PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for Januari 2012


Mamak Haji amat tertarik dengan komen seorang dari pembaca blog ini: “saya mahu berniaga, tapi saya perlukan ‘cara’. akhirnya saya mencari ‘cara’ dengan memohon belas ehsan dari kerajaan yang mendabik dada mengatakan mahu membantu dari segi kewangan dan buah fikiran. akhirnya saya mengambil peluang tersebut. saya mengizinkan diri saya untuk dilatih oleh pihak tertentu yang dianggap ‘berjaya’ oleh pihak kerajaan selama enam bulan. pihak yang berjaya ini hanya berniaga di foodcourt di damansara, sementara satu lagi di bangsar. pada satu hari saya ditugaskan untuk berada di outlet bangsar, saya sangat kecewa bila dalam masa sehari saya berada disitu satu pun order tidak masuk. adakah ini yang dimaksudkan berjaya oleh pihak kerajaan, adakah pihak ini layak melatih saya untuk menjadi usahawan yang berjaya??.

Mamak Haji tiga atau lima kali ulang baca tulisan yang tercetus dari hati yang ikhlas. Apa rumusan tentang mengetahui cara berniaga sebelum mula berniaga?. Apakah betul orang kata, “cakap bukan serupa bikin”.  Ramai yang boleh cakap tapi sukar nak lakukan apa yang dicakapkan. Ia seperti kerajaan meminta siswa yang mengangur menjadi petani moden menanam jagung. Memang bagus idea ini, kerana dari menggangur lebih baik jadi petani berstatus siswa tanam jagung di kampung untuk dapatkan sumber pendapatan untuk membayar pinjaman PPTN. Tetapi masalahnya timbul pada siswa petani ini ialah, bila jagung yang ditanam itu mengeluarkan hasil dengan siapa kita nak menjual?. Dengan FAMA?. FAMA itu nak jual dengan siapa?.Mamak haji pun kurang pasti, FAMA itu ada lagi atau sudah bungkui!. Ia  sama ceita dengan kawan mamak haji seorang yang sibuk sangat buka kebun sayur kangkong. Bila hasil itu tuai, masalah dia dengan siapa dia nak jual kangkong itu?. Kalau sedikit tak mengapa, mamak haji boleh beli. Ini tanam sampai bertan-tan beratnya. Perniagaan mana pun perlu ada rangkaian. Orang Cina bertani, atau berniaga bermacam-macam perniagaan jadi kaya raya kerana ada rangkaian perniagaan. Pekebun orang Cina yang tanam sayur ini sudah lama telah ada rangkaian ini. Cara mereka mendapatkan rangkaian amat mudah. Setiap pekebun bermula dengan peniaga sayur. Mereka menjadi penjual sayur di pasar-pasar awam bukan di pasar tani. Sayur mereka dapat bekalan dari orang tengah.  Sasaran atau strategi peniaga sayur ini bukannya suri rumah yang beli seringgit kangkung tetapi pengusaha-pengusha katering, kantin atau restoren. Pengusaha ini memerlukan bekalan sayur sama setiap hari dengan kuantiti yang besar. Maka harga yang ditawarkan si penjual sayur dipasar kepada pengusaha ini lebih murah berbanding harga yang dijual kepada suri rumah. Maka penjual sayur ni membuat ikatan perniagaan (bisness link) dengan berbagai-bagai tawaran (sales strategi) seperti menghantar sayur ini kepada tempat perniagaan pengusha, berikan kredit jangka pendek, boleh mengambil pesanan melalui talipon dan penghantaran yang percuma dan berbagai-bagai cara lain untuk menambat hati pengusaha-pengusha ini. Sebenarnya dalam perniagaan ini adalah cara yang dikatakan pengurusan perkhidmatan. Maka pengusaha-pengusaha ini terikat dengan taukeh sayur ini. Semakin lama semakin ramailah pengusaha mula berurusan dengan peniaga sayur ini. Maka dalam sehari kangkung yang diedarkankepada pengusha-pengusha ini berjumlah berat bertan. Peniaga sayur di pasar ini, tidak lagi perlukan orang tengah untuk membekalkan sayur kangkung. Dia boleh membuka kebun sayurnya sendiri yang tanam kangkung untuk bekalkan kepada pelangan-pelangannya. Dia boleh buka kebun cuma dapatkan tiga atau empat pekerja pendatang asing Bangla dengan pajak tanah orang kampung yang terbiar. Kepakaran tanam kangkung dia booleh daptkan dari pekebun mahir. Dia tak perlukan pegawai pertanian atau pegawai MARDI. Semakin lama semakin besarlah kebun kangkungnya kerana orang tengah yang bekalkan sayur-sayuran lain dipaksanya dapatkan bekalan kangkung dari kebunnya. Kenapa terpaksa orang tengah perlu ambil sayur dari si pekebun kangkong ini?. Kerana dia bukan saja bekalkan sayur kangkung saja untuk pelangannya tetapi perlu bekalkan berbagai sayur maka kalau dia nak membeli sayur jenis yang lain dari orang tengah ini, perlu juga orang tengah itu membeli sayur kangkung kebunnya. Dengan ini penjual sayur ini akan menjadi kaya raya kerana lingkaran perniagaan yang begitu unik. Kalau kita ingin nak tanam kangkung dan menjual kepada orang tengah seperti ini, harga kangkung kita dibeli dengan harganya lebih berkali ganda murah dari harga pasaran. Inilah sebab orang Melayu sukar menjadi petani, bukannya malas tetapi di mana mereka nak jual produk mereka?. Di Pasar Tani…hmmm!. yang jual kat pasar tani itu bukan petani tapi beli sayur dengan orang tengah dan jual lebih mahal dari pasar harian. Dengan sebab itulah cuma Pasar tani di Johor Bahru yang paling berjaya. Bukan kerana Johor bahru itu punyai bekas Menteri Pertanian dan kini Timbalan Perdana Menteri yang cekap tetapi kerana pelangannya datang dari negara jiran Singapura yang termampu beli. Perniagaan perlu ada rangkaian, rangkaian yang paling mudah ialah melalui Persatuan. Di negara-negara eropah persatuan petani ini begitu aktif untuk menjaga kepentingan petani. Tetapi sayangnya di negara kita, persatuan lebih aktif dalam politik dari menjaga kaum petani. Di Negara Barat, Harga pasaran hasil pertanian ditetapkan oleh persatuan bukannya kerajaan. Kerajaan cuma menjadi orang tengah di antara persatuan dan pengguna yakni rakyat. Kerajaan menjaga kepentingan rakyat, persatuan pula menjaga kepentingan petani. Inilah sistem ideal dalam negara demokratik. Tetapi apabila kerajaan dikawal oleh segolongan pengusaha-pengusaha yang kaya raya maka “empathy” kerajaan untuk rakyat akan tercabul. Kerajaan pulak mengikut telunjuk taukeh-taukeh besar. Bila taukeh ayam kata, Daging Ayam tak naik”, taukeh ayam pulak naikan harganya. Ini Menteri kata, gula kena kerajaan tanggung subsidi banyak sangat..ini semua cerita basi!. Nak pilihanraya ini macam-macam timbul. Mamak haji dah masak sangat dengan politik ini. Bila kata tak naik..dia naik.  Oklah mamak haji dah terbawa-bawa kepada politik pulak dah?. Cuma mamak haji takut harga gula naik lagi!. Kita tengaok apa yang dikatakan “cara” oleh penulis komen ini.

