu ada dalam stor anda dalam perniagaan Restoren, Katering, kantin atau pun kafeteria. Inventori juga adalah persediaan sejumlah barangan untuk menu yang disediakan untuk memenuhi permintaan dari pelanggan. Ia bersifat kitaran yang perlu sentiasa dibeli dan perlu dijual. Pengurusan “Inventori” ini amat mustahak dalam setiap perniagaan. Pengurusan Inventori dalam bidang penyediaan makanan adalah  mudah diperbandingkan dengan perniagaan pembekalan atau pun kilang pengeluaran produk. Inventori bukan saja akan permudahkan perniagaan malah boleh menguntungkan dan majukan sesebuah syarikat.

Mamak mula mengenali inventori ini sejak 20 tahun yang lepas semasa menjadi pengurus restoren bapa saya di Pulau Pinang. Ini bukanlah bererti bapa Mamak tahu sebutan “inventori” ini kerana beliau tidak pernah menjejak kaki di kolej untuk mempelajarinya. Baginya pengalaman adalah segala-galanya. Dia belajar dari pengalaman. Bapa kami garang orangnya tetapi cuma mendidik anak-anak tetapi bila di Restoren sifat garangnya berubah menjadi orang paling ramah dan sentiasa mengukir senyuman di mukanya. Inilah salah satu rahsia kejayaan restorenya. Ramai tokoh-tokoh politik dan perniagaan adalah sahabat rapat bukan kerana politik atau pengaruhnya tetapi dia tahu apa yang mereka suka makan dan minum. Pernah Mamak dengar celoteh seorang tokoh perniagaan termuka-muka di negara ini pernah berkata, ” Mamak lu memang pandai..lu tau apa saya mahu makan dan minum. Lu tau, say punya bini pun tak tahu mcm Mamak tahu taste saya. Itu pasal saya mesti mai lu punya restoren kalau ada di Penang”. Inilah dikatakan dalam perniagaan restoren “personel touch” dengan pelanggan amat penting. Anda perlu dapatkan pelanggan tetap dengan layanan peribadi seperti bagaimana “teh tarek” yang dikehendaki seperti lebih susu, warna teh tarek dan berbagai-bagai kehendak pelanggan. Bagaimana roti canainya garing atau tidak berminyak dan lain-lain. Maka pelangan yang terima  layanan seperti ini akan berkekalan menjadi pelanggan setia anda. Tetapi zaman sudah berubah….suasana Restoren Mamak juga berubah dengan seorang pemilik restoran memiki  puluhan restoren dan menjadi canggih dengan pekerja-pekerja dari negara luar yang monopoli. Pekerja ini tidak peduli pelanggan itu tetap satu singgah pertama kali. Ahhh…kehilangan Nostalgia Restoren Mamak. Mamak dah..terbawak-bawak diri pulak dah!. Harap maaf. Bila sebut pasal “inventori” ini, satu kisah silam yang Mamak tak dapat lupakan ialah, bila baru menjejak kaki ke bidang Restoren, Bapa Mamak bawa ke bilik setor restoren dan tunjuk ke arah barangan stok masakan yang disusun rapi di rak-rak dan bertanya, “apa itu?”. Mamak dengan megah mula menyebut nama barangan yang disusun di rak-rak itu satu persatu.  Bapa Mamak terkenal dengan garang dan suara keras, “Bodoh, yang awak nampak itu duitlah!”. Anda faham maksudnya?. Setiap kali anda lihat stok barang di setor itu adalah, “wang ringgit yang tersusun!”. hahaha..pelik bukan cara Mamak-Mamak dalam perniagaan restoren ini?. Setiap kali barangan dalam setor ini rosak, dicuri atau staff anda menggunakan berlebihan dari normal ia bererti sebenarnya telah kehilangan “duit”. Cuba bayangkan sebelum anda buka perniagaan baru anda penuhkan stor simpanan atau peti sejuk dengan stok barangan untuk dimasak atau menggunakan sebagai perencah masakan. Ia seperti anda masukkan duit dalam setor anda. selepas dua atau tiga hari semua barangan dalam stok anda telah habis dan anda perlu masukkan lagi stok. Ia seperti satu kitaran yang sentiasa berlaku. Keadaan ini akan berterusan selama anda berniaga.

