PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for the ‘Bulan Ramadhan’ Category


salam, sebenarnya mamak haji berat nak beri ucapan ‘selamat berpuasa’. Apa yang sebenarnya ‘selamat’ itu yang mamak haji masih lagi

Buah kurma ‘Ajwa

kurang faham. Sebelum kita memberi ucapan selamat berpuasa, kita perlu hayati pengertian berpuasa ini.Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Ramai ingat puasa itu menahan dari makan dan minum. Ini yang difahami rakyat bukan Islam di negara ini tentang umat Islam mula berpuasa dalam bulan Ramadhan dan juga segelintir orang islam di negara ini, yang aneh lagi selepas waktu asar dalam bulan ramadhan, suasana bertukar menjadi pesta makananan di setiap pelusuk negara. Dan waktu malam pula bertukar menjadi suasana berhimpun di mesjid untuk solat sunat tarawih.Pada permulaan minggu pertama Setiap ruang mesjid akan penuh, di minggu kedua 3/4 dan minggu terakhir cuma 1/4 ruang mesjid di isi. Mungkin ramai balik kampung untuk hari raya aidil fitri. Mamak haji minat tentang tajuk puasa ini kerana ia membabitkan bidang masakan bukan mamak haji handal dalam bidang agama dan pandai merumuskan puasa ini. skop puasa amat luas. jadi mamak haji cuma sentuh mengenai bab makanan dan perniagaan dalam bepuasa Ramadhan ini.

Makna Puasa: Sebahagian ulama’ menta’rifkan puasa sebagai : “ menahan diri dari syahawat mulut ( makan dan minum ) dan syahawat kemaluan ( jima’ ) dan yang seumpama keduanya, kerana melawan hawa nafsu dan taat kepada Allah swt di keseluruhan waktu siang, dengan niat sebelum terbit fajar atau bersamanya, pada hari-hari yang bukan hari haid dan nifas atau hari-hari raya.”
Ta’rif lain pula menyebut: ” iaitu beribadat kepada Allah dengan menahan diri dari makan, minum dan segala yang membatalkan puasa bermula terbitnya fajar sehingga tenggelam matahari”. – dari blog: http://www.ustazshauqi.com.

Makna Ramadhan: Ibnu faris menyebut asal perkataan yang pangkalnya ra’-mim-dha’ bermksud: “ ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan dan lainnya”. Ramadh bermakna “kepanasan batu kerana kepanasan cahaya matahari”. Al Raghib menyebut: “Ramadhan dari perkataan ramadh iatu teruknya kesan panas matahari”. Kata, assamin alhalabiy tentang sebab dinamakan ramdhan : “ kerana kebetulan pada masa mula puasa difardhukan ia berlaku pada kemuncak musim panas. Ada pula yang berpendapat bahawa kerana kepanasan perut orang berpuasa kerana kehausan.” Al Qhadhi Abu Yaala al Farraa’ menyebut tentang rahsia penamaan ramadhan :” dikatakan bahwa sebab dinamakan ramadhan kerana ianya membakar dosa-dosa dan menyahkannya”.

Sebelum teruskan resepi-resepi masakan bulan ramdhan tahun ini, mamak haji ingin menceritakan perihal “Buah Kurma” yang telah sebati dengan musim berpuasa di negara ini. Tanpa buah kurma atau tamar seperti tidak cukup syarat semasa buka puasa. Makan buah kurma semasa buka puasa adalah amalan Nabi besar s.a.w. Maka apa juga perlakuan nabi s.a.w dituruti dapat ‘bonus’ pahala. Buah kurma mendapat perhatian khusus nabi mohammad s.a.w kerana kerana Allah SWT menyebut kurma di surah Al-Raad ayat : 4 dan juga di surah Maryam ayat:26. Buah kurma yang terbaik ialah:
1. Selaput luarnya atau kulit buahnya tidak rosak dan masih kelihatan segar,
2. Kadang-kala buah kurma ini untuk menguntungkan perniagaan dipetik muda dan dilumurkan dengan gula. Buah kurma yang tua berwarna coklat dan kemerahan kuning, tanda boleh dilihat tangkainya ditanggal dari tandu buah dengan mudah mudah terlepas.
3. bila pilih buah kurma, pilih buahnya bersaiz besar dan juga dibungkus rapi untuk menjaga kesegeran buahnya.

