PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for September 2012


Salam, Resepi dari Asia Barat kini amat popular di bandar-bandar besar di negara ini. Kita boleh lihat restoren ‘ala Asia Barat mendapat sambutan hangat dari pelangan-pelangan dari kalangan orang Melayu. Fenomena perubahan orang Melayu kearah lebih Islamik kini telah membuka peluang terbaik untuk pengusaha-pengusaha makanan ‘ala asia barat dari kalangan usahawan restoren orang Melayu. Ramai pengusaha dari restoren tradisi ‘ala masakan Melayu atau nasi campur telah mengikut arus perkembangan terbaru ini. Masakan asli Melayu kini menjadi suram dan tidak bermaya menandingi restoren-restoren tomyam diusahakan oleh imigran rakyat Thai Selatan dan juga rakyat dari Indonesia, maka pengusaha-pengusaha restoren masakan asli melayu tidak punyai pilihan selain dan terpaksa, “Berkoban Apa Saja” kepada rakyat asing, dan huluq perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit, perniagaan ketukangan warisan atau perniagaan makanan kecil-kecilan ini kepada rakyat asing dan terpaksa mencari idea baru dalam perniagaan kecil-kecilan ini yang punyai persaingan sengit dari warga asing terutamanya dari warga asing Islam Thai dan Indonesia. Jangan pula perniagaan baru ini masakan Arab atau asia barat ini  pun terpaksa beri lalauan kepada tok-tok Arab dalam versi pelaburan luar negara. Persatuan-persatuan pengusaha makanan orang Melayu yang sepatutnya bela nasib ahli-ahlinya, kini terlalu sibuk dengan hal ehwal politik untuk dapatkan anugerah Dato’ atau Tan Sri atau projek mula dah lupakan kebajikan ahli-ahli yang tengah melarat ini. Persatuan ini seperti NGO-NGO boleh mempengaruhi dalam merangka dasar-dasar polisi kerajaan yang memerintah untuk kebajikan ahli-ahlinya. Malangnya kebanyakan NGO-NGO ini telah disaduri pemimpin-pemimpin yang punyai ideologi parti politik amat menduka-citakan kita. Apa yang kena mengena perniagaan dan pilihanraya ini mamak haji kurang faham. Sampai masa hari buang udi, undilah siapa yang anda suka ..bukankah ia sangat mudah. Persatuan-persatuan perniagaan orang Melayu perlukan nafas dari golongan orang muda yang lebih profesional berbanding peminpin sekarang yang sudah tua dan nyanyok. Hidup orang Melayu kini lebih banyak berkisar dalam reotorik politik dari realiti sebenar orang Melayu sudah lama ketinggalan dalam arus perniagaan atau ekonomi. Ia seperti di Pulau Pinang tanah-tanah kepunyaan orang Melayu dijual kepada kaum lain dan hijrah ke negeri Kedah atau Perak, kononnya negeri Pulau Pianag khasnya, George Town ini tidak lagi sesuai untuk orang Melayu – “Bila tak tahu menari, salahkan pentas”. Alasan seperti ini sebenarnya alasan untuk orang yang lemah semangat dan tidak mahu berjuang kerana hati mereka gelojoh terhadap imbuhan hasil jual Tanah yang sangat lumayan dalam masa singkat. Hijrah itu baik dan digalakan dalam Islam tapi hijrah yang bagai mana ?. hijrah yang kita cari ialah untuk menaikan taraf hidup dan maruah kita. Bukan jual tanah yang ada dan balik kampung halaman untuk mendapatkan kesenangan sementara dan lupakan generasi akan datang yang akan berpakaian tinggal cawat saja untuk dipakai. Malas nak mengulas tentang orang Melayu Pulau Pinang ini yang senang sangat lepaskan hak hegamoni kuasa ekonomi dan kini pulak yang cuma tinggal kuasa politik pun dah terlepas kepada kaum lain. Bila mula berebut kuasa ekonomi yang tergadai, hilang pulak kuasa politik kerana terpaksa mengemis undi dari kaum lain untuk memerintah negara sendiri. Di negara ini yang pelik, ” kera dihutan disusukan, anak dirumah kelaparan”. Warga dari Bangladesh yang datang dengan pas lawatan atau pekerja, boleh buka restoren, warga Pakistan pun boleh buka kedai perabut dan karpet, Warga Aceh boleh buka kedai runcit, warga Selatan Thai boleh buka restoren Tomyam yang hebat, Warga India boleh buka restoren nasi kandar walau pun bukan Islam tapi pelangan tetap Melayu yang ramai dari orang India beragama Hindu. Di negara luar boleh kah warga asing boleh buka perniagaan kecil yang khaskan untuk penduduk tempatan?. Mereka ini tak perlu bayar cukai pendapatan tapi yang pelik bila mana orang tempatan ingin membuka sesebuah perniagaan kecil..alahai dia punya syarat yang dikenakan Majlis tempatan takut nak berniaga. Tetapi warga asing ini bebas berniaga cuma dengan lesen RM . Percayalah tak?.  Satu hari nanti warga luar ini akan ada seorang Menteri Kabinet yang khas untuk menjaga kepentingan perniagaan mereka dinegara ini.  OK lah malas nak cakap pasal politik ini dan ekonomi. Biarlah orang politik Melayu yang bijak pandai yang fikirkan nasib generasi akan datang yang akan tinggal akan mampu cuma pakai cawat seperti rakyat Nigeria atau Congo. Kebanjiran Warga asing dinegara macam tak terkawal. Negara Singapura dah pun terkena masalah kebanjiran warga asing ke Republik itu, Kita ini bila terkena baru tergadah atau orang penang kata, “tergedik-gedik”.

Resepi kali ini yang sangat popular yang kita namakan di sini Bamia.Bamia ini biasanya masak dengan daging, kambing atau ayam. Orang Lebanon gelarkan resepi ini, “BEMIA” , orang Mesir gelar, “BAMYA”. Apa juga orang gelarkan, maksud Bamia ialah, kacang bendi atau lebih kenali sebagai “OKRA” dan kadang-kala digelar, “Ladies Finger”. Maka resepi ini kalau dialih bahasa, “Daging Masak Kacang Bendi”. Ia sebuah resepi yang mudah cuma nama saja mengerunkan kita bila dengar. Kacang bendi ini mempunyai banyak khasiat yang luar biasa kerana mengandungi Serat atau Fibre yang tinggi, Vitamin C, dan Folate atau asid Folic yang jarang terdapat dalam sayur-sayuran lain. Folic asid ialah merangkumi vitamin B, B9 yang membantu membina sel darah merah dan juga membaiki DNA dalam tubuh badan. Kacang bendi juga kaya dengan oxalate, bagi pesakit batu karang jenis kalsium oxalate, cuba kurang makan kacang bendi ini kerana ia adalah nasihat dari pakar-pakar urealogy “Mayo Clinic”,  yang mana dikatakan menjadi sebuah hospital non-profit yang terbaik didunia selama 20 tahun berturut-turut. Maka harus kita terima pendapat pakar-pakar dari Hospital terkenal ini. Mengikut pakar-pakar ureology dari Mayo clinic ini, pesakit yang mengidap penyakit masalah “batu karang”, perlu hindarkan diri anda dari makan kacang bendi, sayuran Bayam, ubi keledek, teh, choklat,  ubi kentang dan produk kacang soya. Allahuallam.