Ingat!, inventori adalah bahan makanan yang anda telah beli dan menyimpan di dalam setor. Tak kira nilai inventori  anda sekiranya hanya bernilai RM500 atau mencecah RM50,000. Sebelum anda belum jual pada pelangan anda nilai sebenar inventori yang anda simpan tidak ada erti kepada perniagaan anda. Inventori yang anda ada itu cuma sesakan ruang dalam setor,  aliran wang tunai terikat dan ada kalanya barangan rosak kerana terlalu lama berada didalamnya. Tujuan inventori sebenarnya ia menyimpan stok untuk memenuhi permintaan pelanggan pada ketika diluar jangkaan. Dari pengalaman Mamak sendiri apabila kita cuba kurangkan paras inventori, kos penyediaan makanan (Food Cost) akan turun. Jangan pula untuk turunkan paras food cost, inventori anda menjai kering kontang. Maka kita perlu memahami secara mendalam bagaimana mengawal inventori dalam perniagaan kita supaya ia berada paras yang betul dan tidak membazirkan.

Dua Langkah Dalam Mengawal Inventori Anda:

Apa yang perlu dilakukan untuk mengawal inventori,  pastikan berapakah jumlah sebenar keperluan inventori dengan mula mengira kerperluan inventori yang patut berada dalam bentuk “jumlah hari “.

  1. LANGKAH PERTAMA:

a. Mengira kos purata harian bahan masakan (Daily Food Cost).

Unntuk mendapatkan, Kos Bahan Masakan Harian (Daily Food Cost) = Kos Bahan Masakan BAHAGI dgn Jumlah Hari mengikut Jangka masa ditetapkan (seperti 1 minggu/ 7 hari atau sebulan/30 hari).

Daily Food Cost = Food Cost/ Period In Days.

LANGKAH: 2

Pengiraan Jumlah Jualan Harian (Daily Sales) dalam Inventori.

Jualan harian Dalam Inventori = Inventori Bahan Masakan Baki Akhir BAHAGI purata Harga bahan masakan harian (Average Daily Food Cost).

CONTOH PENGIRAAN:

Anda memerlukan informasi untuk pengiraan jumlah hari jualan menerusi penyata kewangan.

  • katakan: Jumlah hari Jualan adalah: 30 hari.
  • Kos Bahan Makanan (food cost) untuk jangka masa ini ( Diambil dari penyata untung rugi syarikat) : RM30,000.
  • Inventori Makanan Berakhir ( Dari balance Sheet) : RM10,000

LANGKAH:1

Kiraan Purata Kos Bahan Makanan Harian (Daily Food Cost)

RM30,000 / 30 Hari = RM1,000

LANGKAH:2

Kiraan Inventori Jualan Dalam Bentuk “Hari”:

RM10,000/ RM1,000 = Maka anda punyai10 hari dalam nilai bahan masakan.

 

Nota: Mamak akan disambung dalam bahgaian 2: Bagaimana mengawal kos bahan masakan dengan cara mengawal paras selamat inventori. 

Advertisements

Ada pembaca mungkin ketawa terbahak-bahak bila baca tajuk di atas. “Apa yang Mamak haji mengarut ini?”..hahahaha. Walau apa pun Mamak perlu bawa tajuk ini kerana ramai peniaga-peniaga restoren, taWkey-taWkey warung atau kantin kadangkala  percaya dan yakin pada kesan “sihir” dalam perniagaan mereka. Tapi jangan tanya pulak pada Mamak Haji ada kah saya yakin pada benda sihir ini?. Pada mulanya Mamak Haji memang berat dan sukar untuk tulis tentang perkara ini kerana Mamak haji tidak ada Ilmu kebatinan atau pengetahuan mendalam tentang bab Ilmu-Ilmu ghaib ini. Mamak terpaksa menulis posting kali cuma berbekalkan dengan Ilmu yang cetek dan sandarkan pengalaman dalam mengamati tentang Ilmu sihir ini khususnya dalam perniagaan restoren dan kedai makan memberanikan diri untuk menulis. Banyak juga Mamak terima e-mail berkenaan bab ini. Tapi Mamak tidak membalasnya takut salah ditafsirkan oleh pembaca. Tapi apa yang membuatkan Mamak menulis tentang sihir ialah apabila terbaca dan hati ini tersentuh dengan e-mail dibawah ini oleh salah seorang pengunjung blog ini. Pada mulanya Mamak cuma nak menulis secara peribadi untuk penghantar e-mail tapi bertukar fikiran untuk kita kongsi bersama. Sebelum baca posting ini mamak mohon kemaafan sekiranya apa yang Mamak menulis melalui pengalaman ini tersentuh atau terguris hati sesiapa jua dan kenyataan yang salah. Janganlah anggap Mamak nak tunjuk pandai kerana Mamak menulis dari keikhlasan dan pendapat dari buah fikiran sendiri. Yang pandai dan cerdik cuma Alllah SWT. 

