PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for Mei 2012


Salam,

Hahahaha…Resepi Politik TEH TAREK MAMAK HAJI..Dah seminggu berbagai-bagai perkara bermain di pemikiran Mamak Haji memikirkan masa depan ummah di negara ini dan juga perkembangan politik kini. Maka izinkan Mamak haji luahkan perasaan sedikit dengan pembaca sekelian tentang politik ini. Dah, seminggu cerita di KL berkenaan demontrasi tak habis-habis lagi. Di mana juga cerita ini membuat mamak haji bosan. Bosan bukan Mamak haji ini penyokong atau pun anti- demontarsi dengan mana-mana pihak. Mamak haji dah berumur buat apa cari pasal dengan ahli politik?. Bosan mamak haji kerana diulang-ulang cerita ini di semua mass-media. Bukak saja TV cerita ini. Kalau cerita betul tak payahlah ulang banyak kali. Ini Cerita yang tak betul biasanya diulang-ulang menjadikan cerita itu betul. Ini seperti kerja peguam pembela yang bela orang kena tuduh yang bersalah, hari-hari peguam-bela ini masukkan sesuatu kedalam pemikiran pesalah yang diwakilinya  supaya pemikiran pesalah tadi itu, berperasaan tidak bersalah. Maka yang pesalah itu anggap dia tak salahlah akhirnya dan berani berhadapan dengan peguam pedakwa. Berita yang ulang perkara yang sama bukan dianggap lagi berita yang disampaikan untuk pendengar atau penonton membuat keputusan baik atau tidak, tetapi ini sudah kira proses menyuapkan berita. Media ini beranggapan pendengar atau penonton masih lagi bodoh dan perlu mereka(media) buat keputusan mana yang baik dan mana yang tak baik untuk pendengar. Tugas media ialah melapur perkara yang betul. Tetapi berita yang disampaikan seperti propaganda politik. Cerita ulang-ulang ini cuma salah satu desepsi politik yang memualkan. Desepsi adalah perkataan dari bahasa inggeris, “deception” ia itu penipuan yang terancang untuk mencapai satu-satu matlamat. Mengikut tiori Strategi Peperangan yang terkenal ” Sun Tze” berkata, “semua peperangan adalah desepsi”. Tiori peperangan Sun Tze banyak digunakan dalam peperangan, perniagaan atau pun politik. Tiori adalah untuk para pengatur strategi untuk memenangi sesuatu peperangan. Mamak haji tak kisah apa yang mereka nak menang, lantak pii merekalah, tetapi media yang perlu membentuk minda rakyat sudah banyak terpesung dengan apa saja menguntungkan kepentingan satu-satu pihak ini, amat memualkan. Kita tak apa sudah dewasa bagaimana dengan kanak-kanak yang terdedah dengan berita-berita lucah dan negatif bagi pembangunan pemikiran mereka. Kita memang tak mahu ambil kisah apa saja ko orang politik nak buat tapi bila kanak-kanak menjadi mangsa, kita tak boleh terima. Kanak-Kanak ini sekarang dah mula bertanya soalan-soalan kepada ibu-bapa yang pelik-pelik  seperti liwat itu apa?, skandal seks itu apa? video lucah itu apa? Hubungan jenis itu apa? Lesbian itu apa?.  Kalau anak-anak ibu bapa ini tidak menjawab, pemikiran kanak-kanak ingin tahu akan masuk google dan mencari maksud perkataan-perkataan ini. Siapa yang salah dalam perkara ini?. Google atau ibu bapa?. Selalunya yang salah ibubapa jugalah. Apakah media ini menganggap rakyat negara ini telah hilang malu atau pun sanggup lakukan apa saja untuk tuan-tuan mereka?. Issh..meluat Mamak haji dibuatnya. Mamak Haji terpaksa keluarkan arahan kat keluarga, dilarang membuka berita tv3 sampai diberitahu kelak, “Don’t open channel 3 until further notice”. Dalam pada itu Mami datang bisik kat telingga Mamak, “Nana ada video azmin Ali kah”..Astaga!. apa mamak haji nak kata. gugur janggut mamak haji. Nak marah dia ahli jawtankuasa sebuah parti politik, dia kata cari modal nak hentam PKR kat Penang. Isssh!. Jawapan Mamak haji, “Pi Bukaq astro, tengok filem tamil..lebih baik. hahahaa!.