Setiap buah kurma mempunyai kandungan 50-57 peratus “glukos”. glukos yang terdapat dalam buah kurma boleh terus diresap kedalam darah dan boleh memberi tenaga terus menerus. Wal hal buah-buahan lain cuma mengandungi gula yang dipanggil fruktos, di mana ia perlu ditukarkan kepada glukos dibantu oleh enzim-enzim.Maka gula jenis ini memakan masa untuk memperolehi tenaga.Umat Islam disarankan mengambil buah kurma semasa buka puasa untuk mendapatkan tenaga serta-merta cukup untuk melakukan solat Maghrib dan juga solat sunat terawih. Jika kita memakan makanan yang berlebihan semasa buka puasa, ia akan menjadikan tubuh badan semakin kepenatan dan sukar untuk menjalankan kewajiban ibadah solat.

Bila kita sebut mengenai buah kurma, tak cukup sayrat jika tidak sebut mengenai jenis kurma yang ajaib yang digelar, “Kurma nabi atau kurma ajwa”. Mengenai khasiat istimewa buah kurma ini di riwayatkan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir Bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabada: ” Barang siapa memakan 7 biji tamar ‘Ajwa, dia akan terkawal daripada perbuatan syaitan dan sihir. Sahih muslim 153:2046 dan sahih al-Bukhari 5445,5768,5769,5779. Kisah asal usul kurma nabi ini yang dikatakan selepas Nabi Muhammad s.a.w menceritakan sendiri. diceritakan pada suatu hari rasulullah s.a.w sedang berpuasa dan apabila tiba waktu berbuka puasa, satu makanan pun tidak ada untuk dimakan oleh baginda. Malaikat Jibrail yang melihat keadaan Rasulullah s.a.w sedemikian merasa sedih lalu memohon kepada Allah SWT yang sememangnya maha mengetahui segala, memenuhi permintaan malaikat jIbrail dan berikan buah kurma Ajwa ini untuk Rasulullah membuka puasa. setelah selesai iftar, biji kurma tersebut kemudian ditanam oleh rasulullah s.a.w. Bermula dari peristiwa itulah seterusnya pokok korma Ajwa ini memebesar dikawasan Madina. Yang peliknya pokok korma ‘Ajawa ini tidak akan hidup dikawasan lain selain Madinah. Mohammad Bin Ali al husayin meceritakan buah korma ‘Ajawa ini berasal dari syurga.

Buah korma ‘Ajwa adalah salah satu jenis buah korma yang paling mahal dari Madinah Munawarah. Buah kurma ‘ajwah ini bersaiz kecil,Kehitaman, dan isi buahnya lembut bila dijamah. Buah kurma ini amat sesuai untuk dimakan oleh pesakit kronik seperti penghidap diabetes (kencing manis) dan kanser klon. Di dunia moden yang mengejar wang ringgit, jangan lupa pada penipuan dilakukan terhadap pelangan dengan menjual buah kurma ‘Ajwa yang palsu. Untuk mengetahui buah kurma ‘Ajwa yang tulin, perhatikan permukaan kulit buah ‘Ajwa. Anda akan dapat lihat urat-urat yang berwarna putih wujud di permukaan kulit buah kurma tersebut. Wassalam.

Advertisements

Salam, Sebelum kita ke resepi serunding ‘ala Indonesia ini, mamak haji ingin menyentuh sedikit perniagaan bazar ramadhan dan harga jualan hidangan. Masih tinggal sembilan hari lagi akan berkunjung tiba bulan yang besar dan sangat bererti ia itu Bulan Ramadhan Al-Barakah bagi tahun ini. Tahun lepas mamak haji pernah buat posting-posting mengenai Bazar Ramadhan dalam blog ini. Saban tahun dalam bulan ramadhan, akan munculah ramai peniaga Melayu amat menarik perhatian mamak haji. Melihat kepada jumlah orang Melayu berniaga di pasar dan bazar Ramadan di merata tempat, memberi harapan kepada kita bahawa semakin ramai Melayu berani dan mampu menjadi usahawan, walau pun kecil-kecilan. Namun apabila ditinjau, sebahagian besar peniaga Ramadan sebenarnya daripada golongan peniaga tetap yang punyai perniagaan. Peniaga baru amat sedikit sekali jumlahnya untuk bertarung dalam perniagaan Bazar Ramadhan. Baca di link ini  http://wp.me/pf5pQ-5U  dan juga mengenai , Tip-tip perniagaan di bulan ramadhan di link ini http://wp.me/pf5pQ-g2Mamak Haji seperti peniaga lain memang menunggu bulan Ramdhan Al-Barakah ini. Tetapi tahun ini mamak haji tak larat untuk berniaga, walau pun dalam jiwa ini bazar Ramadhan sudah sebati. Berniaga dalam bulan ramadhan ini bukan saja amat menguntungkan tetapi ia juga boleh dijadikan sebagai satu ibadah dan  fardu kifayah sekiranya betul cara berniaga mengikut Islam. Tak semestinya mendapat untung di dunia tetapi jika diizinkan pahala dari Allah SWT tetap milik kita. Sebagai peniaga muslimin dan muslimat janganlah kita cuma mengejar keuntungan dunia semata-mata yang tidak kekal dengan mengabaikan dunia akhirat yang kekal. Perniagaan dalam bulan ramadhan bukan saja semata-mata mencari keuntungan tetapi perlu di ambil kira pahala sedekah yang terkandung dalamnya. Peniaga -penjual di pasar bulan Ramadhan bukan saja mendapat ganjaran keuntungan lumayan dari menjual makanan untuk umat yang berpuasa dan dijamah semasa membuka puasa tetapi sekiranya diperhalusi dengan iman dan taqwa ia bukan sekadar menjual dan membeli atau keuntungan semata-mata. Bulan ramadhan inilah peniaga perlu latih diri kembali kepada cara perniagaan sebenar yang dianjurkan oleh Islam. Dalam blog ini telah banyak mamak haji menulis tentang perniagaan mengikut perpektif Islam. Perkara penting sekali anda sebagai peniaga perlu lakukan ialah, tawarkanlah harga yang paling berpatutan dan juga segala penyediaan makanan dilakukan dengan mengikut garis panduan syariat Islam. Bulan puasa ini kita bagi diskaun harga jualan. Boleh kah ???hahahaha!. Bulan posa ini hampa balun naik lagi harga tinggi ada noo?.