Mamak Haji sebenarnya pernah makan resepi ini secara orang Asia barat masak, tetapi selera mamak haji tak kena dengan cara masakan mereka. Maka mamak haji ada ubah-suai resepi asal ini kepada cara masakan negara kita yang lebih sesuai. Dalam masakan asal orang Lebenon atau Mesir, mereka gunakan tomato segar yang dilenyek dalam kuantiti yang banyak sekali. Maka mamak haji rasa bau tomato segar dan rasa dengan bau bendi itu sendiri tidak akan digemari anak-anak kita. Cakap pasal kacang bendi ini mamaka haji ingin nak berikan resepi bendi nasi kandar. Kalau anda perhatikan di restoren nasi kandarada menyediakan hidangan bendi rebus yang sangat menarik perhatian dengan warna kehijauan asli. Sekiranya anda mula gigit bendi dalam mulut, kegaringan bendi itu amat dirasai.  Bendi ini mudah sediakan. pilih bendi yang agak muda, potong buang tangkai diparas masih keras. Jangan potong sehingga nampak rongga bendi itu. Basuh bersih. Panaskan air hingga mendidih, masukan sedikit minyak masak dan garam. Kalau ingin warna diterampilkan masukkan 1/2 sudu kecil baking powder setiap 1 liter air bila air mula mendidih. Masukan kacang bendi dalam air mendidih selama kurang dari 3 minit kerana ia terpulang pada saiz bendi. Sediakan sebuah bekas yang mengandungi air ais. Keluarkan bendi yang direbus dengan menggunakan penapis dan segera masukkan dalam bekas yang mengandungi air ais. Bila sejuk keluarkan kacang bendi. Anda boleh rasa keranggupan bendi walau pu nia telah masak secukup. Satu lagi mamak haji berikan tip untuk goreng bendi, Basuh bendi sebelum hiriskan. Selepas dihiris jangan membasuh, ia akan menjadikan bendi goreng anda berlendir yang mualkan.

RESEPI BAMIA

BAHAN-BAHAN PERLUKAN:

  • 1/2 kg. Daging lembu atau kambing dipotong dadu.
  • 1/2 kg. kacang bendi dibuang tangkai, sekiranya panjang.
  • 1 biji bawang besar dibelah enam (vedges).
  • 1/2 lada hitam ditumbuk kasar.
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih.
  • 1 sudu besar serbuk cili. (ikut kepedasan yang anda kehendaki- boleh juga gunakan cili kering kisar dalam 15 biji. Tetapi untuk complexion warna mamak haji pilih cili serbuk.)
  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar – goreng biji ketumbar dan dikisar halus.
  • 1 sudu besar pes halia bawang putih (sekinya tidak ada pes, gunakan 3 biji bawang putih dan 2cm halia ditumbuk halus).
  • 1 sudu kecil tomato puree.
  • 1/2 tin sup tomato (250gm).
  • 1/2 tin susu cair.
  • 1 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  • 2 biji bawang dikisar dan jadikan 2 cawan air bawang.

Bahan untuk tumis: (sekiranya anda punyai garam masala, gunakan 1/2 sudu kecil dan tak perlu gunakan rempah penumis seperti dibawah ini.

  • 2 kuuntum bunga lawang.
  • 1 keping kulit kayu manis.
  • 5 bunga cengkih.
  • 5 biji buah pelaga.

CARA PENYEDIAAN:

1. Basuh daging dan potong kiub. Lumurkan daging bersama dengan sedikit garam, lada putih dan 1/2 sudu besar pes halia bawang putih. Biarkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 30 minit.

2.Basuh kacang bendi dan potong tangkainya kalau terlalu panjang potong dua.

3. Sediakan kuali. Bila kuali panas, masukkan minyak masak, bila minyak panas masukkan bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengkih, dan buah pelaga. Bila rempah ini mengeluarkan bau haruman masukkan baki halia bawang putih dan bawang yang telah dipotong vedges. Layukan bawang.

4. Masukkan lada hitam, serbuk jintan putih, serbuk ketumbar dan serbuk cili (peskan serbuk cili dengan sedikit ait sebelum masukkan, kacau sebati daging dengan rempah sehingga bangkit bau harum rempah. AWAS jangan sampai terbakar rempah.

5. Masukkan segera daging yang telah peram. Kacau sebati daging. Kecilkan api dapur dan biarkan daging masak dengan air dagingnya. Tutup dengan penutup. Sekali sekala buka tudung dan kacau. Sekiranya air kurang untuk masak daging itu tambahkan. Masak daging ini dengan cara simmering/renehan. Sekiranya anda punyai “pressure cooker atau slow cooker” ia amat mudah lakukan.

6. Bila daging telah masak 3/4, masukkan air bawang dan didihkan kembali. Air bawang adalah untuk dijadikan kuah. Bila air bawang mula didih dan daging sudah masak secukup, masukan sup tomato, susu cair dan garam secukup. sekiranya anda inginkan kuah pekat dan berlemak boleh tambah 100gm santan pekat dalam kuah tersebut. Biarkan kuah mereneh/simmering dan jadikan kuah pekat. Awas dengan daging. Sekiranya anda takut daging akan lerai, mulakan dengan daging 3/4 masak.