Tak apa no…hari ini kita sembang politik sikit. Mamak haji nak tanya apa tujuan NGO ini ditubuhkan?. NGO atau dalam bahasa Melayu, “Pertubuhan Bukan Kerajaan”, ditubuhkan oleh satu-satu kumpulan orang untuk menjaga kepentingan umum(rakyat) yang tidak punyai wakil dalam kerajaan, Kalau NGO yang mewakili kerajaan bukan namanya NGO dan mereka ini patut masuk saja parti politik kerajaan.  NGO ini juga akan menentang sesuatu dasar kerajaan atau polisi kerajaan sekiranya polisi kerajaan tidak memihak pada kumpulan ini. Ahli-ahli ini akan membantah dengan berbagai cara, salah satunya ialah dengan mengadakan demontrasi sebagai menarik perhatian kerajaan dan rakyat umumnya. Maka inilah sebabnya dalam sistem perlembagaan negara yang amalkan demokratik,  demonterasi aman selalunya dibenarkan. Sebenarnya NGO-NGO ini memberi sumbangan untuk rakyat dalam bentuk “Check and Balance'” dalam sistem politik sesebuah negara supaya parti politik yang memerintah jangan tersasar dari kepentingan rakyat dalam membentuk sesuatu polisi yang tidak adil kepada rakyat yang diwakilinya. Ini adalah asas negara demokratik.

Apa pula makna parti politik?. Parti politik ditubuhkan sekumpulan orang untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan polisi parti mereka. Tujuan asas parti politik ialah untuk memenangi pilihan raya umum untuk berkuasa. NGO perlu bebas dari parti politik. Masalah NGO di negara kita ini ialah kebanyakan pemimpinnya lebih cenderung berpolitik dari menegur polisi kerajaan yang merugikan rakyat. Contohnya seperti persatauan pengguna, bila harga gula naikan mendadak selepas ahli koperat yang anak emas ambil alih syarikat Gula terbesar negara, harga gula dinaikan konon nak bantu orang rakyat kurangkan kegunaan gula dan menghidarkan kecing manis..piidah!.. Persatuan Pengguna sebagai NGO bukannya  salahkan polisi kerajaan ini tetapi salahkan peniaga pula yang menaikan harga teh tarek. Persatuan pengguna bukan membantu pengguna yang jadi ahlinya tetapi dalam setiap keadaan bersama dengan kerajaan. Pemimpinnya cuma, ingin mendapatkan gelaran Datuk dan Tan Sri. Maka fungsi NGO-NGO ini tidak sealiran dengan apa yang diaspirasikan oleh pemimpin yang asaskan persatuan itu. Ada juga pemimpin NGO-NGO yang berpolitik dengan nama bangsa Melayu, Kaum Cina atau kaum India. Tentang polisi kerajaan yang tidak releven dengan kebajikan rakyat tidak pernah dapat perhatian mereka. Mereka ini NGO kaki bodek kerajaan lebih dari kaki bodek rakyat. Kadang-kala parti politik yang banyak muslihat atau desepsi ini akan mempergunakan NGO-NGO ini dengan tidak disedari mereka. Pendekkan cerita NGO-NGO banyak yang terjebak dengan muslihat parti politik. Maka demonstrasi aman bertukar menjadi menentang parti politik yang memerintah dengan cara radikal, maka jadilah berbagai perkara yang tak diingini seperti  peristiwa yang baru-baru ini berlaku di KL. Parti politik pulak yang pembangkang dan kerajaan masing-masing akan gunakannya perkara seperti ini sebagai bahan propaganda untuk mereka disaban hari. Kalau media dikuasai kerajaan di semua saluran TV dan surat khabar utama, parti pembangkang pulak di setiap penjuru cyber. Rakyat yang tidak memahami akan terpingga-pingga dan celaru. Dia ini kata dia salah dan dia pulak kata dia yang salah. Dan lebih teruk, ada juga puak akan gunakan agama Islam untuk mencapai matlamat mereka, melalui ulama-ulama.  Ulama perlu dihormati dalam masyarakat Islam, ulama perlu lebih dihormati dari pemimpin politik. Tetapi bila ulama ke politik disebaliknya berlaku. Siapa yang salah?. Rakyat atau ulama?. Ulama kini menjadi sasaran pihak yang tidak perolehi keuntungan politik akan mencerca ulama yang bergaji dengan kerajaan. Walau pun ulama kerajaan itu  mengatakan yang betul mengikut syariah. Orang politik ini akan menggunakan apa saja bahan untuk strategi kempen politik, anda perlu ingat tujuan asas parti politik, “memenangi pilihanraya”.