Bila ingin mulakan perniagaan perlu ada “nawaithu” atau niat yang baik mengikut lunas-lunas dianjurkan agama. Cara orang Islam berniaga dengan orang bukan Islam berniaga banyak perbedzaan. Jangan jadikan peniaga bukan Islam sebagi rujukan untuk orang Islam berniaga. Salah caranya. Takat ingat “berniaga” boleh menjadi kaya-raya, itu cara pemikiran yang tidak gunakan iman. Akal atau pemikiran manusia perlu sentiasa disalut dengan iman. Iman adalah oditor kita untuk bezakan yang baik dan buruk dalam perniagaan. Nabi Besar S.A.W pernah bersabda:

Maksudnya : “Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, dia berkata: “Saya mendengar Nabi Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. ( Al-Bukhari)

 Perkara kedua kita perlu ketahui sebelum buka perniagaan adalah, “Pengurusan Perniagaan”. Pengurusan yang tidak cekap merupakan salah satu masalah dalam operasi perniagaan. Kita sebelum mulakan perniagaan perlu mengetahui sedikit sebanyak ilmu pengurusan perniagaan. Pada umumnya majoriti pengusaha katering atau restoren yang ingin mulakan perniagaan, mempunyai pendidikan formal yang rendah tetapi ini bukan batu penghalang untuk mempelajari sedikit pengetahuan pengurusan perniagaan. Perniagaan zaman kini memerlukan  sistem pengurusan yang lebih moden dan mempunyai daya saing yang tinggi untuk kekal dalam dunia perniagaan. Kita tidak lagi boleh bergantung cara perniagaan cara yang lama. Apa saja kejayaan lampau dalam perniagaan kita bukan jaminan untuk kita terus boleh maju di masa akan datang. Apa itu pengurusan perniagaan?. Pengurusan Perniagaan secara ‘amnya melibatkan empat fungsi pengurusan utama seperti “Pemasaran”, “Kewangan”, “Pengurusan pekerja” dan juga “Pengurusan Perkhidmatan”. Inilah kunci kejayaan sesuatu perniagaan dalam ‘alaf baru ini. Inilah sebab Mamak haji banyak menulis tentang perkara-perkara ini dalam blog ini. Tulisan Mamak Haji adalah dari pengalaman yang telah lalui bukan dari buku-buku teks “Pengurusan Perniagaan”.  Mamak haji juga seperti peniaga-peniaga lain pernah buat kesilapan dan pernah gagal banyak kali dalam perniagaan. Kegagalan perlu dipelajari untuk terus memperbaiki diri kita. Kita jangan takut dengan kegagalan, setiap kegagalan adalah untuk kita maju ke arah kejayaan. Berniaga memerlukan keberanian, rajin, cekal, sabar, ikhlas dan kemahuan ingin belajar. Di bawah ini Mamak Haji menulis sedikit nasihat untuk menaikan semangat untuk mereka yang ingin mulakan perniagaan dan ingin berjaya dalam perniagaan.
  1. Ramai di antara kita mempunyai idea untuk berniaga tetapi sedikit yang membuat keputusan untuk realisasikan sesuatu sekarang. Sekiranya anda ingin berniaga… bukan esok. Bukan juga minggu depan atau tahun depan tetapi lakukan hari ini. Peniaga yang tulin ialah merealisasikan idea bukan seorang yang suka berangan-angan.
  2. Untuk menjadi pengusaha makanan yang terbaik, sentiasa meletakan diri anda ditempat pelangan anda.
  3. Perniagaan makanan anda, tidak wujud untuk diri anda tetapi untuk berkhidmat untuk orang lain.
  4. Untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi, sentiasa tempatkanya dihati anda, untuk beroleh kejayaan.
  5. Pelajaran terbaik yang akan terima dalam perniagaan katering ialah daripada pelangan yang paling terburuk yang pernah anda memberi perkhidmatan.
  6. Peluang berniaga tidak akan mencari kita, kita yang perlu mencarinya.
  7. Kejayaan anda yang lepas, bukan jaminan untuk kejayaan masa akan datang.
  8. Sekiranya kita ingin berniaga kerana sayangkan kemewahan duniawi, kita tidak akan berjaya dalam perniagaan atau dalam kehidupan.
  9. Setiap peniaga perlu buat perubahan, dan sekiranya perubahan itu menjadikan kita gagal, sedia mengaku kesilapan dan membaikinya pada perubahan yang anda lakukan kemudian. Dalam perniagaan perubahan amat perlu.
  10. Sekiranya anda cuma berusaha mencari kejayaan hidup cuma melalui perniagaan, anda pasti akan menemui kegagalan dalam hidup anda dan juga dalam perniagaan. Tetapi anda sayangkan perniagaan ini sebagai sunah Nabi Besar S.A.W sudah pasti anda beroleh kejayaan didunia ini dan akhirat nanti. Insyallah.

Wassalam.

Advertisements

Ayam Masak Bawang berempah  'ala masakan nasi kandar

Ayam Masak Bawang berempah ‘ala masakan nasi kandar

Resepi kali ini, adalah untuk pengemar-pengemar kari yang berperisa bawang goreng. Mamak haji tak tahu kenapa orang India dan orang Cina ini tidak boleh pisahkan dari penggunaan bawang merah dan putih dalam resepi masakan mereka.  Orang India bukan saja gunakan bawang merah untuk masakan tetapi yang mentah pun mereka bedal juga. Apa rahsia bawang merah ini?. Ada yang kata bawang bagus untuk mengawal kolestrol ditubuh badan dan ada juga mengatakan ia memberi kuasa umpph! untuk lelaki seperti khasiat tongkat ali. Pada ‘amnya bawang merah atau putih ini memang punyai rahsia perubatan yang tersendiri. Maka resepi ini boleh puan-puan masak khas untuk suami yang cepat lesu…hahahaha!. Resepi yang mamak haji berikan ini ialah untuk katerer-katerer yang bosan dengan resepi yang sama.

RESEPI AYAM MASAK BAWANG BEREMPAH.

BAHAN-BAHAN:

– 1 ekor ayam dibersihkan dipotong 12 bahagian.
– 5 Bawang Merah labu dihiris dan digoreng.
– 2 sudu besar serbuk Cili.
– 1 sudu besar Serbuk Jintan Manis.
– 1 sudu kecil Serbuk Jintan Putih.
– 2 sudu besar Rempah Kari (daging).
– 1 sudu kecil serbuk kas-kas – tidak kemestian.
– 2 sudu besar Sos Tiram.
– 2 sudu besar Sos Cili.
– 1 sudu besar sos Tomato.
– 2 sudu besar pes bawang putih-halia.
– 1 sudu kecil serbuk garam masala.
– 2 btg kayu manis, 7 kuntum cengkih, 5 biji buah pelaga, 3 bunga lawang.
– 1 helai daun pandan dipotong 4 inci panjang.
– 1 sudu besar gula.
– 2-3 tangkai daun kari.
– Garam secukup rasa.
– Cili merah dan pudina / daun ketumbar (hiasan).