Mamak Haji tertarik dengan e-mail ini dari seorang pembaca, sebab itulah mamak haji membebel tentang harga ini, hahahahaha!. e-mail seperti ini memang banyak mamak haji terima tapi ini kali pertama sebelum bulan posa. Dalam blog ini banyak mamak haji menulis tentang bagaimana menetapkan harga jualan. Tak apa nanti mamak haji tetap akan membalas e-mailnya.  “Salam Tuan Hj, Saya bercadang untuk meniaga di bazar ramadhan. Ingatkan nak cuba jual nasi beriani dan nasi tomato. Soalan saya, berapakah harga yang patut/minima untuk set nasi beriani ? . Terima kasih. Wsalam.”  Kalau boleh mamak haji minta jasa baik pengunjung blog beri pendapat untuk saudara kita ini dalam ruang komen. Mamak haji akan beri komen nanti, bagaimana harga perlu di kira dan juga lain-lain perkara yang bersangkutan ini. OK kita ke Resepi kali ini…

Dalam menyediakan masakan katering, biasanya banyak hidangan lauk-pauk tetap terbuang kerana tersasar buget tetamu oleh tuan rumah. Adat Melayu melayani tetamu adalah salah satu satu adat  yang perlu dipertahankan dan perlu dipuji seperti cara anak-anak melintas di depan orang tua. Sikap melayan tetamu orang Melayu ini jarang terdapat pada bangsa-bangsa lain. Dari pengalaman sebagai katerer, dari 85 peratus dari jumlah pelangan mamak haji layan dalam sepanjang karier ini boleh dikatakan divakhir setiap perjanjian katering, tuan rumah akan berkata satu perkara yang sama saja, “biar seratus ketul ayam terbuang, tapi jangan seorang tetamu balik dengan perut kosong dalam majlis”. Maknanya dalam setiap pesanan katering 20-30 peratus hidangan tetap akan berlebihan yang akan ditempah oleh pelangan. Tempahan berlebihan ini kadang-kala mencecah ke 45 peratus pun ada. Nak kata ini satu pembaziran , mamak haji rasa bukan, tetapi mungkin inilah dikatakan pepatah orang melayu, “Biar mati anak, tapi adat jangan mati”. Kadang-kala mamak haji terima perkara seperti ini dalam dunia perniagaan sebagai positif. Lah ini kita semakin maju, kita mula lupakan adat turun-temuran ini dan suka ikut adat orang barat yang bukan saja menjajah negara kita tetapi dijajah minda kita sekali. Kebanyakan majlis sekarang diadakan di hotel-hotel lima bintang. Tetamu yang hadir perlu menunjukkan kad jemputan dari tuan punya majlis. Sekiranya anda tertinggal kad itu, terpakasa balik rumah atau mencari restoren. Mamak haji melencong lagi. OK lah ceritanya senang, kita buat serunding ayam dengan lauk ayam yang berlebihan yang biasanya terbuang. Full Stop.

RESEPI SERUNDING AYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 250 gm isi ayam. Basuh dan bersihkan ketulan ayam. Didihkan dengan api sederhana  untuk menjaga kualiti isi ayam (membunuh bakteria merbahaya kerana masakan sudah lebih dari enam jam).  Carik-carekan  isi-isi ayam menjadi halus.