Masalah besar negara sekarang ialah anak-anak muda telah bangun. Ini amat membimbangkan mamak haji. Ramai yang hadiri ke perhimpunan BERSIH 3.0 itu adalah anak muda. takat tua macam mamak haji tak kisah tapi ini anak muda yang akan menjadi bakal pemimpin negara. Anda tahu kenapa anak-anak muda di negara ini telah cepat berubah?.Ini kerana polisi kerajaan yang baik, seperti pelajaran dipertingkatkan kepada rakyat, banyak universiti dan kolej telah dibuka sejak kebelakangan ini. Ada kolej lebih ramai staff dia dari pelajar pun ada. Itulah sebab perlu ambil Pak Hitam-Pak Hitam dari Nigeria belajar di sini. Kita tak nafikan kerajaan telah menaikan taraf pendidikan untuk rakyat. Ia polisi yang terbaik untuk negara kita. Kemajuan pendidikan ini disalah ertikan dengan cara tak sedar bahawa sesiapa saja mendapat ijazah dan pasti dapat pekerjaan dan gaji yang lumayan dan hidup mereka akan bertukar kepada masyarakat kelas pertengahan dibandar.  Mereka ini inginkan sesuatu habuan dari belajar 3-4 tahun di universiti, mereka ini telah dijanjikan bermacam–macam, bila keluar dari pengajian mereka ini tidak perolehi apa yang dijanjikan seperti pekerjaan yang layak dengan kelulusan mereka tapi dibebani hutang yang banyak semasa belajar sehingga seseorang RM45,00 – RM60,000. Banyak itu. Pasaran buruh kita sebenarnya sedang mengucup untuk pekerja kemahiran tinggi. Dengan sebab inilah  hampir satu juta rakyan Malaysia telah berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan yang secocok dengan pendidikan mereka. Janji-janji kerajaan sebenarnya kini sedang makan diri kerajaan sendiri. Ini bukan Mamak Haji cakap kosong, negara kita sebenarnya telah terperangkap dalam kategori pendapatan pertengahan dan sedang menghadapi terjurumus ke jurang ekonomi berpendapatan rendah. Pendapatan rakyat kita sekian lama telah berada dalam keadaan stastik. Pendapatan kita sebenarnya meningkat cuma 4 peratus setahun dan kadar inflasi kita ialah 3 peratus setahun. Maka pendapatan kita meningkat adalah 1 peratus setahun. bayangkan kalau keadaan ini berkekalan, kita akan jatuh kembali. Menurut definasi Bank dunia , ekonomi berpendapatan tinggi bermaksud pendapatan per kapita rakyat mencecah kepada paras AS$ 12,000 (RM42,000) atau pun lebih dari setahun. Kita sukar untuk melonjakan ekonomi kerana persaingan-persainagn negara-negara jiran kita akan lebih hebat dari sekarang. Negara kita tidak dapat hasilkan produk-produk berkualiti yang diterima oleh pasaran global seperti produk-produk korea Selatan. Kita dengan Negara Korea Selan mulakan polisi perindustrian negara pada masa yang sama. Tetapi cuba anda tanya diri anda, di mana Korea dan di mana Kita. Kita cuma pandai pakai Samsung Galaxy saja. nak buat boleh?. Kita sukar tandingi negara Singapura sekarang, akan datang Thailand, Indonesia, Filipina akan meninggalkan kita. Kita dok asyik berpolitik tak habis-habis. Produk-produk Malaysia sekarang ini sama standard dengan produk-produk buruh murah negara China. Kebanyakan kilang-kilang smi sekarang sudah berhentikan produk mereka tetapi beli produk dari negara Cina cuma tukar label di kilang mereka.  Made In China di Tukar Made In Malaysia…kerana Malaysia serba boleh..hahahaha!.Maka mana budak universiti nak kerja?. Kalau anda Frust tak?. Kita kena letakan diri kita di posisi mereka. Baru kita faham hati mereka. Dengan sebab inilah Mamak Haji suruh engkau orang semua mulakan perniagaan. Kalau anda makan gaji boleh tak beri jaminan kepada anak anda, selepas anada bersara. anak anda boleh ganti tempat anda?. Tapi Mamak Haji boleh janji seperti itu dengan anak mamak haji dengan hati terbuka…hahahaha!. Maka janganalah salahkan sangat budak-budak universiti sekarang. Zaman kita telah berlalu, mereka ini sedang lalui satu zaman yang perlukan cabaran. Inilah sebab Pak menteri cakap etp, segala apa P itu…kita tak faham tapi melopong mulut dengar ucapan ahli politik, @#$% dan Lawan Tetap Lawan…  Ambil senduk, ketuk kepala kita kerana tak faham apa yang sedang berlaku…kalau dahi jendol sapu dengan bawang!.