e-mail:

assalamualaikum mamak haji. Apa khbr? sya XXXXX dr puchong selangor. Byk perkara baru yg sya dpt melalui pembacaan sya menerusi pendapat mamak haji. Sya pernah mengusahakan perniagaan restoran bersama suami malah hasil jualan kami pd masa itu alhamdulillah baik. Pd hari pertama berniaga kami mendapar rm 450 kemudian semakin naik dr hari kehari hingga lh rm 1, 200 sehari. Kami berniaga dr jam 7 pg hingga 7 mlm. kawasan tmpt sya berniaga ni merupakan kawasan baru dan pekerja pejabat yg tdk sampai 200 org. restoran menghadap jalan utama dan tmpt kami sebaris dgn hotel bujet yg mmg sentiasa penuh. Sya menggunakan khidmat tukang masak wanita dan kedua2 nyer dr malaysia. d bhgian dpn utk mengambil order dan membuat air adik ipar sya yg membantu dan seorg pekerja lelaki dr terengganu. tiap x cuti sekolah sya akan ambil 2 org pekerja tambahan utk bahagian dapur. kesemua pekerja sya bgs dlm kerja msg2.

walau bagaimanapun keadaan dlm restoran mula bermasalah setelah kami menjumpai pelbagai benda yg x masuk d akal dlm dan d luar kwsn kedai. Kami mash bertahan dan tidak lupa utk menunaikan solat bila sampai waktu. malang nya ada sja perkara yg tdk kena berlaku. kami berikhtiar semampu yg blh. dr jualan 1 ribu lbh sehari akhir nyer jualan kedai hanya dapat rm 100 sehari. puas sya fikir d mana silap sya. semua perkara yg sama dr segi masakan msh kekal. rata2 mereka memuji masakan yg ada… alhamdulillah. brg2 utk katering juga kami beli dn kesemua nya brg baru. modal yg kami keluarkan dr duit poket kmi sendri… sya percaya mamak haji dpt byg kn. pd waktu itu kami sentiasa dpt order dr stesyen dn pernah dpt katering utk majlis perkahwinan yg d buat d dewan putrajaya. MALANG nyer…. keadaan sya bertambah tdk baik. sya jatuh skt namun doktor ckp sy sihat… bingung kami d buat nyer. malah sya dn suami pantang berjumpa asyik bergaduh tnpa ader sebab.

akhir nya kmi terpaksa buat keputusan yg amat mendukacitakan. kami terpaksa tutup kedai walaupun rasa terlalu sedih. brg2 katering semua msh ada dan baik. minat yg mendalam pd perniagaan makanan ini msh kukuh dlm diri sya. keadaan sya skrg alhamdulillah semakin baik dan alhamdulillah juga kami sekeluarga baru pulang dari umrah minggu lalu…. 11hb. sya ingin mnta pndpt haji mamak…. bgmana harus kami mulakan semula perniagaan kami sbb kdg2 sya jd tkt. pernah sya fikir utk antar mknan bungkus ke kilang2 tp payah nk dapat peluang. bila tgk brg2 katering dan set mkn utk meja vip rasa terlalu sedih. tlg la beri pendapat mamak haji dan pendapat dr mamak haji amat saya hargai… t;ksh