7. Akhir sekali masukkan kacang bendi dan masak dengan api dapur kecil selama 10 minit lagi. Bamia anda telah siap. Anda boleh hidangkan dengan daun pudina atau daun ketumbar diatas hidangn anda. Wassalam.

semua

Label:

Salam, Mamak haji ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mengunjung blog mamak haji. Hari ini blog mamak haji telah membuat catatan pengunjung yang melawat telah mengatasi lebih satu juta. Blog ini cuma ingin membantu anak-anak muda, suri rumah dan juga pesara-pesara tentera dan untuk orang Melayu yang  hilang hala tuju dalam menguruskan perniagaan kecil yang sedang dijalankan. Perniagaan amat dituntut dalam Islam. Imam Bukhairi  r.a letakan bab muamalat (perniagaan) ini selepas kitab Ibadah dalam karya teragong “sahih Bukhari”. Maka inilah tujuan asal mamak haji ingin memberi sentuhan dan cetusan semangat kepada anda yang ingin mulakan perniagaan khasnya makanan. Dalam tiga tahun mamak haji menulis ini, ribuan e-mail pernah mamak haji jawab, Alhamdullillah ada yang ramai dianatara mereka yang telah berjaya membuka perniagaan sendiri. Kejayaan sebenar mamak haji inginkan ialah bukan angka yang berkunjung tetapi walau pun setahun seorang pengunjung, tetapi pengunjung itu berjaya membuka perniagaan sendiri, itulah angka yang mengukur kejayaan mamak haji dalam berblogging ini. Saat paling gembira bila bu eka-mail ialah ada pengunjung blog yang menulis, “syukur mamak haji saya telah membuka perniagaan…..”, itulah e-mail yang paling gembirakan hati mamak haji sebenar. Menulis sesebuah posting bukan mudah, tidak seperti komen. Menulis blog perlu ada semangat dan ketabahan dan masa dan bagi mamak haji kesihatan. Blogger tua macam mamak haji seperti Honda kapcai 50cc yang lampu bulat. Malap dan perlahan.Cuma doa dan kata-kata semangat yang diberi oleh pengunjung sekalian, mamak haji dapat kayuh lagi. Sekali lagi mamak haji ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengunjung blog dan juga blogger-blogger yang sentiasa sokong dan promosikan blog mamak haji  ini dalam cyber ini. Tanpa blogger kesayangan mamak haji seperti wattie, D5,Queenie, dan blogger -blogger hebat -hebat yang lain dalam masakan ini, apalah mamak haji ini tanpa sokongan kamu semua.

Semoga Allah SWT merahmati kita diatas usaha kita yang ikhlas ini untuk memperkasakan Islam dan Ummah yang mana kaum kafir harbi ini sentiasa memperlekehkan Islam dan Nabi besar kita S.A.W. kebelakangan ini. Kafir Harbi laknatullah ini cuba menyusur dalam bidang makanan untuk orang Islam dan menyediakan makanan dengan bahan-bahan yang tidak halal untuk orang Islam ini perlu diberi perhatian. Sekali kita mengambil makanan yang mempunyai bahan-bahan tidak halal mengikut syaraq, adalah dikatakan oleh ulamak-ulamak, “selama 40 hari doa kita tidak akan dimakbulkan oleh Allah SWT”. Maka awaslah!. Ini adalah cara serangan baru ke atas ummah kerana penduduk yang beragama Islam di dunia semakin bertambah. Ketakutann Islam akan mengusai dunia mula menyelubungi golongan kaum kafir harbi terutama bangsa zionis ini. Sentiasa waspada dalam soal makanan di restoren-restoren segera dari luar negara yang difrancaiskan kepada orang tempatan yang tamak haloba untuk mencari keuntungan. Walau pun ayam yang disembelih itu halal cara syarak tetapi perencah yang digunakan dalam penyediaan masakan belum tentu halal. Jangan terpedaya dengan cop Halal yang dihalakan oleh orang kita, atau pun bingkai-bingkai ayat-ayat Al-Quran, atau pakai kopiah dan jubah.Kadang-kala kita tak tahu asal usul mereka tetapi  kita menjamah makanan mereka. Fikir-fikirkanlah maksud mamak haji ini. Lama-kelamaan orang Melayu yang asal ini akan kehilangan perniagaan bidang makanan seperti telah  kehilangan ekonomi negara atau pun masa akan datang akan kehilangan kuasa politik. Jangan ambil jari cucuk mata sendiri. Jangan sampai kita tinggalkan “cawat” untuk anak cucu, cicit kita satu hari nanti. Bukalah mata, lihat sekeliling perubahan yang berlaku, jangan malas berfikir, jangan hipokrit tapi fikir masa depan bangsa ini yang lama telah berada dalam keabdian penjajahan kafIrin. Inilah nasihat mamak haji teh tarek dalam menyambut Hari Malaysia.

Seperti Perdana Menteri kita selalu melaungkan, “janji mesti ditepati”, mamak haji juga syok menggunakan ayat itu dengan sambung kembali ke bahagian dua dalam resepi murtabak, ia itu penyediaan inti murtabak. Dalam bahagian satu kita telah pelajari bagaimana membuat tepung roti canai untuk membalut inti murtabak. Kali ini kita belajar bagaimana untuk menyediakan inti murtabak stail mamak.

RESEPI: PENYEDIAAN INTI MURTABAK: (6-8 keping murabak).

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm Daging kambing atau daging ayam yang telah dicincang.
  • 3 biji  bawang labu sederhana besar dihiris.
  • 1 cawan sayur kobis yang telah dihiris halus atau dicincang. Kalau kobis tak suka boleh gunakan “celery” dihiris.
  • 4 biji cili hijau dihiris.
  • 1 sudu besar serbuk rempah beriyani.
  • 1 sudu kecil serbuk cili.
  • 1/2 sudu kecil serbuk garam masala (rempah kari daging pun boleh kalau tiada rempah garam masala.
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit.
  • 1 sudu besar pes halia bawang putih.
  • 1/2 cawann air, ikut keperluan.
  • 1 sudu besar minyak sapi (ghee).
  • 1 sudu besar minyak masak.
  • 6-8 biji telur ayam.

CARA PENYEDIAAN:

1. Dalam masakan mamak minyak sapi sinonim dengan cita rasa mamak, sekiranya anda rasa bau minyak sapi tidak dimenyenangkan cita-rasa anda, gunakan minyak masak saja.

2. Panaskan kuali, masukan 1 sudu besar (tbsp) minyak sapi dan dikuti dengan 1 sudu besar minyak masak. Tujuannya ialah supaya minyak sapi tidak terbakar dan mengeluarkan bau tengit bila terbakar. Bila mana anda kalau gunakan butter untuk gorengan juga, lakukan perkara yang sama, kerana butter mudah terbakar.Sebelum anda mula menumis rempah, jadikan kesemua serbuk rempah itu diadunkan dengan sedikit air untuk dijadikan pes rempah.