CARA-CARA MEMASAK:

1. kupas bawang merah labu, hiris halus dan goreng. Bila warna bawang bertukar kepada warna perang keluarkan dari kuali dan sejukkan. Bawang goreng tak perlu ranggup agak kering sudah memadai. Minyak bekas gorengan di simpan untuk menumis rempah.

2. Ketulan ayam telah dibasuh, masukkan garam dan serbuk kunyit. Ketulan ayam yang digoreng jangan terlalu garing. Gorengan perlu 3/4 masak kerana 1/4 lagi akan masak semasa masak dengan campuran kah rempah. Selepas goreng asingkan.

3. Panaskan kuali, dan masukkan minyak gorengan bawang. Bila minyak panas masukkan rempah empat serangkai. Masukkan pes halia bawang putih. Bila haruman naik kecilkan api dapur dan masukkan kesemua rempah-rempah di atas (tidak termasuk sos tiram, sos cili dan tomato) dan juga daun kari. Tentukan rempah tidak hangus. Goreng selama 1-2 minit sudah memadai. Bila rempah mula mengeluarkan aromanya, masukan sedikit air/stok ayam (ikut kuah yang anda perlukan). Bila air bersama rempah mula didih, masukkan sos cili, sos tiram dan sos tomato.

4. Masih api dapur keadaan kecil, masukkan gula dan garam secukup rasa. Masukan semua ketulan ayam yang telah goreng tadi ke dalam adunan rempah. Kacau rata untuk kuah rempah bersalut pada ayam goreng. Masukkan bawang yang telah goreng dan sebatikan pada ketulan ayam. Biarkan ayam masak 1/4 bahagian lagi. Ia cuma memerlukan sekitar 10-15 minit saja dengan api yang kecil. Masakan ini dlm keadaan reneh (simmering).

5. Keluarkan dan hidangkan dengan taburkan cili merah yang dihiris dan juga bawang goreng di atas hidangan anda.

 


Kali ini Mamak haji ingin beri sedikit penjelasan mengenai pengurusan kewangan dalam perniagaan restoren dan katering yang Mamak haji memahami. Mengurus dan mengawal aliran tunai adalah paling sukar dalam perniagaan restoren yang sentiasa wang tunai masuk dan keluar.  Sekiranya pengurusan aliran wang tunai atau cash flow tidak difahami betul-betul dalam perniagaan restoren atau katering, akan menyebabkan sesebuah perniagaan restoren atau katering kemungkinan besar mengalami masalah kewangan yang serius untuk tidak mampu lagi membayar upah pekerja, membayar sewa, mengantikan peralatan perniagaan yang rosak atau membeli stok bahan-bahan mentah untuk masakan. Jika keadaan ini berlaku, terpaksalah pengusaha restoren atau katering itu tutup perniagaannya atau pun kena jumpa “abang along” atau ceti haram. Bagi Pengusaha dan Peniaga makanan ini pinjam dari along bukan perkara jenaka tetapi ia serius dan telah pun menjadi penyakit sosial dalam negara kita. Kredibiliti kerajaan dalam membantu golongan peniaga-peniaga kecil terutama bagi golongan orang Melayu masih boleh dipersoalkan. Kenapa peniaga-peniaga ini mengambil pinjaman dari Along atau “loan Shark” ini?. Jangan mengambil jalan pintas dengan menuduh golongan pemimjam ini malas berusaha atau kurang memahami risiko yang akan mereka hadapi. Pemimjam dari along ini sebenarnya putus  “aliran wang tunai” untuk menjalankan perniagaan yang sedia ada yang menjadi periok nasi mereka. Tanpa perniagaan yang mereka ceburi, keluarga dan diri mereka kemungkinan manjadi papa-kedana. Ini keadaan terpaksa!. Bukan suka atau pun hobby memimjam dengan “along”. Siapa yang boleh bantu peniaga seperti ini?. BANK?. Alahai Bank komersial negara ini selalunya, “Bila tak hujan mereka ini hulur payung, Bila hujan mereka tarik kembali payung dan biarkan anda basuh Kuyup”. Maksud Mamak haji bila banyak duit tersimpan dibank mereka ini hari-hari talipon kita untuk memaksa ambil pinjaman, bila tak ada duit, ingin pinjam dari bank minta dokumen itu dan ini. Setiap kali jumpa pegawai bank, bila tanya kedudukan pinjaman kita; jawapannya senang, permohonan pinjaman dalam perhatian KL. Selepas enam bulan anda akan dapat jawapan yang paling menyeronokan, ” Duka citanya dimaklumkan permohonan anda telah gagal..hahaha!. Maka nak pinjam dengan Kerajaan?. Tunggu pilihanraya umum atau pilihanraya kecil maka Menteri Pusat akan berbesar hati pertama kali melawat kawasan anda bersama Bakal YB yang macam “rusa masuk kampung akan hulurkan cek pinjaman di Majlis besar-besaran yang dianjurkan parti politik. Bagi derma tak apa juga, tapi nak bagi duit rakyat kepada rakyat pun nak pancing undi dulu macam duit emak bapak depa punya pulak. Oh lupa, anda juga termasuk golongan yang layak terima bantuan wang zakat Baitulmal kerana menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikan dan bukankah anda juga termasuk dalam 8 asnaf yang layak terima – golongan A-Gharimin?. Nanti dulu, nanti pegawai baitulmal beri jawapan, Duit zakat Baitulmal dah habis kerana bayaran kos Peguam untuk bela Menteri Agama dan telah pun melabur dalam buat bangunan baitulmal 10 tingkat…hahahaha!. Akaun masuk kita tahu, keluar allahhualam. Bantu ummah jual minyak urat?. Apa yang peniaga Melayu yang berniaga seperti, “kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang”, perlu buat?. Fardu”Ain itu penting dan Fardu Kiffayah juga penting untuk ummah. Ummah tidak lagi dipentingkan.  Ramai yang jadi hipokrit. Peniaga seperti ini tidak ada pilihan dan terpaksa masuk ke dalam mulut along kapir laknatullah yang menjadi kayu api dineraka jahanam. Yang menjadi isu ialah bukan pinjaman itu tapi kemampuan membayar balik pinjaman itu dengan kadar bunga yang tinggi?. Bagaimana anda boleh bayar along kalau bunganya sampai mencecah 20 peratus sebulan?. Perniagaan yang mereka ceburi untungnya cuma 15-18 peratus. Jumlah peniaga ini pinjam dengan along bukan bilangan yang sedikit. Di Pulau Pinang ada seorang “along” yang kena cekup dengan PDRM. Rupanya along ini mempunyai 1,700 pelanggan tetap dan nilai jumlah perniagaan untuk tiga bulan saja melebihi dari RM15 juta!. Bila Mamak Haji temu dengan rakan – dari golongan pengusaha restoren, selalu ingatkan mereka jauhi dari memimjam dengan along kerana kita tak mampu membayar dengan bunga yang dikenakan.