Jawapan: Manusia selalunya ingin mengetahui setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya. Apabila berlaku perkara yang sukar mendapatkan penjelasan mengenainya, maka kita akan memberi penjelasan dan pendapatnya sendiri kerana kabur dengan penerangan yang logik yang diharapkan dari sumber keyakinan kita. Ini termasuklah berkenaan orang barat masih ada yang percaya pada makhluk angkasa lepas, igaun tentang “big foot” dan lain-lain walau pun dari saintifik tidak dapat dibuktikan. Orang barat atau pun orang Timur ramai yang yakin pada Ilmu sihir. Sihir bukan perkara baru dalam alam mistik. Ilmu sihir dan undang-undang kanun negara mengenainya telah wujud seawal zaman Mesopotamia melalui undang-undang bertulis melalui, peruntukan no.2 kod Hamurabba dan di Rom pula di zaman Julius Caesar melalui peruntukan “The Twelve Table”. Adalah dirumuskan bahawa sihir boleh dibuktikan di Makamah. Maka jangan pandang ringan pada perbuatan Sihir, yang memang wujud.

Sebenarnya ada banyak lagi cerita-cerita seperti di atas yang boleh kita dengar. Tapi anehnya di negara kita yang berbilang bangsa, ia banyak berlaku pada bangsa Melayu. Kenapa dalam bab berniaga orang Melayu suka pakai sihir?. Apa yang kaitan sihir dengan perniagaan?. Apakah sihir boleh membantu majukan perniagaan atau sengaja bertujuan ingin binasakan perniagaan sesama saudara Islam atau bangsanya sendiri?. Allah SWT banyak kali berfirman supaya manusia menjauhi ilmu sihir kerana ia adalah nyata perbuatan Syaitan terkutuk. Apakah peniaga-peniaga Melayu menjurus dalam amalan sihir ini kebanyakannya terdiri dari peniaga kurang ilmu perniagaan?. Dalam dunia perniagaan persaingan adalah budaya amat baik dan sihat. Ia memajukkan perniagaan bangsa Melayu untuk bersaing dengan bangsa lain. Tapi malangnya peniaga-peniaga Melayu seringkali berpendapat persaingan dalam perniagaan sesuatu perkara yang akan menggugat kedudukan perniagaan mereka. Maka sihir menyihir wujud di anatara peniaga Melayu.

Apa yang dikatakan sihir?. Sihir adalah satu perbuatan yang dilarang oleh Agama Islam untuk menyakiti atau mempengaruhi badan, akal atau hati , orang yang disihir dengan tanpa melalui sentuhan sama sekali yang dilakukan di luar dari hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu. Dalam istilah dunia Melayu, sihir digelar ILMU HITAM. Ilmu hitam sebenar adalah Ilmu Ghaib digunakan bagi menjatuhkan orang lain bagi mencapai kepentingan diri sendiri tanpa memperdulikan akibat ke atas dirinya dan juga kesengsaraan ke atas orang lain. Ilmu Hitam adalah dikatakan berkait rapat dengan golongan jin-jin. Dari pengamatan cendiakawan Islam, sihir ini wujud melalui dua malaikat yang diturunkan oleh Allah  “Harut” dan “Marut”. Kisah tentang malaikat ini dihuraikan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 102.

Dari pakar-pakar kajian sihir, tanda-tanda orang yang terkena sihir ialah, sering sakit kepala, berasa malas bekerja tanpa sebab, hilang dorongan majukan diri (kurang motivasi), pertelingkahan sering berlaku dinatara suami-isteri dengan tanpa sebab, pekerja-pekerja yang berkerja dalam sesebuah perniagaan sering bertengkar, gaduh dan kerap berhenti, sakit yang sukar dirawat cara pengubatan moden, selalu bermimpi ular, orang yang telah meninggal dunia, dan mimpi yang aneh-aneh. Kadangkala mereka yang terkena sihir terdengar bisikan-bisikan dan juga kerap kali terlihat bayangan lembaga-lembaga yang gerun, sekiranya di restoren anda sering terjumpa duit syling, wang kertas tanpa ketahui puncanya dan juga bungkusan-bungkusan yang aneh dan juga pasir atau kemenyan ditaburkan di lantai premisis, kadangkala kedai atau restoren anda menjadi ghaib dari pandangan pelangan dan kerap kali ada benda asing dalam periok nasi atau di hidangan makan pelanggan.