3. Masukkan pes halia bawang putih. Bila warna gorengan anda mula  kuning keemasan, masukkan isi ayam dan sedkit garam. Masak dengan api kecil. (sekiranya anda tidak menggunakan kuali tidak melekat, kemungkinan hirisan ayam anda akan melekat di permukaan kuali. Ini akan hancurkan hirisan ayam itu, untuk elakan melekat sebelum anda masukan hirisan ayam, lumurkan sedikit minyak masak kepada hirisan ayam anda supaya ia tidak melekat pada permukaan kuali biasa.

4.  Bila hirisan daging dan ayam mula bertukar warna kepada keperangan masukkan masukkan sedikit air, tutup kuali. Biarkan isi hirisan ayam masak sepenuh dengan api dapur yang kecil. Ia akan menjadi kari pekat.

5. Bila ayam telah masak, buka tudung kuali dan masukkan hirisan kobis/ celery dan hirisan bawang dan hirisan cili hijau.

6. Biarkan masakn ini didapur sehingga ia menjadi agak-agak kering. Rasa inti anda. Sekiranya perlu, tambahkan garam yang secukup dan 1/2 sudu kecil gula. Keluarkan dan simpan. Bahagikan inti ini kepada 6-8 bahagian untuk dijadikan inti murtabak.

7. Ambil sebiji telur dan pecahkan dalam sebuah bekas. Tambahkan dengan secubit garam dan secubit serbuk lada putih. Masukkan kedalam bekas telur satu bahagian dari inti murtabak yang telah diasingkan. Pukul telur bersama inti murtabak sehingga kembang dengan garpu.

8. Panaskan kuali leper atau pun pan, renjiskan sedikit minyak masak.  Bila kuali cukup panas, tuangkan bancuhhan telur bersama inti murtabak tadi. Jadikan ia  bulat seperti telur bawang. saiz ketebalan terpulang kepada anda. Balikan dan tentukan ia masak 3/4 sebelum dikeluarkan dari kuali leper. Buat seperti diatas 8 keping inti murtabak.

CARA BAKAR MURTABAK:

1. Bila tepung roti canai telah sediakan, renjiskan sedikit minyak ke atas permukaan tepung roti canai, letakan sekeping inti murtabak dan membukuskan inti dengan tepung murtabak. Disini anda perlu tentukan saiz inti murtabak dan kelebaran tepung roti canai yang anda telah sediakan perlu mencukupi untuk menutup keseluruhan saiz inti murtabak.

2. Panaskan kuali leper bakr roti canai, bila kuali mula panas renjiskan sedikit minyak ke permukaan kuali.  Angkat penyediaan murtabak yang telah disediakan dan dengan cermat dan mula bakar murtabak anda. sekiranya anda tidak mahir untuk pindahkan murtabak yang perlu goreng, sediakan dalam pingan dan anda perlu cuma telungkupkan saja. Mudah bukan. Sebenarnya penerangan mamak haji buat susah tapi bila anda sekali buat, anda akan kata , “ceh…mudah rupanya buat murtabak ini”..mamak haji buat leceh bawak naik beca keliling padang kota rupenye!”  hahahaha!.

3. Sentiasa terbalikan-balikan murtabak yang sedang masak untuk mendapatkan goringan yang sama dan tepung diluarnya masak. Jangan pedulikan intinya kerana ia telah pun masak. Cuma anda perlu tumpukan kepada tepung yang telah dibalut saja. kesabaran dalam goreng ini akan memberi ranggupan yang terbaik. Jangan ikut kedai kerana mereka kejar masa.

4. Sebelum mulakan goreng kedua dan seterusnya, tentukan minyak yang berlebihan gorengan perlu dilap bersih. Minyak yang terbakar akan mengeluarkan bau yang tidak enak dan kemungkinan murtabak anda akan pahit. Garing murtabak kini terpulang pada suhu kepanasan. sekiranya suhu kuali leper terlalu panas untuk goreng seterusnya, anda tidak perlu mengawal api, cuma anda perlu renjiskan sedikit air untuk mengurangkan kepanasan kuali. Selamat mencuba

PENYEDIAAN HALWA BAWANG SEBAGAI PENCICAH MURTABAK:

BAHAN-BAHAN PERLUKAN:

  • 2 cawan bawang labu sederhana besar yang telah dihiris membujur (dari atas kebawah).
  • 1 cawan cuka.
  • 1/2 cawan gula.
  • 1 sudu kecil garam.
  • sedikit pewarna merah.

CARA-CARA PENYEDIAAN.

1. Panaskan cuka bersama satu cawan air. jangan sampai mendidih (takat 60C -70 C).

2. masukkan gula dan garam.

3. masukkan bawang dan segera matikan api dapur.

4. Masukkan sedikit pewarna merah. Sebenarnya halwa bawang ini biasanya dibuat dengan bawang bombay yang merah. Bawang ini bila kena cuka memang menjadikan merah. Masalahnya bawang bombay jarang ketemu jadi kita gunakan sedikit pewarna merah. Bila sejuk masukkan dalam peti sejuk. Ia lebih rangup bila keadaan sejuk.

Selamat mencuba. Sekiranya ada perkara yang ingin tahu lebih lanjut mengenai murtabak ini, e-mail mamak haji : mohd.roslan99@gmail.com  WASSALAM.


Salam. Posting kali ini mamak haji pilih resepi Murtabak untuk memenuhi permintaan ramai pengunjung blog. Ramai juga yang minta resepi melalui e-mail bagi masakan yang unik India tetapi maklum sajalah mamak haji sukar memenuhi permintaan tuan puan sekalian kerana kesihatan mamak haji kebelakangan ini tidak beberapa baik. Tapi jangalah  hampa dengan permintaan itu, bila mamak haji ada kelapangan dan sihat insyallah mamak haji akan tunaikan permintaan anda semua melalui posting dalam blog. Kadang-kala permintaan anda semua memberi inspirasi dan semangat untuk mamak haji terus menulis dalam blog ini. Bagi pengunjung yang baru singgah blog mamak haji mungkin janggal dan pelik sikit untuk mengikutinya kerana resepi yang mamak haji tulis ini berbentuk berperingkat. Pada awalnya mamak haji tulis yang asas tetapi bila dah lama mamak haji ubah kepada cara masakan mahir. Contohnya seperti  pes halia bawang putih. Mamak haji tidak menulis kuanti halia atau bawang putih dalam masakan tetapi terus kepada pes halia bawang putih kerana mamak haji sudah pun keluarkan resepi bagaimana anda boleh menyediakan pes ini. Ia seperti anda gunakan mayonis tak perlulah mamak haji terangkan bagaimana cara buat mayonis.  Tetapi terus kepada kegunaan mayonis. Resepi-resepi masakan yang menggunakan Garam Masala atau pun stok ayam atau daging, perlu membaca cara penyediaannya dan tak perlulah membeli dengan harga yang mahal. Mamak Haji juga terangkan mengenai  rempah dan kegunaan dalam masakan mamak. Ada  juga keliru masih keliru mana satu jintan putih atau jintan manis, daun salam India atau daun beriani, daun salam kita atau Indonesia, Kenal daun sup dan daun ketumbar. Ini mustahak untuk mengikuti resepi mamak haji akan datang. Sekiranya ada pengunjung kurang memahami atau ingin mengetahui, atau keliru dengan resepi, jangan segan hantaq mai e-mail. Mempelajari perkara-perkara  seperti ini biasanya memahirkan anda dalam masakan, khususnya masakan mamak penang.