Memang kebanyakan Restoren mengikut penyata akaun tahunan tidak akan rugi. Sekiranya di Penyata kewangan tahunan untung tak semestinya restoren itu untung. Mamak haji ingin tegaskan kepada sesiapa yang mahu mencebur diri dalam perniagaan restoren dengan membeli restoren yang sedia ada. Jangan terlalu ghairah dengan Akaun Penyata KEUNTUNGAN Kewangan Tahunan Syarikat restoren itu. Tanya sekali penyata analisa “cash flow” syarikat dan baru buat keputusan. Bank-Bank komersial cuma akan luluskan pinjaman anda dari analisa “cash Flow” bukannya dari Penyata keuntungan Kewangan tahunan syarikat. Ingat, ” PERNIAGAAN ANDA AKAN JATUH, WALAU PUN PERNIAGAAN ITU MEMBERI KEUNTUNGAN TETAPI TIDAK MEMPUNYAI ALIRAN (CASH FLOW) YANG BAIK”. Keuntungan adalah pendapat, wang tunai adalah keyataan. Tanpa wang tunai yang cukup..habis perniagaan anda.

Pengurusan kewangan paling penting dalam perniagaan restoren atau katering adalah pengurusan “Aliran wang Tunai”. Tanpa anda mengetahui apa makna “aliran wang tunai”, sudah pasti anda akan gagal menjalankan perniagaan. Jangan peningkan kepala anda dengan berbagai-bagai andaian tentang aliran wang tunai ini. Cara mengira aliran wang tunai ialah, berapa banyak wang masuk melalui jualan dan tolak dengan jumlah wang keluar (maknanya perbelanjaan) pada setiap bulan. Jadikan ia sebagai amalan setiap akhir bulan. Di setiap akhir bulan anda akan mengetahui tahap kedudukan kewangan aliran wang tunai anda, adakah ia selesa atau buruk. Kalau buruk tanya diri anda di mana silapnya?. Mudah bukan?.

Tujuan kita berniaga ialah, ingin bebas dari masalah kewangan, bukankah kita perlu mengukur kedudukan kewangan kita sama ada kita berada dalam kedudukan ke bebasan kewangan atau berada dalam masalah kewangan?. Kalau masalah kewangan kita perlu menjaga perbelanjaan kita untuk memastikan kita merancang segala bentuk perbelanjaan untuk bulan hadapan dengan kaedah-kaedah penjimatan dan pengasingan dan membetulkan pembaziran dan meminumkan pengeluaran wang tunai. Dalam perniagaan kalau tak ada hutang bukanya dikatakan perniagaan. hutang dalam perniagaan memang  biasa tetapi untuk menghapuskan semua hutang-piutang kita juga perlu mencapai matlamat kewangan kita. Setiap akhir tahun, kita perlu pasang niat atau matlamat untuk memperbaiki aliran wang tunai kita untuk tahun berikut kepada kenaikan sekurang-kurangnya 15 – 20 peratus setiap tahun. Aliran wang tunai amat perlu untuk tabungan untuk masa depan. Tabung ini boleh dirancang untuk jangka pendek, sederhana atau panjang.

Mamak haji bukan nya seorang accountant, tetapi belajar dari pengalaman dengan jatuh-bangun dalam perniagaan ini. Masa jatuh terlantar itu, Mamak Haji tanam semangat untuk bangun dengan lebih kuat supaya tidak jatuh lagi. Kita perlu sentiasa insaf kesalahan kita dan jangan sekali menuding jari kepada orang lain, dengan berbagai tomahan seperti kena tipu, kena sihir, kena main dan macam-macam lagi. Akuilah, kita kena tipu kerana yang tipu itu lebih cerdik dari kita dan kita ini masih bodoh dalam peniagaan, kalau kena sihir, katakan pada diri anda, “saya tak mengamalkan kaedah yang agama mengajar kita untuk selamat dari terkena sihir”, kalau rasa kena main, Ingatkan diri anda, “saya meniaga suka main-main dan tak serius”. Agama kita mengajar kita untuk menilai diri kita sendiri. Kita nilaikan diri kita sendiri, apa yang menyebabkan kita gagal?. Kita menuding satu jari kepada orang lain, empat jari yang lain itu menuding ke arah diri kita. Sekiranya jatuh dalam perniagaan, terima hakikat kesilapan kita yang lampau supaya kita boleh membaiki diri untuk menghadapi apa jua cabaran di masa hadapan.

Sedikit lagi Mamak haji nak sambung tentang cash flow ini. Ia dipanggil, “Cash flow Gaps”. Gaps itu bermakna ruang yang berlaku semasa wang tunai masuk dan wang tunai keluar tidak sama dengan satu sama lain. Sekiranya wang tunai keluar lebih banyak dari wang masuk dari perniagaan, ini akan menyebabkan perniagaan anda akan mengalami kekurangan wang tunai. Perkara ini kerap kali berlaku pada restoren yang baru buka kerana untuk membuka restoren kita perlu belanjakan wang tunai yang berjumlah besar. Perbelanjaan seperti deposit sewa bangunan restoren, papan-iklan, semua peralatan restoren, pendaftaran perniagaan, lesen yang berbagai, dan lain-lain. Bila kita boleh dapat kembali wang tunai telah dikeluarkan itu?. Sebulan atau 10 Tahun?. Maka semasa membuka restoren pandai-pandai atau bijak membelanjakan setiap ringgit wang tunai. Kita amat perlukan wang tunai itu untuk operasi restoren itu kelak. Jangan habiskan semua wang tunai anda hari ini, semata-mata harapkan dari jualan harian esok. Rancang dengan baik.

Bagi yang membuka katering kantin atau katering untuk kerajaan, masalahnya ialah kredit/ hutang. Ada juga pengurusan kantin kilang memberi kupon subsidi untuk pekerjanya untuk meringankan perbelanjaan pekerja untuk beli makanan yang dijual dikantin. Pengurusan kilang pula mensyaratkan kupon ini hanya boleh dituntut pada akhir setiap bulan. Itu baru tuntutan tapi bayarannya entah bila. Pengusaha kantin perlu amat berwaspada dengan hutang cara profesional ini. Jangan terlalu ghairah dengar, nilai kupon ini boleh cecah kepada puluhan ribu diakhir bulan. Tapi mampukah anda menyediakan sejumlah wang tunai untuk membayar gaji pekerja dan beli bahan makanan?. Apa hal sekiranya pekerja makan dalam dikantin anda cuma dalam lingkungan nilai kupon itu saja. Anda akan kekeringan wang tunai masuk. Anda perlu ada wang tunai yang secukup untuk setiap bulan atau anda juga boleh berhutang dengan pembekal. Jadi dalam hal ini untuk mengawal aliran wang tunai, cuba cari perbedzaan di antara jumlah hutang yang belum anda belum bayar kepada pembekal anda dengan keseluruhan jualan anda di setiap akhir bulan. Jangan pulak nanti hutang anda kepada pembekal lebih banyak dari wang yang belum terima dari jumlah hasil jualan. Sekiranya pemiutang anda lambat membayar, dibulan hadapan anda perlukan lebih banyak wang tunai sehingga anda sukar untuk membayar gaji pekerja-pekerja anda. Inilah banyak kes majikan mintak hutang dengan pekerja.