Syeikh Muhammad Al-Imam Rahimahullah mengatakan sihir menggunakan bantuan syaitan, ada tiga jenis:

  1. Sihir Hitam.
  2. Sihir Merah.
  3. Sihir Putih.

Sihir Hitam dan Merah ini dicela oleh Allah dan Rasulnya. Penyihir keji seperti ini menggunakan berbagai cara yang mungkar dan keji seperti menulis ayat-ayat Al-Quran diterbalikkan dan dakwat tulisannya menggunakan najis atau air kencing atau darah haid. Pada luaran penyihir-penyihir ini seperti guru agama atau orang yang warak tetapi dibelakang mereka ini melakukan segala kekufuran. Maka awaslah orang seperti ini semasa meminta pertolongan dari mereka ini.

Sihir Putih:

Sihir putih ialah ungkapan dari perbuatan Ta’awwudz Syikiah (atau memohon perlindungan  yang terdapat ke syirikan didalam untuk menolak sihir hitam atau merah. Ta’awudz ini sekarang telah tersebar begitu luas di negara ini kerana kemungkinan di sebabkan penyebaran sihir hitam dan merah

Dan Allah berfirman: MaksudNya, ” Katakanlah lagi: ” Tiada sesiapa pun dilangit dan bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”. (An-Naml:65). Maka fahami dan yakini dengan Firman Allah SWT ini.

Akhir sekali nasihat mamak yang tua ini, sihir itu memang wujud dan memang ada tapi janganlah jadikan  ia sebagai mengawal kehidupan kita seharian dengan dari segala aspek. Yakin dengan kuasa Allah dan menguasai ilmu perniagaan dan rajin akan menjadikan anda berjaya dalam perniagaan. “La haula wa la quwata illa biLLAHI azim”.

  1. Bagi yang ingin membuka premisis perniagaan baru, amalan biasa mamak ialah, membaca ‘Ayat Kursy’ mengikut kitab “Asraarul Mufidah”. Biasanya premisis baru mamak baca 786 kali. ( kini anda tahu rahsia 786?)  dihadapan premisis baru lalu dihembuskannya selama tujuh hari. Insyallah dengan izin Allah akan majulah perniagaan anda.
  2. Semasa berlapangan dalam kedai bacalah surah Al-Walaqiah kerana surah ini akan menjadi salah satu penyebab untuk melimpahkan rezeki.
  3. Selepas solat subuh tasbih: Subhanallahi wabi hamdi subhanallahi lazim astagfirullah sebanyak 100 kali.
  4. sentiasa zikir tarek “Ya Lathiif “ insyallah jualan menjadi laris.
  5. Zikir “Ya Baaqyi” Insyallah apa yang kita berusaha cepat berhasil, perniagaan tidak akan rugi kerana sihir atau perbuatan-perbuatan laknat.
  6. Maka tanda-tanda terkena sihir seperti diperkatakan di atas perlu diawasi dan perlukan tindakan susulan untuk mengelakan terkena sihir atau perbuatan-perbuatan jin-jin yang jahat. Sebelum sehari membuka perniagaan restoren atau kedai makan dimulakan biasanya dengan bacaan Yassin dan tahlil untuk memastikan jin-jin yang berada di dalam kedai baru itu keluar terlebih dulu sebelum dipagar dari gangguan jin-jin yang menjadi bakal pengganggu perniagaan. Kadangkala pagar juga roboh sekiranya pelangan sendiri membawa masuk saka. Maka kaedah bacaan Al-Quran  perlu diamalkan selepas solat subuh dan solat di restoren setiap waktu amat dimestikan untuk pekerja beragama Islam. Pekerja perlu diberi keutamaan melakukan solat apabila tiba waktu dengan bergilir-gilir.

Amalan di atas adalah amalan Mamak yang biasa. Kerana Mamak yakin dengan Firman Allah SWT: ” katakanlah, “aku berlindung kepada Tuhan yang menciptakan sekelian Makhluk, Dari bencana makhluk-makhluk yang ia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (Surah Al- Falaq). Maka tidak perlu gusar atau takut dengan perbuatan jahat yang ada di mana-mana untuk mencari rezeki halal di muka bumi kepunyaan Allah ini. Takbir x3. Wassalam.