Resepi kali ini amat terkenal digelar Martabak /Murtabak atau pun dalam bahasa Arab digelar, “Mutabbaq”, biasanya paling popular terutamanya di Arab Saudi, Yemen, Indonesia, Thailand, Brunei Darul Salam, Singapura dan di Negara kita. “Mutabbaq”, membawa maksud, “lipat” dalam Bahasa Arab. Rakyat Indonesia pula gelar Murtabak ini,Martabak. Martabak Indonesia ada dua versi, satu yang manis dan satu lagi yang berempah seperti murtabak kita. Murtabak ini sebenarnya berasal dari negeri Arab dan dibawa masuk ke negara ini melalui pedagang-pedagang India Muslim ke Negera Asia Tenggara melalui benua kecil India. Maka janganlah terkejut dengan resepi murtabak ini punyai banyak versi mengikut selera orang tempatan dan negara. Versi resepi mamak haji mungkin berlainan sedikit terutamanya masakan mamak ini biasanya menitik-beratkan adunan yang kaya denganrempah. Sekiranya anda tak berminat dengan rempah, anda boleh kurangkan rempah. Bila mamak haji tulis mengenai satu-satu resepi, ingin anda memahami tujuan kegunaan semua bahan-bahan utama dalam resepi itu dan bukan sekadar ikuti apa saja ditulis oleh mamak haji. Resepi perlu difahami sebelum mula mencuba masak. Maka dengan sebab itulah mamak haji tulis satu-satu resepi dengan panjang berjela-jela. Mamak haji bukan chef  dan tidak pandai menulis resepi secara cef-cef profesional yang terkenal. Mamak Haji cuma berpengalaman sebagai penjaja makanan tepi jalan yang berpengalaman bertahun-tahun sehingga kulit mamak haji jadi gelab dibakar dek cahaya matahari yang menyinarkan kehidupan mamak haji. Syukuran dan Alhamdullillah. Pengalaman itulah yang mamak haji ingin berkongsi dengan para pembaca blog ini. Sekiranya anda faham resepi mamak haji yang ditulis ini, mamak haji gerenti anda boleh mula berniaga. Anda juga perlu sentiasa cuba dan ubah resepi-resepi ini mengikut selera pelangan dan jadikan resepi yang baru itu milik anda. Bila mamak haji kata innovasi atau mengubah sesuatu resepi, janganlah sampai “kek harijadi diubahkan menjadi “kek Najis’ dan hadiahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinanag. hahahaha, ini bukan inovasi dalam masakan mamak tetapi kurang oksigen kat otak kerana dah terlalu taksub dengan berpolitik..hehehee!. Bila baca resepi berjela panjang, Jangan ingat mamak haji mengajar anda, tetapi ia cuma berkongsi pengalaman. Biasanya belajar dari pengajar yang mengajar, otak kita sukar diterima. Contoh terbaik ialah di zaman persekolahan, apa saja guru kita ajar masuk dalam otak, sudah pasti mamak haji dan ramai dari anda sudah masuk universiti dan digelar “master chef” sekarang. Sistem mengajar dan belajar ini biasanya gagal. Manusia suka belajar sendiri mengikut minatnya dalam sesuatu bidang dari kanak-kanak lagi. Kita tak boleh paksa seorang kanak-kanak untuk belajar  untuk mendapatkan 5A, 10A atau 18A untuk membuktikan kita ibu-bapa yang terror. Setahu mamak haji gred-gred ini cuma untuk daging ayam atau telur yang punyai gred A, B, C atau D seperti itu. Otak manusia bukan seperti telur ayam dinamakan mengikut saiz fizikal. Kita ibu-bapa  terlalau ego untuk bangga dengan jiran sebelah rumah atau saudara-mara dengan kecapaian kecemerlangan anak kita. Sama juga kerajaan yang ingin populariti dikalangan pengundi mengatakan saban tahun mutu pelajaran kita bertamabah baik dengan mengumumkan setiap keputusan di kaca tv. Cuma yang diumumkan peratus kelulusan cemerlang tetapi lupa nak umumkan peratus yang gagal. Guru yang terbaik bukan mengajar anak yang pandai untuk dapatkan 20A, tetapi kejayaan sesorang guru adalah menjadikan seorang pelajar yang teruk dan yang dianggap bodoh oleh pelajar lain itu dijadikan pandai dapat cemerlang dalam peperiksaan. Biasanya kita suka beri lampu kepada orang buta untuk jalan dimalam hari. Tugas guru adalah membantu seorang murid yang telah tercicir dalam pelajaran kepada seorang murid yang paling cemerlang dalam pelajaran. Inilah tugas mulia seorang pendidik, pelajar yang cerdik cuma perlukan panduan tetapi pelajar  yang dianggap bodoh dan cicir itu perlukan segala kemahiran yang ada pada guru untuk dijadikan pelajar yang cemerlang. Bill Gates Microssoft tidak sambung belajar di Harvard kerana ingin berniaga sendiri dan dianggap sekarang orang yang paling terkaya alam idunia.  Albert Einstein gurunya kata, seorang pelajar yang  bodoh, tetapi sebenarnya siapa yang bodoh?,  apabila Thomas  Edison  yang mencipta lampu letrik dan terangkan malam hari segala sudut dibumi ini dengan cuma petik suis. Kolonel Sanders pengasas KFC  berjaya membuka restoren rantaian yang kedua terbesar didunia sekarang, cuma mula buka perniagaan dengan ayam goreng, apabila pencen (bekas tentera berpangkat rendah) yang diterima olehnya tidak mencukupi menyara hidup dalam hari tua. Umur dengan pelajaran tidak membawa makna dalam bidang perniagaan, ini khasnya mamak haji tujukan kepada bekas-bekas  perajurit kita yang terima pencen. Janganlah anggap diri anda telah tidak bermaya untuk mulakan perniagaan. Maka rajinlah belajar sendiri pasti anda akan berjaya. Pelajaran amat perlu bagi kita. Maksud orang terpelajar ialah,seseorang yang boleh berfikir dan bertindak  dengan pemikirannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak luar. Dia boleh buat keputusan sendiri berpandukan pemikirannya dan bukan dengan pengaruh pihak yang lain. Pelajaran masa kini sekarang tidak memberi jaminan apa-apa untuk anda hidup senang dan berkerja dapat pendapatan tinggi seperti dulu. Sebenarnya sistem pelajaran kita sudah tersasar untuk mengwujudkan insan terpelajar tetapi cuma wujudkan tenaga kerja untuk golongan elit kapatalist yang mengongkong ekonomi negara dan kehidupan seharian kita. Kita ini boleh bina bangunan tertinggi dunia melalui kepintaran orang lain dengan duit minyak yang kita ada tetapi dengan duit yang sama kita tak dapat wujudkan seorang saintis atau sasterawan yang dicalonkan untuk terima hadiah nobel . Ooooops! dari murtabak, mamak haji dah putaq naik beca ke padang kota pulak dah ke dasar pelajaran negara.hahahahha!.