Mamak haji sejak tiga tahun membuka blog ini, tak pernah dapat sebarang soalan dari golongan katerer kantin kilang. Harap katerer kilang yang hadapi masalah, bolehlah kita berkongsi pendapat mencari penyelesaian. Pengusaha Katerer kantin yang 99 peratus dari daripada pengusaha Melayu perlu ubah wadah perkhidmatan katering kantin ini kepada lebih profesional dan dihormati oleh pengurusan kilang. Pengusaha katering kilang perlu berubah dari cara berfikir lama kepada cara baru dan profesional. Perlu adapsi pembahruan dalam dunia perniagaan. sekiranya anda sebagai pengendali kantin berpuluh tahun tapi masih lagi mengejar tender baru dengan lebih murah harga dari tahun-tahun yang lepas bukan seorang yang profesional.  Kini perlu ubah cara katerer merayu untuk mendaptkan tender kantin dari pengurusan kilang kepada pengurus kilang merayu kepada katerer untuk dapatkan perkhidmatan mereka. Setiap kali katerer baru dilantik, setiap kali pihak pengurusan kilang minta harga diturunkan tetapi nak kualiti perkhidmatan yang tinggi. Mampukah anda lakukan. Mat salleh kata, “if you give peanut, only monkey will come to you”. Apakah nasib golongan katerer kantin Melayu di Pulau Pinang ini tidak terbela?. Kenapa tidak satukan semua pengusaha katerer kantin Melayu Pulau Pinang dan tentukan harga makanan yang dijual dikantin kolej, sekolah menengah, sekolah rendah, kantin bangunan kerajaan, kantin kilang?. Ayam, beras ada harga ceiling kenapa tak letak harga ceiling untuk ayam goreng, nasi sepinggan atau ikan?. Restoren mamak ada persatuan yang menentukan harga. Jangan terlalu harapkan sangat bantuan kerajaan untuk bela nasib golongan pengusaha katerer Melayu Pulau Pinang. Kalau tak percya satu hari nanti ada syarikat gergasi dari pusat yang rapat dengan orang atas akan mengambil tender seluruh sekolah-sekolah Malaysia. Nanti Raja beras, Raja Gula, Raja Roti akan buat kertas kerja untuk jadikan Raja kantin pulak dah!. Di hospital dulu ramai kontractor kecil bumi cari makan dengan cleaning service tapi sekarang satu malaysia siapa yang dapat kontrak?. Bukan anak ???. Kononnya nak beri peluang pekerjaan untuk anak tempatan. Bukan untuk anak tempatan tapi untuk rakyat Bangla yang golongan kapatalis suka…hahahha!. kera dihutan disusukan, anak dirumah kelaparan. Satu masa nanti semua kantin sekolah penuh dengan Mat bangla je!. Taukeh satu…Inilah Mamak haji faham tentang erti kata sebenar satu Malaysia. Satu Taukeh untuk satu Malaysia. Dasar kapatalis!. Mamak haji teringin juga ke Kedai runcit Satu Malaysia..dengaq khabaq beras murah..hahaha!…tapi itulah yang jual itu Mamak Mydin . Mamak Mydin ini ada juga cita-cita nak jadi Raja Kedai runcit???. Tapi Mamak haji ada juga minat nak bukaq “kedai rempah satu malaysia” dan mahu jadi Raja Rempah dan papadam. Kena tanya kat pengunjung ke blog Mamak haji, ada cadangan kerajaan nak bukak kedai rempah satu malaysia ke???. hahahaha… Seperti biasa kalau ada masalah e-mail Mamak haji: mohd.roslan99@gmail.com. Komen dengan e-mail ini lain. Mamak Tak suka jawab komen sebab komen di blog ini terlalu open. Kalau anda tanya mamak haji, “rempah yang paling best brand apa?”. Mana boleh mamak haji jawab..kecilkan hati pengilang lain pulak. Lagi pun Mamak haji tak mahu layan komersial. Ramai yang ingin letak iklan. Mamak haji tak mahu kerana ilmu bukan barangan jual beli. Lagi pun mamak haji dah puas dengan duit…tapi kurang kaya dari Bill Gates..hahaha!. Maksud mamak setiap hari dulu asyik kira duit je selepas jualan. Sekarang nak rest dan seronok dengan layan e-mail yang banyak setiap hari..hehehehe!.Mamak Haji tulis apa yang terlintas di pemikiran tak tapis..kadang-kala celaru.tapi itulah style Mamak haji yea!. Tak berniat singgungkan perasaan orang lain. Insyallah kalau ada pengunjung yang sukar tidur bolehlah baca atikal ammak haji diblog ini untuk cepat..zzzzzz!. Wassalam.