Falasafah dalam perniagaan mempunyai tiga ciri utama:

  1.  Tujuan – Persolan yang berkisar mengenai kenapa kita perlu      berkecimpung dalam perniagaan?.
  2.  Mengatur strategi perniagaan.
  3.  Nilai dan etika perniagaan yang membabitkan nilai atau polisi  dan  etika yang diatur untuk memacu sesuatu operasi perniagaan.  Bagaimana sikap sebagai seorang pemilik perniagaan bertindak  bersama dengan pekerja untuk menjalankan perniagaan.

 1. TUJUAN BERNIAGA:

Mengikut perpektif cara pemikiran peniaga-peniaga dari barat,  tujuan berniaga bagi mereka cuma mendapatkan keuntungan, tetapi  dengan peredaran masa dan dari pengalaman, perpektif tujuan  perniagaan barat ini telah berubah dengan memberi penekanan kepada, tujuan berniaga sebenarnya adalah untuk memenuhi tanggung-jawab sosial. Perubahan pemikiran falsafah barat ini di sebabkan masyarakat barat kini menganggap seorang peniaga perlu bertanggungjawab pentingkan alam sekitar di kawasan yang dia berniaga, kebajikan masyarakat setempat dan juga kebajikan pekerjanya. Dari pandangan peniaga-peniaga barat, tanggung jawab sosial ini boleh meningkatkan imej sesebuah syarikat perniagaan mereka dari kaca mata masyarakat dan sekali gus boleh meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan atu produk mereka.

Pandangan falsafah perniagaan Islam, lahir dari falsafah kehidupan manusia yang telah ditentukan oleh Islam. Ia berbeza dari falsafah barat yang seringkali berubah mengikut selera atau dari pengalaman. Tujuan berniaga mengikut falsafah perniagaan Islam berasaskan tauhid. Ia berkaitan rapat dengan kesan tauhid dalam kehidupan manusia. Keperluan asas mengikut tauhid adalah:

  1. Agama.
  2. Nyawa.
  3. Akal.
  4. Keturunan.
  5. Harta.

Masa’lih bermakna segala yang memelihara salah satu atau kelima-lima perkara yang tersebut di atas.

Mafa’sid pula bermakna segala yang boleh memberi kesan negatif  ke atas salah satu atau kelima-lima perkara di atas. Islam mengharamkan mafa’sid dalam kegiatan perniagaan kerana ia jelas boleh memberikan kesan yang negatif terhadap pencapaian dharuriyah,  ia itu dalam memelihara kelima-lima perkara di atas. Contoh ialah perniagaan arak diharamkan oleh Islam kerana kita boleh memahami rasionalnya dengan memahami kesan negatif arak terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda manusia.

Dengan sebab ini lah kegiatan perniagaan dalam Islam adalah dianggap bagi salah satu Ibadah. Sekiranya perniagaan dilakukan dengan niat yang ikhlas serta bersesuaian dengan syariat Islam akan mendapat keredhaan Allah SWT. Maka tujuan membuka perniagaan perlu dimulai dengan niat yang murni untuk memenuhi tanggung jawab seperti berikut:

  1. Keperluan diri secara sederhana.
  2. Keperluan untuk keluarga.
  3. keperluan untuk masa depan diri sendiri.
  4. keperluan untuk keluarga di masa depan.
  5. Perkhidmatan yang disalurkan kepada kepentingan sosial termasuk berusaha menegakan agama Islam, membantu ummah dengan membasmi kemiskinan, menyediakan pekerjaan untuk yang diperlukan dan lain-lain tanggung jawab terhadap masyarakat Islam setempat.

Rasullullah s.a.w pernah memberi motivasi untuk kaum muslimin menceburkan diri dalam perniagaan dengan bersabda: maksudnya.

“Didorong atas kamu ialah perniagaan kerana di dalamnya ialah sembilan per sepuluh daripa rezeki”.