Maka kita sebagai peniaga, janganlah terlalu ghairah berpolitik setiap masa. Tumpukan kepada perniagaan dan majukan perniagaan yang anda ada itu. Bila tiba hari mengundi, undilah siapa saja yang anda fikirkan yang terbaik. Nasihat ini Mamak haji ini tujukkan khas untuk anak-anak Mamak Haji yang berniaga tapi kini sibuk berpolitik di sana-sini. Sampai ada yang lupa cakap tamil..kerana dah terlampau tiggi darjat dari orang Melayu..Bila mamak jadi Melayu, orang melayu pulak nak jadi lebih dari orang Arab. Jadilah orang Islam. Paki jubah tak apa ia sunnah, tapi janganlah buang kereta , impot mai unta Arab..Bila perniagaan dah berjaya dan cukup duit untuk berkempen dan mempunyai cukup penyokong, bertandinglah, Mamak Haji dan Mami akan mengundi untuk anda. Kami ta’akan memburukan anak-anak dari darah dan daging kami sendiri walau pun apa juga terjadi, perkara seperti di tv tiga suku tayangkan itu tidak akan berlaku….Ini janji Mamak Haji…hahaha!. Takut budak-budak nak masuk politik nanti bapa atau emak beri pandangan negatif terhadap anak sendiri. Itu sudah kira Political Assassination.Ibu Gagak tak akan kata anak dia hitam malahan bagi ibu gagak itu, warna anaknya  adalah berwarna keemasan. Kami akan mendoakan anak kami berjaya dalam politik. Tapi bila berjaya dalam politik, jangan lupa pulak nak huluq dua tiga ekar kat George Town itu kat Mamak haji…Mamak Haji nak buka stesyen minyak dua tiga biji untuk hari tua. Senang untuk bakaq tubuh terbujuq kat Neraka nanti, tak payah susah mencari kayu api…pakai petrol senang sikit. hehehehe!. Dah lah jangan over sangat berpolitik sampai meloyakan orang lain, jaga restoren itu baik-baik seperti kamu janjikan semasa mengambilnya dari bapak!. Puas mamak haji berletiak hari ini senang tiduq.

Nota: Ini adalah pandangan peribadi yang main di kepala otak seorang tukang masak nasiq kandaq. Ini cuma luahan, dengan sebab itu mamak haji tak mahu betulkan ayat atau salah eja..maka maafkan mamak haji kalau ada perkara menyakitkan hati sesiapa. Mamak Haji tak ada tempat nak luahkan perasaan seperti ini. Mamak Haji bukan anti kerajaan atau anti pembangkang atau mewakili sesiapa.  Wassalam.


Salam, cuti hujung minggu ini mai kita layan e-mail, e-mail yang telah dikirimkan oleh pembaca blog ini, yang akan menyuntik semangat untuk kita terus berniaga daripada politik yang semakin jijik sekarang.

Baca nukilan seorang pengunjung bekas Perajurit yang amat berjaya dengan bidang katering  ini.

Saya diperbesarkan dalam sebuah keluarga miskin yang serba kekurangan. Selepas tamat persekolahan dengan sijil MCE, ingin belajar tinggi tetapi apakan daya impian tak tercapai kerana kemiskinan keluarga. Ramai kawan-kawan saya yang bagus dalam pelajaran terpaksa berhenti keran penyakit kemiskinan. Pada umur 17 tahun, saya daftarkan diri dalam Perkhidmatan Tentera Laut, alhamdulillah hidup dalam tentera buakanlah mudah atau senang seperti sekarang yang dengan bergaji besar. Rekrut zaman saya, cuma dibayar RM60.00 sebulan selepas tamat latihan dibayar gaji cuma RM150.00 sebulan. Walau pun hidup dengan kemiskinan tetapi kehidupan tentera telah banyak mengajar berkenaan hidup dengan tabah dan berdisiplin. Dulu kapal TLDM diperbuat dari kayu tetapi semangat sebagai anggota tentera  bagaikan besi, kini kapal TLDM sudah canggih dengan diperbuat daripada besi yang kuat tetapi semangat anggota tentera telah berubah menjadi kayu kerana kemewahan yang kecapi hasil pembangunan negara. Kehidupan Tentera juga telah mengajar saya ketepatan masa. Sehingga kini banyak urusan dalam katering yang saya jalankan, kejayaan perniagaan saya kerana ketepatan masa itu. Kehidupan dalam Tentera selama 13 tahun ini saya tidak pernah menyesal. Tentera Laut telah menanamkan semangat bukan saja untuk setiap kapalnya “3F”,  ia itu  Float (kapal perlu terapung), Forward (Bergerak ke hadapan) dan Fight (melawan musuh) tapi ia mengajar saya dalam dunia realiti, kita bukan saja hidup tetapi mesti diteruskan, harus maju dan sedia menghadapi persaingan perniagaan. Inilah semangat waja seorang bekas perajurit yang telah dilupakan jasanya oleh masyarakat atau pun ATM. Memang di hati kecil ini ingin meluahkan keluhan yang telah dibaikan tetapi bila kenangkan kehidupan yang tentera beri itu, semua kekesalan pernah menjadi anggota tentera telah lama hilang.  Kini saya jalankan perniagaan katering di salah sebuah bandar yang moden. Berkat usaha dan rezeki Allah SWT , perniagan saya telah berjaya. Walau semasa di tentera, beli basikal pun tak mampu, tapi kini alahmdullilah saya memakai kereta mewah yang beratusan ratus ribu bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi ia adalah matlamat asal perniagaan dan cita-cita saya. Di luar sana ramai bekas-bekas perajurit dan juga anggota tentera yang sudah tiba masa untuk bersara mencari-cari bidang untuk menceburkan diri dalam perniagaan. Ramai yang  salah terpilih profesion seperti kawan-kawan saya juga semasa dalam tentera. Percayalah bidang restoren dan katering ini mempunyai banyak peluang untuk orang  seperti kita. Sekiranya anda melawat blog mamak haji, bacalah setiap kata-kata mamak haji yang keluar dari hati yang ikhlas. Cara Mamak haji menulis saya rasa tuan haji bukannya calang-calang orangnya. Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada mamak haji kerana sentiasa menyuntik semangat untuk para peniaga makanan hampir disemua posting. Apa yang dikatakan mamak haji didalam perniagaan memang tepat dan betul. Allah jualah beri balasan untuk kebaikanMamak haji….Jazkallahu Khairan.”