GARAM MASALA

Salam. Ramai di antara tukang masak atau pun suri rumah salah tafsir makna garam masala ini dalam kegunaan masakan dari India atau Nasi kandar. Makna, “garam masala” bukan bererti garam yang biasa kita gunakan. “Garam” dalam bahasa Hindi bermakna “Pedas” dan “masala” bererti rempah ratus. Jangan salah faham. Sekian lama Mamak Haji menulis resepi kari dengan menggunakan rempah seperti kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, cengkih dan lain-lain dengan masukkan rempah-rempah itu secara bentuk asal. Sekiranya anda pernah makan nasi kandar mamak yang asli, selepas anda basuh tangan, masih lagi hidu tangan anda dengan bau rempah yang harum. Seperti kita makan sambal belacan yang baik, walau pun selepas basuh tangan dengan sabun,tangan masih berbau sambal belacan sekiranya belacan yang digunakan itu asli dari udang gerago yang segar. Begitulah rahsia rempah ini. Ada masa kita rasa kari Mamak nasi kandar itu bila dituang saja dalam pinggan nasi, bau harum rempah akan bangkit semerbak. Bagaimana ia terjadi?. Ada banyak andaian kononya rahsia rempah yang diadun yang amat bermutu tinggi dan digiling cara tradisi. Berbagai-bagai cerita mengenainya. Mamak Haji suka ingatkan, janganlah pii tanya taukeh nasi kandar itu apa rahsianya. Dia sendiri pasti tidak tahu tapi pakai tembak je!. Tukang masak Mamak nasi kandar ini, paling sukar dikawal dalam restoren. Tukang masak ini tidak akan bocorkan segala rahsia masak pada sesiapa terutama untuk orang tempatan walau pun kita seagama dengannya. Inilah sebab dalam perniagaan restoren nasi kandar paling sukar mendapatkan perkhidmatan tukang masak yang berkemahiran. Terpaksa kena impot dari India. Takat masak, semua boleh masak tetapi rahsia sebenar masakan adalah pengalaman. Anda jangan salah faham resepi cef selibirati dengan tukang masak yang sebenar. Cef seliberati ulang-kali mencuba resipi yang ingin paparkan dan resipinya cuma untuk sehari bukan boleh digunakan selama-lama atau sebagai sebagai resepi warisan. Bagi pengusaha-pengusaha restoren atau katering Mamak haji perlu ingatkan, “rasa sedap” ialah sebutan pelangan dan bukanya dari orang yang memasak. Bagaimana masakan anda boleh diterima dan dikatakan sedap oleh majoriti pelangan?. Sehingga kini ramai pengusaha restoren-restoren tidak mendapat sebarang resolusi tentang kesedapan ini. Masakan orang barat selalu pentingkan selera mata dari selera rasa, maka dengan sebab inilah lauk-lauk mereka ini di hiasi seperti lukisan yang menawan. Maka wujudlah seni dinamakan “Seni Kulinari”. Pernah anda lihat seni kulinari dalam hidangan nasi kandar?. Orang barat menggunakan pentingkan deria penglihatan dalam sesuatu masakan. Masakan Cina ialah mengabungkan segala deria yang terdapat dalam lidah, semasa makanan itu berada dalam mulut. Segala deria rasa di lidah diberi rangsangan. Maka Masakan Cina digemari oleh berbagai bangsa. Rahsia kesedapan masakan nasi kandar ialah deria hidu dari haruman yang dikeluarkan oleh rempah. Rempah bukan saja digunakan sebagai haruman tetapi mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Kesimpulannya anda perlu tahu bila masak lauk nasi kandar, perkara asas perlu diberi perhatian ialah deria bau atau deria pembauan yang berlaku dalam proses dalam sistem olfaktori. Tanpa terangsang deria baun ini masakan nasi kandar tidak bermakna. Kali ini Mamak Haji ingin bawa saudara-saudari yang pengemar kari atau masakan nasi kandar ketahap tinggi sedikit dengan mengenali “garam masala”. Rempah yang digunakan untuk cipta resepi garam masala berbeza-beza mengikut selera masing-masing. Jangan anggap resepi adalah statik. Apa saja Mamak Haji menulis mengenai resepi, ia cuma penerangan bukan resepi yang kekal atau tetap. Anda jadikan panduan ini untuk mencipta resepi anda sendiri dan jadikan ia sebagai hak anda. Ini dalam perniagaan di panggil “memBranding”. Sudah pasti lauk pauk nasi kandar anda lain dari lain tetapi rasa ori tidak terjejas. Nak terlalu berlainan, jangan pulak nanti kunyit hidup diganti dengan serbuk kunyit..hahaha!. Itu bukan berlainan tapi “out” dari resepi nasi kandar. Garam masala yang telah siap ada dijual dikedai rempah mamak. Tapi anda mungkin tak perasan, setiap yang dikomersialkan oleh pembuat diutamakan “keuntungan”. Maka pembuat akan buat resepi dari bahan-bahan rempah murahan. Sebagi contoh rempah jintan putih lebih mahal dua kali ganda dari rempah jintan putih. Kandungan rempah yang jual itu banyak gunakan rempah yang murah seperti jintan manis, serbuk cili, serbuk kunyit, serbuk halia, bunga lawang, biji rempah dan ditambah pula dengan tepong beras untuk rempah diadunkan dengan senang. Rempah mahal seperti biji jintan putih, jintan hitam, buah pelaga putih atau hijau terlalu sedikit kandungannya. Inilah sebab bila mamak haji selalu menggalakan peniaga-peniaga atau suri rumah mencipta sendiri rempah-rempah yang digunakan dalam lauk-pauk nasi kandar. Maka kali Mamak haji ingin menulis resepi garam masala.

RESEPI MEMBUAT GARAM MASALA DIRUMAH

BAHAN-BAHAN:

4 sudu besar (tbsp) biji rempah/corriander seed.

1 sudu besar biji jintan putih/cummin seed.

1 sudu besar lada hitam.

1 1/2 sudu besar halia kering/salai (senang boleh didapati di kedai rempah.

3/4 sudu besar buah pelaga.

3/4 sudu besar cengkih.

3 kuntum bunga lawang.

5 biji cili kering.

3/4 sudu besar kulit kayu manis yg telah dihancurkan.

3/4 sudu besar daun salam India/daun beriani yg telah dihancurkan (selalunya jenis kering rapuh dijual dikedai mamak rempah).

CARA-CARA:

1. Goreng kering semua rempah ini dengan api dapur sedrhana. Jangan hanguskan.

2. Selepas garing, keluarkan dan sejukan. Bila sejuk keluarkan isi (biji) buah pelaga untuk elak pahit.

3. Kisar kesemua rempah di pengisar kering sehingga halus. Boleh juga adunkan dengan serbuk buah pelaga 1/4 sudu kecil. Simpan dibotol yang kedap udara. Tempoh penggunaan adalah sehingga 6 bulan.

Nota: Garam masala diadunkan pada masakan anda pada akhir masakan bukan pada permulaan. Apa yang Mamak haji perhatikan ramai di antara kita suka menumis rempah dengan minyak masak yang panas. Cara seperti ini bukan saja menghilangkan bau haruman rempah tetapi bila hangit dan akan pahitkan masakan kita. Rempah yang pada awal masakan mengeluarkan bau haruman akan hilang selepas dimasak. Cuba kali ini berbeza sedikit pasti masakan kari anda mengeluarkan bau ang harum semasa dihidangkan. Ia sama seperti masakan tom yam jangan sekali masukan air perahan limau dan daun limau purut pada awal masakan dan didihkan. Rasa limau dan wangi daun limau purut akan bertukar dari rasa dan bau asli. oops! lupa nak pesan, garam masala ini bukan rempah kari yea, ia adalah bahan rempah yang mewangikan kari anda seperti anda suka guna rempah 4 serangkai dalam masakan kari. Selamat mencuba.


Salam, selepas capati, mamak haji teringin nak tulis resepi “Tortillas”. Selera mamak haji bertukar kepada Tortillas ini kerana tepung atta  yang baik dan bemutu untuk membuat capati sukar didapati dan juga kos yang agak mahal dari harga tepung gandum. Keenakan tortillas ini lebih sedap dan boleh dimakan dengan berbagai-bagai lauk dan cara. Sekiranya anda ke Pasar-pasar raya mungkin tortillas ini begitu mahal harganya sehinggakan bungkusan 5 keping tortillas harga mencecah RM7.90. sebungkus dan tortillas sejuk beku ini satu kelemahan ialah ia berat dan tidak segar dan kadang-kala ia dicampurkan dengan bahan pengawet. Maka tortillas yang kita buat sendiri bukan saja mudah tetapi murah, ringan dan segar. Caranya sama seperti capati tetapi ia gunakan baking powder (serbuk penaik). Tak salah mamak haji pernah menulis tentang serbuk penaik ini tapi tak ingat posting mana satu?. Baking Powder atau serbuk penaik ini ada dua jenis ia itu single action dan double action. Inilah sebab ada serbuk penaik yang berharga murah dan ada yang berharga mahal. Double action atau dwi tindakan ini ialah, berkembang dua kali, sebelum masak dan semasa masak. Anggaran biasa kegunaan ialah 2 cawan tepung dengan 1/2 sudu kecil baking powder. Soda pula digunakan untuk meronggakan tepung dalam masakan kita kerana udara yang dibebaskan adalah lebih bersaiz besar berbanding dengan baking powder. Yis pulak sejenis kulat yang hidup dan membiak dalam tepung mengikut suhu sekeliling. Yis amat sesuai digunakan untuk cucur udang, kalau pakai baking powder saja ia tak menjadi. Kalau guna bersama ia akan lebih lembut hasilnya. Biasa dengar nama kueh “batang koh” atau orang KL gelar “cha koi” ia itu sejenis kueh menggunakan yis dipotong memanjang dan di goreng dan sedap dimakan dengan sambal kacang?. Sebenarnya kueh ini orang kita buat mengikut kueh orang Cina yang di gelar “you tiau”. kueh “you tiau” orang Cina lebih ranggup dan putih tepungnya. “Batang koh” yang dijual pasar malam itu seperti roti bun goreng je..liat!.  Rahsia untuk memutihkan tepung you tiau ialah penggunaan bahan masakan “alum”. Jangan terkejut kalau dengar namanya. Sebenarnya alum ialah orang kampung panggil “Tawas”, yang biasanya orang kampung gunakan untuk menjernihkan air telaga kalau keruh. Ini dipanggil “bleaching” tepung gandum dalam bahasa masak…hahaha. Inilah sebab pau tepung biasa kita buat warnanya tak putih mcm cuci dengan sabun breeze. Sekiranya gunakan tepung pau yang jual itu dapat hasil warnanya putih melepak. “you tiau” kueh cina itu garing dan rangup dipermukaan luar, ini disebabkan ia diadunkan dengan garam amonia masakan, Garam amonia ini biasa digunakan untuk kueh biskut untuk jadikan garing. kena tahan bau dari garam amonia oklah….hahaha!. Untuk meronggakan kueh batang koh didalamnya perlu gunakan soda. Inilah “cha koi” yang garing dan enak. Kueh ini memang banyak rahsia diselindungkan oleh pembuatnya. Kadang-kala semasa merayau di pasar malam banyak mamak haji nak tegur. Tapi teguran selalunya orang kita tak mahu terima. Mamak haji dari belajar sampai ke tua sekarang memang tak suka buat kueh. Mamak haji angkat tangan, memang tak minat tapi minat temgok kueh yang unik dari hasil tangan begitu artistik. Sekiranya pengunjung nak resepi kueh dan kek-kek yang mengancam kunjungilah blog-blog yang hebat ini.  http://wattieshomemadecakes.blogspot.com/ atau http://zalinah.blogspot.com atau yang terror buat kek: http://qasehququinnie.blogspot.com depa ini memang terror buat kueh-muih ini. Apa.. ra Mamak haji dah terlajak sampai ke kueh pulak dah!. Nyanyok lagi!.