2. Etika peniaga-peniaga yang beragama Islam:

a. Harga Jualan Yang Adil:

Peniaga haruslah menetapkan harga yang adil dan berpatutan terhadap sesuatu barangan jualan untuk pembeli. Harga yang ditawarkan haruslah mencerminkan interaksi normal di antara permintaan dan penawaran harga. Penetapan harga barangan perlu tidak disebabkan oleh sesuatu pakatan yang sengaja diwujudkan di antara peniaga-peniaga untuk mengaut keuntungan dari pembeli. Sekiranya pakatan peniaga berlaku, pembeli tidak punyai pilihan kerana harga barangan dimonopoli dengan nama persatuan-persatuan peniaga cuma untuk meningkatkan harga barangan jualan. Harga yang tidak adil akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan tidak akan dapat memenuhi keperluan mereka. Harga yang tinggi yang dikenakan juga akan membawa persaigan sengit sesama peniaga-peniaga dan juga boleh memberi kesan negatif kepada daya maju sesuatu perniagaan untuk jangka masa panjang.

b. Kualiti Perkhidmatan.

Islam sangat menekan kualiti barangan dalam perniagaan khasnya makanan halal yang dihasilkan. Makanan yang dihasilkan tidak berkualiti boleh menjejaskan kesihatan pelangan. Masalah keracunan makanan adalah punca daripada bahan makanan dan pengendalian yang tidak berkualiti. Sekiranya kita memahami falsafah perniagaan Islam, apabila masakan kita memudaratkan kesihatan manusia ia di anggap satu perbuatan yang di murkai Allah swt.

c. Pandangan Islam mengenai menzalimi pekerja:

Salah satu elemen yang penting dalam perniagaan adalah menguruskan manusia agar mereka dapat meningkatkan produktivit dan kualiti pengeluarandalam perniagaan mereka. Untuk mendapatkan komitmen dan rasa tanggung jawaban serta partisipasi daripada pekerja, untuk mencapai matlamat kejayaan dalam perniagaan adalah amat sukar. Yang  penting ialah menjaga hubungan yang baik dengan pekerja dan menjaga kebajikan mereka. Sekiranya kita gagal dalam menjaga kebajikan pekerja kita tetapi di sebaliknya kita memaksa mereka memberikan komitmen terhadap produktiviti maka gelaran yang sesuai  ialah “Zalimi Pekerja”. Dengan ini pekerja yang dizalimi akan mencari jalan keluar dan berhenti bekerja. Bagaimana cara jauhi dari digelar zalimi pekerja?.

  • Memberi upah gaji yang berpatutan. Sesuai dengan mengambil kira produktiviti dan keuntungan syarikat anda. Gaji yang diberikan perlu juga sesuai dengan kos sara diri setempat pekerja itu bekerja. Keadaan inflasi dan juga kenaikan harga barangan perlu diberi perhatian dalam menganggar gaji mereka.
  • Mengambil sesuatu keputusan dengan mengambil kira pandangan dan buah fikiran setiap pekerja untuk memajukan perniagaan. Participation management adalah pengurusan yang melibatkan keseluruhan pekerja. Cara pengurusan ini amat sesuai dalam bidang katering, restoren atau kantin.
  • Mewujudkan suasana kerja yang stabil, harmoni, terurus, bersih dan selamat untuk bekerja. Pekerja perlu merasakan bahawa mereka adalah dihargai, dan sentiasa perlu bekerja dalam satu pasukan. Tidak memberi laluan kepada perselisihan atau pergaduhan di antara sesama pekerja. Selesaikan maslah kontraversi di antara mereka. Ini untuk mengelakan daripada penurunan semangat dan morale pekerja untuk bekerja.
  • Keselamatan dalam kerja adalah penting. Ciri-ciri keselamatan haruslah diambil kira walau pun ini bermakna kos pengendalian dan pengurusan bertambah.
  • Memastikan pekerja diberi peluang melanjutkan pendidikan dan diberi latihan secukup dengan berusaha untuk membangunkan personaliti yang seimbang ditempat kerja. Kita tidak mahu pekerja merasa rendah diri dan sentiasa tertekan.