E-MAIL 2:

Semoga Mamak Haji berada dalam lindungan Allah s.w.t..Saya XXXX dari
KL merupakan Silent Reader blog Mamak Haji. Bersyukur kerana
dipertemukan Allah dengan blog Mamak Haji yang banyak berkongsi ilmu
perniagaan & masakan yang banyak memberi manfaat kepada para
pembaca..Mudah-mudahan Allah membalas kebaikan Mamak Haji ini.

Mamak Haji,

Saya berminat menceburi bidang perniagaan makanan. Tidak berniat untuk
makan gaji dengan orang sampai bila-bila. Saya ingin bermula secara
sampingan dahulu kerana saya masih berkerja tetap. Saya terfikir untuk
meletak nasi lemak atau mungkin apa-apa sahaja makanan yang sesuai di
kedai-kedai makan mamak/cina atau di stesen minyak yang berdekatan.
Apa pandangan Mamak Haji tentang rancangan saya ini?

Selain itu, sudikah Mamak Haji berkongsi cara mudah masak nasi lemak
dan sambal bilis yang sedap untuk perniagaan? Saya mempunyai periuk
masak nasi letrik 10L, bagaimana cara masak nasi lemak menggunaan
periuk tersebut supaya tekstur nasi lemak cantik dan sedap..Kalau ada
apa-apa petua lain berkenaan masakan nasi lemak dan sambal secara
komersil, saya gembira dan berterima kasih jika Mamak Haji dapat
berkongsi…:)

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
XXXX.