Resepi Murtabak yang mamak haji berikan ini cuma yang paling mudah untuk membuat oleh semua orang. Ia di gelar “Murtabak Mini”. Murtabak ini paling sesuai untuk seisi keluarga dan mudah boleh disediakan oleh semua suri rumah. Murtabak ini tidak memerlukan kemahiran untuk “tebar” roti seperti peniaga murtabak yang pro. Tebar roti tepung roti canai memerlukan latihan dan kemahiran. Maka mamak haji harap suri rumah boleh sediakan resepi ini untuk keluarga. Dalam menyediakan Murtabak ini ada tiga bahagian. 1. Penyediaan tepung roti canai. 2. Penyediaan inti murtabak. 3. Penyediaan pencicah murtabak – bawang cincang masam manis. Dalam posting ini mamak haji akan menulis tentang cara penyediaan ini mengikut tiga posting. Harap jangan meloya untuk dibaca.

1. RESEPI CARA MENYEDIAKAN TEPUNG/DOH ROTI CANAI:

BAHAN-BAHAN:

1 kg. tepung gandum (tepung gandum atau multi-pupose flour ini ada dua jenis. Yang pertama tepung jenis kandungan protien yang tinggi dan satu lagi tepung gandum biasa yang kurang kandungan protien. Biasanya untuk perniagaan kita gunakan tepung gandum yang kurang protien kerana harganya lebih murah dari tepung gandum berprotein tinggi. Bagi kegunaan rumah mamak haji syorkan anda gunakan tepung gandum yang berprotien tinggi seperti jenama blue key atau cap sauh atau cop wau. 1 kg tepung gandum biasanya boleh hasilkan 20-25 bebola roti canai bersaiz biasa. Bayangkan keuntungan meniaga roti canai ini…hahaha!. Untuk murtabak mini ini kita cuma gunakan 1/2 dari size tepung roti canai 25 X 2 = 50 kpg . murtabak mini boleh dihasilkan. Jadi dgn cuma 250gm tepung anda boleh hasilkan 6-8 murtabak mini).

2 cawan air biasa. Sekirnya tidak gunakan telur 1 biji, kurang sedikit airnya.

1 sudu kecil (tsp) garam atau secukup rasa.

1/2 cawan majerin.

Sedikit minyak masak untuk ulian dan goreng roti.

Nota: Ramai yang kini gunakan telur, susu pekat manis, horlicks untuk membuat roti canai untuk mendapatkan rasa yang lazat roti canai. Mamak haji rasa ini tak salah cuma kalau gunakan susu pekat manis cuma perlu awas kerana gula cepat jadi hangus semasa gorengan roti canai, maka awaslah penggunaannya. Sebenarnya boleh gunakan telur sebiji untuk doh yang lembut dan garing, sekiranya gunakan telur, kurangkan sedikit air semasa uli. Roti canai ini sebenarnya masa dulu digelar, “PRATA”. Prata ini sebenarnya berasal dari benua India. Seperti anda tahu, masakan India ini tak lari dari gunakan “minyak sapi” atau “ghee”. Maka kalau anda ingat roti prata yang zaman dulu yang bulat dan tebal, itulah dinamakan “prata ori”. Tapi bila keadaan berubah dan masa amat penting untuk perniagaan versi roti prata berubah menjadi roti canai yang berbentuk empat segi yang nipis. Kegunaan minyak sapi dihindarkan dengan majerin murah dan juga minyak masak kelapa sawit. Untuk suri rumah yang ingin cuba prata ori boleh gunakan  300gm tepung gandum, 1/2 cawan minyak sapi,1/2 cawan air dan garam secukup.Mamak haji tak gunakan telur. Bila gunakan telur air perlu dikurangkan.

CARA MEMBUAT ROTI CANAI:

1. Roti yang sedap ialah sentiasa rapuh dan garing walau pun sejuk atau panas. Kesedapan roti canai terletak pada car ulian tepung roti canai tersebut. Garing atau rapuh ini biasanya bersangku paut dengan cara mengorengnya tetapi jangan lupa pada tepung roticanai yang telah diuli perlu wujudkan keadaan, “keanjalan/kenjal (elasticity)” tepung yang kita uli. Bagaimana kita boleh bentuk keanjalan ini terjadi didalam tepung?. Tepung gandum mempunyai kandungan protein utama yang digelar, “glutenin dan gliadin”. Apabila tepung ini diadunkan dengan air, kedua-dua protein ini akan disambungkan (dilinkan)  dengan molikul Air dan apabila kita mula uli tepung dengan air penyambungan ini akan dikuatkan. Semakin lama kita uli tepung itu semakin kuatlah penyambungan ini sehingga terbentuklah  “gluten” . Gluten inilah yang membentukan keanjalan (elasticity) doh kita. Cara memeriksa doh yang sempurana ialah dengan lakukan cubit pada bahagian  doh itu dan tarek. Bila menarik, tepung yang ditarek itu mengwujudkan keping lapisan yang nipis tanpa putus-putus. Doh yang terbaik ialah memberi keanjalan. Sekiranya doh kita tidak memberikan keanjalan, hasilnya tidak memuaskan apabila masak. Anda perlu ingat ini bila sediakan apa saja doh untuk resepi. Resepi seperti pau, roti, karipap dan lain-lain perlu uji cara ini sebelum diisi dan jadikan kueh. Semasa ulian ini sekiranya tepung melekit ditangan anda gunakan sedikit tepung ditangan anda sapukan dikedua belah tangan sehingga tepung yang melekit tertanggal. Biasanya guna minyak sapu dikedua tangan tetapi mamak haji syorkan kurangkan minyak setakat yang boleh dalam roti canai ini.