RESEPI TORTILLAS:

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan  (cup) tepung gandum.
  • 3/4  sudu kecil serbuk penaik (baking powder).
  • 1/2 kecil garam (kalau kurangkan lagi baik).
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 3/4 cawan air panas (mendidih).

CARA-CARA:

1. Cara buatnya sama seperti capati tapi bezanya gunakan air betul-betul didih. Masukkan tepung dalam sebuah bekas dan masukkan baking powder dan garam. kacau rata adunan. Tambahkan minyak masak kedalam adunan itu dan kacau lagi sehingga tepung jadi bergentil-gentil.

2.Tuang air panas kedalam adunan itu dan kacau dengan garpu supaya diadun dengan baik. Apabila suhu tepung agak reda bolehlah mnggunakan tangan untuk menjadikan doh yang lembut dan licin permukaan.

3. Biarkan doh ini dalam bekas yang ditutup dengan kain lembab selama 15-30 minit.

4. Jadikan bebola 10-12 biji. Lenyekan seperti capati. Bakar seperti cara capati. Suhu kuali perlu panas dalam proses ini. Bakar cuma 1 minit untuk satu permukaan tortillas anda. Sudah siap roti tortillas anda. Imgat!, gunakam cara Pembakaran roti tprtilla ini sama seperti capati.

TORTILLAS makan dengan UBI KENTANG BERCILI.

Mamak suka makan tortillas dengan kentang. Kentang ini sama seperti inti karipap tetapi ia lebih berwarna kemerahan ‘ala masakan India. Sekiranya anda ingin mencantikan tortillas ini seperti tortillas salad yang berbentuk kon, potong tortilas anda semasa masak dalam kuali satu keratan bermula dari pusat roti sampai terputus. Lipatkan roti itu dan bubuh gam tepung. Tahu buat gam tepung?. Gam tepung ialah bancuhan tepung gandum dengan sedikit air. Gam ini banyak guna seperti buat samosa, roti gulung sardin atau popia. kalau niaga pakai putih telur untuk gam banyak belanja. pakai gam tepung sahaja gerenti macam super glue. Jadikan saperti kertas bekas kacang putih. Siapa tak tak tahu kertas bungkus kacang putih…hahaha ia seperti bungkus sagun?. Siapa tak tahu apa itu sagun?..semua dah berubah dengan terciptanya plastik. Tapi sekarang sibuk setiap hari tanpa plastik..apalah kita ini sekejap itu sekejab ini. Yang tak bagi plastik sudah tentu tuan punya kedai yang tentu untung.  Sekejap bagi kotak, sekarang kotak pun tak ada. Lain kali bawak guni je ke pasar raya. Beli beras pakai beg plastik tak apa pulak?. Kenapa tak bagi beg plastik recyle/kitar semula?. Kalau mahal bagilah  percuma kalau belanja RM50 ke atas. Rugi pulak taukeh pasar raya besar dari barat ini. Apa saja sistem diwujudkan selalunya sistem ini menguntungkan kaum kapatalis bukanya untuk pengguna atau rakyat. OK Stop Mamak haji! cukup.

RESEPI KENTANG BERCILI UNTUK MAKAN BERSAMA TORTILLAS.

BAHAN-BAHAN:

  • 5 biji kentang bersaiz sederhana direbus empuk, dikupas kulit dan dipotong dadu.
  • 3 sudu besar minyak masak.
  • 1 sudu besar pes halia bawang putih.*
  • 1 biji bawang besar dihiris.*
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih.*
  • 1 sudu besar serbuk cili.* (ikut suka kepedasan).
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit.*
  • 2 ranting daun kari atau satu pokok daun saderi.
  • 1 sudu kecil garam atau secukup rasa.*
  • 1 sudu kecil lada sula (serbuk atau kasar).*
  • 1 sudu kecil gula pasir.*
  • 1 biji tomato di dihiris memanjang.

CARA-CARA:

1. Panaskan kuali bersama minyak masak. Masukan bawang dihiris dan bila bawang bertukar warna keemasan, kecilkan api dapur dan masukkan pes halia bawang putih bersama semua bahan yang bertanda*, serbuk cili, serbuk kunyit, serbuk jintan putih, lada sula, gula dan garam. Bila keharuman naik baunya masukkan daun kari, hirisan tomato dan akhir sekali masukkan kentang dipotong dadu.

2. sebatikan semua perencah dengan ubi kentang. Sekiranya cepat kerak terbentuk masukkan sedikit air. Masak 3 minit. Perahkan sedikit air limau. Kentang bercili anda telah siap.

3. masukkan kedalam tortillas berbentuk kon atau pun boleh juga digulung tortillas menggunakan inti ini.

4. Untuk kanak-kanak boleh juga disajikan dengan disapu jem buah-buahan kesukaan dan digulung dan dipotong serong. Berbagai-bagai cara boleh jadikan inti tortillas ini. Dengan sebab inilah tortillas ini begitu popular di negara barat terutama di Spanyol. Mudah , murah dan cepat. Jangan lupa cuba.