3. E-MAIL 3.

Assalamualaikum tuan haji, terima kasih kerana meluangkan masa membaca emel saye ni…dah lame saye mencari penulisan untuk dijadikan rujukan tentang perniagaan restoran dan katering…terima kasih juga kerana banyak info yang saye dapat dalam penulisan tuan haji. Tajuk emel dipilih, untuk menarik perhatian tuan haji supaya membaca emel saye ni…hehe…harap harap berjaya…. :). saya 32 tahun dan suami 30 tahun boleh dikatakan pasangan muda? yang masuk ke dalam bidang perniagaan restoran & katering. Tahun ni merupakan tahun ketiga kami berniaga….Alhamdulillah, sudah nampak peningkatan dari segi jualan…masa mula berniaga dulu dapat sales satu ari RM300…lame-lame naik sikit2….sekarang baru mencecah sales RM800 kadangkala shj dpt RM1000 sehari….
Menu yg terdapat di restoran kami Masakan Panas (bukan ala thai tapi ala hotel), chinese style & western
Perniagaan bermula = 5.00ptg – 12.30tghmalam (staff datang seawal 3.30ptg utk siapkan barang2
Sewa premis = RM1000 sebulan
Masalah yang kami hadapi sekarang, walaupun sales tinggi, tapi cost membeli barang juga akan meningkat….contoh :-
contoh jualan :-
Jualan hari ini : RM800
Jumlah Gaji pekerja : RM175.00/per day
(tukang masak RM45/pembantu tkg masak RM25/Pembancuh air RM25/Pelayan 1 RM22/Pelayan 2 RM20/Pelayan 3 RM20 & Pencuci Pinggan RM18)
** suami saya merupakan seorang tukang masak hotel dan akan turun padang bersama tukang masak, manakala saya akan membantu suami di bahagian kaunter dan membantu di dapur western (saya masih berkerja siang hari di pejabat) tapi kami takde gaji kat kedai ni melainkan jika ada savings sikit pada ari tersebut**
Sewa Kedai+bil air api+astro+maintenance= RM60/ per day
pembayaran pinjaman buka kedai kpd ibu saya = RM20/per day
balance = RM545
tolak pembelian barang utk esok =RM400
Balance = RM145
Jika dilihat balance masih ada, tapi kebiasaan nya pembelian barang utk esok hari akan mencecah lebih RM500++
Jadi ada la balance sikit lagi untuk savings….tapi akhir bulan masih tak cukup kerana kami ada sebuah kereta yang masih belum habis dibayar, beri kepada ibu bapa sikit utk belanja dapur, perubatan, bil air api rumah ibu bapa (krn saya masih tinggal bersama ibu bapa krn takde org nak jaga) dll perbelanjaan….kebanyakannya saya akan guna gaji saya untuk tambah2….
macam tuan haji bagitau, penyata kewangan mmg cantik tapi….entah la…kami masih bertahan setakat ini…jika ada katering kahwin baru la tarik nafas lega….
persoalannya…adakah kerana sewa premis mahal? tapi saya rasa RM1000 utk 2 pintu tidak terlalu mahal…dan 2 staff kami yang tinggal jauh dari rumah, menginap di bilik dlm premis…
atau adakah kerana perkerja yg ramai? utk waktu waktu sibuk, kdg2 masih x menang tgn wlupon perkerja ramai….
atau mungkin kerana suami lebih cenderung membeli barang2 secara pembelian harian? kami pernah buat stok untuk brg2 kering, tapi tak tak sempat pusing pon duit tu…
jika tuan haji ade masa lapang, minta tuan haji bagi pendapat….
terima kasih…
E-MAIL: 4
assalamualaikum en roslan
boleh saya bertanya tentang resepi char kuey teaw yg en roslan berikan melalui website tu..
kicap cair yang mcamana yg en roslan maksudkan..dan satu lagi mengenai resepi mee udang tu.. boleh tak en roslan beri resepi yg boleh di buat pesnya.. maknanya pes tu kita boleh buat untuk banyak kali masak..sebenarnya saya dan suami baru je nak mulakan bisness ni..
saya harap en roslan dapat membantu saya ye..segala kerjasama dari en roslan saya dahului dengan jutaan terima kasih..
semoga Allah jua yg dapat membalasnya.. amin..
Lihat kegigihan pembaca ini dalam jawapan  e-mail yang ketiganya:
assalamualaikum..
mamak haji..
alhamdulillah dgn izin Allah swt.. saya dan suami dah pun buka gerai char kuey teaw..
dgn berpandukan resepi dr mamak haji.. setakat ni boleh tahan juga permintaannya..
saya n suami cuma jual char kuey teaw je dulu..
nak buat mee udang.. tapi belum ada keyakinan lagi.. insyaAllah suatu hari nanti..trm kasih byk2 atas resepi char kuey teaw mamak haji yang sedap tu…  :)


Salam, pada mulanya mamak haji memang berat nak menulis  resepi nasi goreng ini(terpaksa kotakan janji pada seorang pengunjung blog), kerana nasi goreng ini banyak versi dan bermacam-macam resepi. Setiap negara di asia yang makanan rujinya Nasi, pasti ada resepi nasi goreng masing-masing, kalau mamak yang goreng nasi digelar, “nasi goreng mamak”, kalau orang Cina yang goreng nasi, digelar, Nasi Goreng Cina”, kalau orang Thai yang goreng, “nasi goreng Thai”, kalau orang vietnam yang goreng, “nasi goreng Vietanam”. Sri Langka, Nepal, India  pun ada nasi goreng versi mereka. Nasi Goreng orang Melayu lain sikit, di panggil, “Nasi Goreng kampung”. Nasi Goreng resepi yang amat mudah dan cepat dan senang dibuat dengan kos yang murah. Ia boleh disajikan waktu sarapan, tengah hari atau makan malam. Nasi goreng atau pun gorengan seperti mee, kuoy teow atau pun bihoon jangan terlalu banyak dan berjenis-jenis rencah seperti daging, ayam atau pun makanan laut (ses-food) digunakan. ia bukan saja menjadi mual tapi rasanya hilang. Umapamanya gunakan ayam jangan pula bubuh pii, udang atau daging. Rasanya akan bertukar dan memberi rasa dan bau yang tidak enak dan cepat memualkan.