2. Ulian doh roti melalui tangan adalah cara terbaik. Uli dalam 10 minit dan rehat 5 limit untuk pembentukan gluten dan diikuti lagi dengan ulian terakhir selama 10-15minit. Ulian terakhir perlu bersertakan dengan satu sudu majerin untuk mendapatkan permukaan yang licin dan tidak mengerutu.

3. Membentukan doh ini menjadi bebola adalahsatu lagi cabaran bagi yang baru. Cara bentukan bebola roti canai yang mudah ialah dengan mengambil sedikit doh ditangan anda dan bentukan bebola, tekan semua jejari anda bebola itu supaya tepung itu naik ke atas dibahagian atas tangan (sambil membuuka sedikit ruangan jari-jari ibu dan penunjuk untuk dapatkan saiznya). Ada juga suka jolok keatas tepung yang digengam. Bila tepung itu terbentuk bulat, putarkan dengan tangan lain sehingga terputus. Bulatkan doh kembali dikedua tapak tangan, Sapu majerin diluar permukaan doh dan simpan sekurang-kurang 4 jam sebelum tebar. Pastikan tepung bebola ini ditutup dengan helain plastik atau pun kain yang lembab supaya permulkaannya tidak kering.

4. Tebar roti canai ini perlukan kemahiran. Untuk murtabak ini tak perlu tebar kalau pandai tebar ia mempercepatkan penyediaan. Ambil bebola roti canai yang telah disediakan, leperkan diatas kedua tangan dan letakan diatas papan penguli dan uli sehinggga senipis yang boleh. Selepas itu tarik sedikit demi sedikit sehingga anda mendapat senipis yang boleh tetapi jangan sampai koyak, kerana kita perlu isi intinya. Sekiranya kita ingin membakar sebagai  roti canai tak perlu risau bahagian yang koyak.

5. Untuk penyediaan murtabak mini anda,  perlu potong dua bahagian tepung ini untuk jadikan dua keping murtabak mini.

Untuk seterusnya resepi murtabak ini mamak haji sambung dalam bahgian 2 , cara menyediakan inti murtabak  dan resepi pencicah bawang masam manis nanti.Wassalam

Label:

bukhari-rice (2)Salam, Jangan terkejut mamak haji kali ini menulis resepi nasi atau digelar “Bukhari”. Nasi bukhari ini ada yang kata berasal dari Uzbekistan kemungkinan nama nasi ini mirip nama Imam Bukhari Rahimullah yang berasal dari Bukhara, Uzebekistan. Kemungkinan juga nama Imam Bukahari rahimullah ini lebih terkenal dari nama negara asalnya sendiri. Walau bagaimana pun nasi bukhari ini amat terkenal di Saudi, Afganistan dan Pakistan. Cara masaknya berbagai-bagai versi. Ada versi rasanya kurang berempah dan ada yang rasa rempah yang kuat. Versi modifikasinya juga banyak. Mamak haji menulis resepi ini kerana menunaikan permintaan saudara melalui e-mail. Ramai juga mohon resepi, mamak haji harap bersabar tetap mamak haji tunaikan. Yang mohon rempah dengan mamak haji masih lagi mamak haji tak dapat tunaikan kerana kesihatan dan kesuntukan masa tak mengizinkan. tapi tetap mamak haji tunaikan permintaan sekalian.Insyallah. Maka mamak haji olahkan (modify) resepi ini mengikut cita-rasa orang Penang. Orang Penang ini lebih gemar lauk yang berempah berbanding dengan negeri-negeri lain. Ia sama seperti orang Melaka dan orang Negeri suka pedas. Minat orang Melaka dengan pedas ini sehingga orang gelar sejenis cili, sangat pedas dengan nama “Cili Melaka”. Banyak kali mamak haji masak nasi bukhari ini, tetapi setiap kali mamak haji masak nasi bukhari ini selalu saja lebih ke arah resepi nasi beriyani. Tangan mamak haji sukar nak kawal untuk guna kelebihan rempah,bila cuba kurangkan rempah dan dirasa seperti ada saja kekurangan. Bagi pengunjung blog yang ingin cuba resepi mamak haji, pandai-pandailah adjust kuantiti rempah bila ingin masak nasi bukhari ini atau resepi lain. Seluruh skil masak resepi nasi bukhari ini terletak pada cara masak nasi dan kawalan api dapur. Cara ini memang perlukan kemahiran tinggi. Kalau sekali tak berjaya, jangan putus asa untuk cuba lagi, pasti anda tahu kesilapan yang lepas dan boleh mahir dan menjadi pakar dalam masakan apa jua masakan jenis beriyani. Penerangan mamak haji mungkin panjang lebar dan tidak sesuai untuk guna semasa masak. Apa yang mamak haji sarankan ambil catatan untuk bahan-bahan yang perlu digunakan dan jumlahnya saja.  Ia akan pandu semasa masak. Seperti anda tahu cara menulis resepi mamak haji berlainan dari orang lain, mamak haji rasa tanpa tip dan kenapa kita buat begini dan begitu sukar untuk kita memahami resepi itu sendiri. Mamak haji ingin anda mahir dan cipta resepi mengikut cita rasa sendiri. Hak milik resepi baru yang anda cipta itu supaya apabila anda dipuji  oleh ahli keluarga atau tetamu anda akan rasa segala penat lelah anda akan hilang, Pujian yang diterima sudah pasti milik anda dan bukan milik mamak haji. Ini lah tujuan mamak haji menulis resepi berjela-jela panjang.

RESEPI NASI BUKHARI ALA MAMAK PENANG.

Nasi Bukhari ini kalau disediakan dengan daging kambing memang amat lazat. Tetapi harga daging kambing dalam pasaran agak tinggi seperti masakan eksklusif dan masa mengambil untuk memasaknya agak lama dan ramai kalangan orang Melayu tidak minat pada daging kambing kerana kolestrol dan juga baunya,  maka mamak haji lebih suka guna resepi ayam. Mamak Haji juga mengolah sedikit resepi ini kepada lebih berasa rempah dan kurangkan kemasaman terutamanya tidak gunakan yogurt, pes buah tomato segar dan juga sedikit perubahan seperti masakan ‘ala mamak penang. Cara masak nasi ini adalah sama seperti masak nasi beriyani udang. Mamak haji kalau kuantiti kecil lebih gemar masak dengan “pressure cooker” kerana ia cepat dan hasilnya sangat memuaskan. Cuba anda dapatkan sebuah periok pressure cooker buatan India, Ia lebih murah dan sangat sesuai untuk segala masakan.