Bidang katering adalah sebuah Industri yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Kita tidak boleh pragmatik dalam industri ini. Kita sebagai katerer perlu sentiasa majukan diri dalam apa jua keadaan yang memerlukan. Pelanggan masa kini bukan pelanggan yang 20 tahun yang lalu. Pengetahuan pelanggan tentang bidang permakanan begitu luas. Bidang kulinari sedang berkembang pesat di negara ini. Semakin banyak kolej dan universiti tempatan menghasilkan graduan-graduan dalam bidang ini. Maka tak heranlah semakin banyak Ilmu dalam industri disebarkan untuk orang ramai. 10 tahun dahulu pelanggan cuma mementingkan keenakan makanan yang anda sajikan, ketepatan masa masakan dihidangkan atau pun jumlah makanan yang mencukupi untuk tetamunya yang diundang. Pelanggan juga tak peduli  dari mana punca daging ayam atau lembu itu dihasilkan, berapa banyak  nilai kalori atau dari mana punca sebenar sayur-sayuran dihasilkan untuk jamuan. Tetapi kini zaman telah berubah; ramai pelanggan yang terdiri dari golongan elite, ingin tahu serba-serbi tentang apa yang mereka makan. Seperti orang Eropah berkata, “know your farmer, know your food”. Maka tak heranlah pelanggan ingin tahu dari ladang ternakan mana asal daging kambing, lembu, atau ayam yang anda sajikan untuk mereka atau dari mana sumber sayu-sayuran itu ditanam dan diperolehi.

Industri makanan kini pesat berubah. Makanan “organik” mula ambil tempat dalam industri makanan. Manusia kini lebih takut untuk mati. Takut mati kerana siksa kubur dan Neraka tak mengapa tapi ramai takut mati kerana kekayaan duniawi yang menutup mata dan hati seperti orang celik yang meraba dalam kegelapan. Ada juga segelintir petani yang sanggup mencari kekayaan menggunakan berbagai-bagai kaedah untuk mengaut keuntungan dari hasil tanaman dan juga haiwan ternakan. Berbagai kaedah sains moden digunakan untuk menghasilkan ternakan dan hasil tanaman yang lumayan tanpa memikirkan risiko kepada orang ramai yang memakan daging dan sayur-sayuran mereka. Binatang ternakan disuntik “anti-biotik” dan tanaman sayur-sayuran digunakan seribu satu racun yang telah dilarang seperti racun Lindane dan DDT yang lama telah diharamkan di negara-negera Eropah dan Amerika. Benua Asia menjadi pasaran baru untuk mereka. Daging haiwan ternakan disuntik anti-biotik boleh menyerap pada tubuh badan kita melalui daging haiwan ternakan itu. Kerap kali sayur-sayuran yang di ekspot ke negara Singapura dari negara ini telah diharamkan. Kadang-kala Mamak terfikir juga bila serangga pun tak rela makan sayur-sayuran yang disembur racun bagaimana pula kita memakannya untuk mendapat zat dari sayur-sayuran ini. Racun akan kekal berada pada tubuh badan manusia sehingga lebih 10 tahun lamanya. Tak mustahil trends katering akan berubah kepada “makanan organik’ di masa akan datang.

Di negara kita makanan organik menjadi lebih popular dikalangan golongan elite. Di negara Amerika dan Eropah telah menjadi trend baru dalam industri makanan sejak 1990 lagi. Di Amerika Sijil piawaian organik telah dikeluarkan dibawah akta mengenai makanan organik, “organic Foods production Act (OFPA) di lancarkan pada 1990. Di Malaysia kementerian Pertanian melaksakan pensijilan organik pada 2001 dibawah piawaian Skim Organik Malaysia dibawah Malaysian Standard MS1529:2001. Kini industri organik berkembang pesat di negara kita. Boleh dikatakan setiap pasaraya besar ada bahagian makanan organik. Katerer perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan makanan organik ini untuk menghadapi cabaran baru dalam industri katering moden.

P/S: Mamak mohon maaf kerana dah lama tak buat posting baru. Kedaan kesihatan Mamak yang dah berumur ini tak mengizinkan untuk menulis kerap kali. Pada pengunjung blog ini yang kirim e-mail, mamak harap bersabar dan setiap e-mail anda Mamak cuba balas seberapa segera yang boleh.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 6,187,014 hits
Jun 2011
I S R K J S A
« Mei   Jul »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Kemaskini Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.