Nasi Goreng Thai ini digelar dalam bahasa Thai, ” Khao Pad Gai”. “khao” bermaksud Nasi, “Pad” bermaksud Goreng dan “Ghai” bermaksud Ayam. Dalam masakan nasi goreng bahan yang penting ialah nasi. Nasi yang terbaik untuk digunakan ialah Nasi semalaman yang di simpan dalam peti sejuk. Nasi yang baru masak pun tak salah digunakan tetapi ia perlu disejukkan dulu. Nasi goreng butir Nasi perlu peroi sebiji-biji, tidak terlalu kering dan sederhana kembang (fluffy). Suhu dlam Peti sejuk biasanya boleh menyerapakan kelembapan dan mengeringkan nasi. Jangan salah anggap dengan sifat sejuk. kesejukan sebenarnya proses yang menyerapkan kelembabpan dalam udara dengan mengeluarkan haba. Udara mempunyai kelembapan (moisture). Sifat molikul air ini yang terdapat dalam udara, selalunya akan berkumpul pada bahagian paling sejuk. Contohnya ais dalam sebuah bekas. Anda boleh nampak titisan air terkumpul diluar bekas. Ia adalah kelembabpan yang terkumpul dari udara sekelilingnya. Maka jangan salah faham, fungsi peti sejuk atau penghawa dingin (air-cond) bukan untuk melembabkan udara tetapi menyerapkan kelembapan (moisture) yang terdapat di dalam udara disekeliling. Orang perempuan yang tidur dalam bilik berhawa dingin kalau nak jaga kulit muka pakailah “moiturize” atau krim pelembab sebelum tidur ini petua orang model, dulu petuanya pakai bedak sejuk. tepung penyerap kelembabpan. kalau ikan nak goreng nak garing, sapu sikit tepung beras. Ini terbalik yea!. Jangan pakai tepung beras kat muka tapi pakai pelembab atau timun. Kalau yang sekang mata kerana tulis posting itu pakai timun kat mata..boleh hilangan “black circle” atau kawasan mata jadi hitam. Kalu tak hilang pakai hirisan timun pakai minyak sapi (kalu tahn baunya) gerenti hilang dalam sehari saja. Maka kalau ingin menyimpan apa saja bahan makanan di peti sejuk tentukan kelembapan bahan makanan itu terpelihara terutamanya daging atau pun sayur-sayuran supaya ia segar. Pastikan bahan makanan disimpan di peti sejuk di dalam bekas atau pun beg plastik yang kedap udara.

Nasi untuk nasi goreng, sekiranya bergentel atau berketul perlu diuraikan bukan dihancurkan. Cara terbaik ialah, ambil sedikit minyak masak dan letakan di kedua tapak tangan anda dan ramas ketulan nasi supaya ia peroi kembali. Jangan masukkan nasi yang berketul-ketul kedalam kuali dan lenyekan, kerana ia akan hancurkan butir-butir nasi. Nasi kena persiapkan dahulu sebelum goreng. Nasi goreng perlu dibuat dalam kuali yang tidak melekat (non-stick pan) atau kuali yang perbuat dari besi padu atau “cast-iron”. Kuali besi yang biasa boleh di “castingkan” dengan panaskan kuali sehingga merah menyala dan dituang minyak dan disejukkan. Jangan gunakan berus dawai untuk membersihkan kuali yang telah “casting”. Ini cara lama yang kita amalkan dulu. Bagi suri rumah, memadai dengan membeli kuali non-stick yang boleh digunakan berbagai masakan untuk mengurangkan kegunaan minyak yang mudaratkan kesihatan. Ikutkan kuali tak melekat sudah kemestian digunakan di rumah. Bagi suri rumah, Kalau boleh elakan kegunaan peralatan dari bahan logam Aluminium yang menghasilkan aluminium oksida yang beracun bila dipanaskan.

RESEPI NASI GORENG ‘ALA THAI.

Jumlah hidangan: 5 hingga 7.

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 cawan nasi, yang terbaik nasi semalaman (Refrigerated).
  • 1 keping dada ayam. Dihiris 1/4″ X 1/2″ (kalau berniaga besar sedikit saiz supaya nampak ayam itu, saiz ini sesuai untuk anak-anak di rumah).
  • 3 sudu besar kicap cair.
  • 4 helai daun bawang dihiris halus untuk hiasan di atas hidangan nasi goreng.
  • 1 batang serai. Hiris halus cuma bahagian dlm yang unggu saja atau bahagian luar yang putih. Ini bahgian lembut serai dan boleh dimakan.
  • 2 biji bawang merah dihiris halus (bawang kecil siam).
  • 3 ulas bawang putih diketuk dan dihiris halus.
  • 1″ bersaiz ibu jari lengkuas dibuang kulit dan dihiris saiz batang mancis sekiranya rasa lengkuas tidak sukai boleh gantikan dengan halia.
  • 3 cili api dihiris halus atau diketuk. (boleh kurangkan atau tambah).
  • 2 biji telur ayam dipukul dengan ditambah 1 sudu kecil air.
  • 1 batang celery.
  • 1/2 cawan kacang campur frozen. Rendam dengan air panas dan toskan.