BAHAN-BAHAN:

PENYEDIAAN AYAM:

  • 1 ekor ayam yang berat 1.6 -1.8 kg potong 8 ketul. Sekiranya anda dapat beli cuma 8 peha ayam penuh ia lebih molek.  Bersihkan ketulan ayam dan peramkan dengan 1/2 kecil sudu kecil (tsp) garam, 1/2  sudu kecil (tsp) serbuk kunyit dan secubit lada hitam selama 30minit  – 1jam.
  • Panaskan kuali leper (pan) dan masukkan 3 sudu besar minyak masak. Masukkan ketulan ayam telah diperam dan goreng dgn minyak sedikit sehingga ketulan ayam bertukar ke warna kuning keemasan (Ia sebenarnya “grill” ayam). Semasa gorengan anda mungkin rasa kesulitan pada permukaan ketulan ayam melekat pada permukaan kuali, untuk menhindarkan ini, guna kuali tidak melekat (Non-Stickable Pan). Jika anda tidak punyai kuali jenis ini dan untuk goreng dalam kuali biasa, lumurkan sedikit minyak pada ketulan ayam yang ingin digoreng sebelum lepaskan dalam kuali. Tujuan goreng ini cuma untuk menguatkan permukaan luar isi ayam supaya ia tidak mudah hancur bila masak dengan nasi. Jangan goreng sampai masak ketulan ayam ini, sekadar 1/4 masak sudah cukup. Sekiranya masak penuh  jus ayam ini akan kering dan untuk rasa kesedapan nasi kelak. Angkat dan asingkan ketulan ayam yang telah digoreng.

Bahan-Bahan untuk Tumis Ketulan Ayam

  • 1 sudu kecil (tsp) biji ketumbar.
  • 1 sudu kecil (tsp) biji jintan putih.
  • 1 kpg 2″ kayu manis.
  • 6 biji buah pelaga.
  • 6 kuntum bunga cengkih.
  • 1/4 sudu kecil lada hitam.
  • * 1/2 sudu kecil serbuk kunyit.

Sagai semua bahan-bahan tersebut kecuali serbuk kunyit dan kisar halus untuk dijadikan rempah

  • 2 biji bawang labu sederhana besar di hiris halus.
  • 1 sudu besar pes halia bawang putih.
  • 2 helai daun shaiba.
  • 2 btg karot dihiris.
  • 2 btg karot disagat.
  • 6 biji tomato cherry dibelah dua.
  •  pes tomato puri
  • 2 helai daun beriani/salam.
  • 1/2 sudu kecil teh (tsp) garam atau cukup rasa.
  • 1/2 sudu kecil (tsp) garam masala.
  • 1 sudu kecil (tsp) serbuk cili.
  • 1 sudu besar stok ayam (maggi)

CARA PENYEDIAAN:

1. Gunakan minyak yang sama goreng ayam dan ditambah 1 sudu minyak sapi (itu pun kalau suka) dipanaskan kembali, masukkan hirisan bawang, goreng hingga layu (jangan sampai garing), masukan lobak hingga layu.

2. Masukkan semua rempah dan garam. Kemudian masukan pes halia bawang putih. Goreng sehingga bau haruman rempah dikeluarkan. Masukkan ketulan ayam tadi. Tutup periok anda dan perlahan api untuk ayam separuh masak.

3. Bila ketulan ayam masak 1/2 , masukkan puree tomato, dan susu cair. Tambahkan kiub ayam, perlahankan api dapur. Biarkan kuah nya menjadi pekat (pes). Keluarkan ketulan ayam saja. Biarkan kuahnya.

4. Masukan air (air untuk masak beras basmathi ialah nisbahnya 1:1 bermakna masukan beras dalam bekas dan ratakan paras dan tandakan paras beras. Sukatan air adalah sama dengan paras beras. Jangan lupa sukatan ini walau pun anda masak jumlah yang besar. Ini formulanya. Biarkan air mendidih dan masukkan beras yang ditapis kering. Untuk sedap lagi anda boleh masukkan  1-2 kiub ayam dan sedikit gula kedalam kuahnya. Rasa airnya untuk kemasinan yang sesuai biasanya 1/2 sudu kecil garam sudah memadai untuk resepi ini.

Penyediaan Nasi:

1 kg basmathi di basuh dan direndam selama 1/2 jam ( mamak haji suka rendam dalam bekas air panas selama 3-4 minit, kacau rata dan terus toskan air untuk mempercepatkan lagi proses rendaman ini, cara ini lebih baik dari rendam beras). Tentang basmathi ini ramai pengunjung blog bertanyakan jenama terbaik. Kualiti beras basmathi terletak pada size panjang atau pendek. Kalau panjang harga pun lebih panjang dan tinggi. Maka terpulanglah pada anda untuk memilihnya. Masukan beras bila air mula mendidih. Bila nasi mula masak kacau perlahan-lahan (jangan sampai butir nasi pecah).

5. Bila nasi mula sejat kecilkan api dapur ke minima supaya nasi tidak hangus. Titiskan pewarna oren merah di tiga atau empat tempat dimana gelembung udara dibebaskan. Ini bertujuan warna ini ke dasar nasi. Cara warna ini untuk ada butir-butir nasi berwarna oren dan mencantikan hidangan. Ia juga mengelakan keseluruhan nasi bertukar warna dari warna asli masakan. Segera tutup tudung periok dan tentukan tiada wap terkeluar  dengan menggunakan gam tepung gandum atau lilit kain di sekeliling periok (seperti menyediakan nasi beriani gam Johor). Setelah masak terbalikan nasi supaya bahagian nasi yang belum masak akan ke bawah dan bahagian bawah nasi naik keatas dengan menggunakan sudip.  Ratakan kembali nasi dan taburkan buah kismis dan buah badam yang telah goreng tadi ke atas permukaan nasi.

6. Bila nasi telah siap anda boleh hidangkan dengan ketulan ayam sekali. Selamat mencuba.

Nota: anda bolehlah ubah cara masak dengan terus gunakan rempah kurmak atau pun dengan rempah sup atau kari. Kalau mengikut resepi asal tomato segar di kisar dan guna yogurt. Mamak haji tak mahu ia terlalu masam nasi ini. Rempah di atas sebenarnya rempah kurma yang sedia dijual. Wassalam.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 6,113,567 hits
September 2012
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Kemaskini Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.