Lama mamak haji nak menulis resepi ini. Resepi elok untuk menjaga kesihatan, dan juga jimatkan kos sedikit dalam keadaan sekolah baru bukak ini. Ada yang dah jemu dengan lauk ayam dan ikan nasi kandaq, eoklah kita makan roti sekali-sekala. Bercakap mengenai roti ini Mamak Haji sangat gembira kerana “Roti Gardenia” yang punyai rangkaian terbesar di negara ini telah pun menjadi hak orang Melayu Islam negara ini. Induvidu yang memiliki ini bukan saja Raja Beras, Raja Gula dan Raja pelabuhan tetapi sudah menjadi Raja Roti. Di Negara ini ada duit dan pengaruh politik boleh wujud berbagai Raja-Raja termasuk Raja Lingam…hahaha!. Bakery-Bakery orang Islam ini yang kecil-kecilan terpaksa lawan harga dengan Raja Roti ini di tender kerajaan. Segala kontrak-kontrak kerajaan mengenai Roti ini akan khaskan kepada Bakery-Bakery yang kecil Melayu akan berada dalam gengaman Raja Roti ini. Semakin hari semakin bakery Melayu yang kecil akan gulung tikar atau pun cuma laku jual kek hari jadi. Lepas ini tak percaya, ada yang katakan Kek untuk hari jadi ini haram kerana tidak sambutan dengan kek hari jadi zaman dulu..kena pakai pulut kuning pulak dah!. Apa hal kedai bakeri yang ditukar menjadi kedai kek. Biasanya dalam sistem kapitalis Barat yang memang kaya semakin kaya, yang miskin bertambah miskin. Jurang perbedzaan yang kaya dengan miskin akan bertambah luas kerana kelas pertengahan di negara ini cuma majoriti golongan yang makan gaji. Maka golongan berpendapatan pertengahan akan berada dalam keadaan tetap dan sukar menukar posisi mereka kepada golongan pendapatan tinggi. Seperti mat salleh berkata, “It’s not important what you know, but whom you know”. Maksudnya, “Tidak penting apa yang kamu tahu tetapi yang paling penting, siapa yang kamu kenali”. Biarkanlah mereka ini dengan labunya. Yang penting kita ingat pada Allah swt selalu dan setiap kali habis solat jangan lupa berdoa, “jauhkan kami dari api neraka, yang maha azab”. Rezeki Allah swt berada dimana-mana di muka bumi ini yang terbentang luas, sesungguhnya kita tahu caranya untuk mendapatkannya  dengan jalan yang diredhai Allah SWT bukan jalan yang dimurkainya.

RESEPI ROTI CAPATI

Capati ini yang  dikenali ramai ini, adalah makanan ruji penduduk di utara India bukannya di Selatan. Di Selatan India Thosai menjadi pilihan utama. Di negara kita capati diperkenalkan oleh kaum India Sikh atau Punjabi. Senang cakap kegemaran Benggali, tetapi bukan “roti benggali”. Roti bengali sejenis roti yang keras sedikit dari roti bun biasa. Tepung untuk membuat capati ini dipanggil, “tepung Atta” ia bukan tepung gandum biasa, walau pun ia kelihatan seperti tepung gandum. Tepung atta ini diperbuat daripada bijiran gandum jenis yang keras dan biasa digunakan untuk membuat pasta. Cara buat capati amat mudah dan ringkas. Dulu Tepung ini murah dari tepung gandum tetapi kini tepung ini lebih mahal dari tepung gandum pulak dah.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung atta.
  • 2 sudu minyak masak (untuk melembutkan)
  • 1 cawan Air panas (suam sedikit) kiraan air, 50 peratus dari tepung sekiranya 100gm airnya 5oml. Air untuk membuat doh.
  • Garam secubit ikut rasa. Larutkan garam dalam sukatan air panas.

CARA-CARA MEMBUATNYA:

1. Masukkan tepung dalam sebuah bekas uli dan bentuk kolam ditengahnya. Masukan air panas sedikit demi sedikit. Uli selama 3-4 minit sehingga menjadi doh yang lembut. Doh yang lembut boleh hasilkan capati yang lembut.

2. Masukan minyak masak dan uli kembali untuk mendapatkan permukaan doh yang licin dan lembut. Permukaan doh perlu licin. Bahagikan doh kepada 12-15 bebola. Berbola yang bulat sempurna boleh dihasilkan dengan rollkan menggunakan kedua-dua tapak tangan dengan beralas sedikit tepung. Jika bebola ini melekit ditangan semasa membentuk bola, uli semula doh dengan tambah sedikit tepung kemungkinan doh terlalu lembik. Biarkan bebola yang telah siap selama 20 – 30 minit dalam bekas yang ditutup dengan kain lembab (ditakuti permukaan bebola akan kering dan keras).

3. Ambil bebola capati ini leperkan sedikit di tapak tangan anda dan celurkan sedikit tepung (mamak haji biasanya gunakan tepung beras) sebelum diletakan dalam papan lenyek. Leperkan permulaan dengan  90 darjah, memanjang 6 inci panjang. selepas itu pusingkan doh itu ke  45 darjah dan leperkan juga sepanjang 6 inci. Selepas 45 darjah sekali sepanjang 6 inci. Hasilnya anda akan dapat capati yang bulat sekata  6″. Sebelum anda tindehkan capati yang belum dimasak, sapukan sedikit tepung ke atas permukaan supaya kepingan itu tidak melekat satu sama lain.

4. Panaskan kuali leper atau pun kuali tak melekat (Non- Stick Pan). Jangan terlalu panas dan api sedang  sedang memadai . Sebelum masukkan capati yang belum masak itu untuk dibakr di atas kuali leper, tepuk sedikit diantara dua tapak tangan supaya tepung yang berlebihan disapukan semasa leperkan akan gugur. Tepung ini perlu dinyahkan apabila dimasak di atas kuali kerana tepung ini akan bakar dan memberi bau dan rasa yang pahit pada capati. Bakar di atas kuali dan masak (bakar kering) semasa bakar itu anda perlu mengenakan tekanan sedikit menggunakan kain yang tebal pada gelombong yang mula-mula naik. . Jangan tekan terlalu kuat kerana ia akan hanguskan bahagian yang ditekan kuat.  Bila kenakan tekanan pada gelombong anda boleh lihat, capati itu naik gelembung. Putarkan sentiasa capati itu supaya ia masak serata. Terbalikan dan bakar sebelah lagi, seperti yang diterangkan.

4. Sebelum membakar capati yang seterus, bersihkan tepung yang berlebihan yang telah hangus supaya capati tersebut tidak melekat pada capati yang belum masak. Masa pembakaran capati cuma seminit dan diterbalikan dan bakar seminit . Keseluruhan masa pembakaran cuma 3 minit. Semasa membakar capati pertama perlu tentukan kepanasan kuali dengan betul, jangan sampai hangit atau terlalu masak, nanti capati anda menjadi biskut pulak.

Sebenarnya resepi capati ini sungguh mudah. Jangan terkejut dengan tulisan panjang lebar Mamak haji yang memberi penerangan dan tip-tip masak capati. “Practice make Perfect”. Kena cuba dulu…dan kalau ada masalah e-mail kat Mamak haji : mohd.roslan99@gmail.com


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 6,337,554 hits
Januari 2012
I S R K J S A
« Dis   Feb »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Kemaskini Twitter

Error: Please make sure the Twitter account is public.