PERENCAH (SOS) UNTUK GORENGAN:

  •  3 sudu besar stok ayam atau gunakan 1 ketul stok sedia guna (hancurkan dan cairkan dalam 3 sudu besar air).
  • 3 sudu besar kicap ikan.
  • 2 sudu besar kicap cair (kurang masin).
  • 1 sudu besar jus limau nipis.
  • 1/4 sudu kecil (tsp) lada sula (putih).
  • 1/4 sudu keci (tsp) gula. (secubit).

CARA-CARA MENGORENG:

1. Sediakan nasi seperti saranan diatas. Untuk menyediakan ayam, masukkan hirisan ayam kedalam sebuah mangkok dan masukkan 1 sudu besar (tbsp) kicap cair dan lumurkan hirisan daging ayam dengan 1 sudu kecil minyak masak, sedikit tepung jagung dan ditepikan. Kita lumurkan minyak masak pada daging ayam supaya bila masukan hirisan ayam yang lembut, ia akan melekat pada kuali dan bila mula digaulkan akan hancur. Tepung jagung pulak untuk hirisan ayam itu tidak melekat diantara satu sama lain. Teknik ini anda boleh gunakan untuk goreng daging ayam yang lembut dan dihidangkan sebagai peryeri hidangan yang lain walau tanpa gunakan kuali tak melekat.

2. Masukan semua perencah (sos) gorengan dalam sebuah mangkok dan tentukan gula dan lada sula dikacau rata untuk adunkan bersama dalam sos tersebut.

3. Hidupkan dapur dengan api sederhana. Panaskan kuali  dengan 1 sudu besar minyak masak dan ratakan minyak dalam kuali dengan memusingkan kuali. Masukkan telur yang dipukul dan goreng hancur. Selepas telur masak angkat keluar dan tepikan. Masukkan 2 sudu besar minyak dan goreng bawang putih sehingga naik bau, masukkan bawang, serai dan cili selama 2-3 minit. Masukan hirisan ayam. Goreng 2-3 minit atau sehingga hirisan ayam masak. Sekiranya kuali menjadi kering semasa gorengan ini boleh masukan  air stok ayam 1-2 sudu besar. Masukan celery dan goreng 1-2 mini lagi.

4. Kuatkan api dan masukkan Nasi bersama semua bahan gorengan yang sedang goreng. Masukkan sos perencah sedikit demi sedikit dengan diiringi gorengan. Kita masukan sos perencah sedikit demi sedikit untuk mengekalkan kuali sentiasa kering. Sekiranya kuali lembab nasi akan menyerap kelembapan dan terlalu kembang. Nasi goreng perlu kering dan kembang yang sederhana. jangan terlalu kering nasi ia akan jadi keras. Goreng sehingga 5 minit. Selepas selesai sos perencah dimasukkan, masukkan pulak telur hancur yang telah disediakn. Masukan kacang campur dan goreng selama 2-3 minit lagi. Nasi goreng anda siap. Jangan lupa “rasa” garam. kalau kurang masinan tambah sedikit kicap ikan, kalau masin tambah perahan air limau sedikit. *Untuk peniaga bila kata nasi goreng ayam,  pelangan inginkan macam nasi ayam, ayam perlu diletak tepi. Buatlah apa yang patut untuk memuaskan hati pelangan. Sediakan ayam goreng kunyit dihiris, letak tepi pingan dengan sos cili thai (nanti mamak haji bagi bagaimana sediakan sos thai dengan murah), hirisan timun dan tomato. Peh..terangkat.

5. Cara mamak haji tulis resepi memang panjang berkenaan sesuatu resepi, memang kalau tak baca betul , nampak susah sedikit tetapi bila kita tahu yang mana bahan perlu nak masukan dulu dan kemudian, ia sebenarnya mengambil masa cuma 15 minit saja. Kita pertama kali keliru dengan langkah-langkah  dan kawalan api. Tetapi ia sebenarnya mudah dilakukan. Selamat mencuba. Wassalam.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 8,526,799 hits
Mei 2012
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Kemaskini Twitter

Error: Please make sure the Twitter account is public.