BAHAN TUMIS:

  • 2 Sudu besar (tbsp) minyak masak.
  • 150 ml santan.
  • 5 ulas bawang putih.
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam.
  • 2 cm kunyit hidup yang telah panggang.
  • 2 cm lengkuas yang telah panggang.
  • 1 helai daun salam (Indonesian Bay Leaf).
  • 10 gm asam jawa.
  • 3 butir bawang merah (kecil).
  • 1/2 sudu kecil (tsp) garam.
  • 150 gm gula merah/hitam.
  • 1 biji buah keras.
  • 1 sudu kecil (tsp) biji ketumbar yg telah goreng kering.

CARA-CARA MEMASAK:

1. Seperti mamak haji katakan di atas ketulan ayam yang berlebihan perlu dibasuh dan di rebus dengan api yang sederhana sehingga isi ayam lembut. Hindarkan kulit ayam. Carek halus isi ayam.

2. Kunyit hidup dan Lengkuas yang telah panggang, bawang, buah keras, biji rempah ketumbar dan bawang putih perlu ditumbuk halus.

3. Larutkan 10gm asam jawa dalam 10 sudu besar stok ayam. Cuma gunakan 1 sudu besar air asam jawa untuk masakan ini.

4. Panaskan kuali bersama minyak. Bila minyak panas masukkan semua perencah yang telah ditumbuk halus bersama dengan lada hitam dan daun salam.

5. Bila perencah naik bau harum masukkan daging ayam yang telah carek. Masukkan gula merah dan santan.

6. Masak sehingga semua bahan-bahan ini resap dalam daging ayam.

7. Keluarkan dari kuali dan ratakan dalam bekas (tray) ketuhar (oven). Bakar daging ayam ini di ketuhar dalam suhu 80 darjah C. selama 30 min sehingga warna serunding anda bertukar kepada keperangan dan kering.

8. Kleuarkan dari ketuhar dan sejukkan dalam suhu dapur. Masukkan serunding ini kedalam bekas kedap udara. Anda simpan sehingga 7-14 hari. Selamat mencuba. Lain kali ketulan daging atau ayam dalam lauk yang habis jangan dibuang, sebelum basi cepat-capat basuh dan simpan dalam peti sejuk. Aneka masakan boleh dibuat seperti serunding di atas, begedel dal posting mamak haji, inti karipap dan banyak lagi. Lain kali mamak haji tulis resepi masakan untuk nasi putih yang berlebihan selain dari nasi goreng. Wassalam.

TIP-TIP KATERING 1: CARA BASUH PERIOK NASI YG. BERKERAK.

Membasuh periok nasi gunakan gas LPG adalah masalah besar. Lebih-lebih lagi kerak  nasi. Biasanya permukaan periok nasi ini diselaputi dengan semburan bahan yang tidak melekat permukaannya. Tetapi lama-kelamaan bahan selaput ini akan terhaus kerana gunakan berus dawai keluli atau pun bahan aktif sabun. Oleh kerana periok ini diperbuat dari aluminium jangan sekali-kali gunakan alat pengikis untuk kikis kerak dibuat dari bahan lebih keras dari aluminium seperti scripper. Rendamkan kuali selama 30 minit. GFunakan TUDUNG BEKAS SABUN BASUH PINGAN MANGKOK  seperti tudung sabun axion untuk membersihkan periok anda. Letakan tudung itu di tapak tangan anda dan terus gosok. Semua kerak nasi akan terkeluar sendiri. Untuk membasuh flask nasi juga boleh gunakan kaedah ini. Guna tudng ini selamat, mudah dan cepat. WASSALAM.


Bulan mulia Ramadhan bukan saja sekadar membawa peluang ganjaran akhirat tetapi bulan ini juga memberi peluang luas kepada ramai peniaga Islam dalam industri makanan yang kecil-kecilan dan juga membuka jalan untuk kewujudan bakal usahawan baru dalam industri makanan khasnya untuk kegunaan umat Islam. Perniagaan di Bulan Ramadhan bagi yang pertama kali berkecimpung ke alam perniagaan seperti mengorak langkah pertama untuk satu perjalannan yang masih jauh lagi. Sudah pasti perjalanan jauh itu tidak akan tercapai penghujungnya, selagi kita belum mengorak langkah yang pertama. Insyallah, manakan tahu di antara bakal peniaga baru dalam perniagaan bazar ramadhan ini satu hari kelak menjadi taukeh restoren yang mampu memiliki berpuluh cawangan restoren di serata pelusuk negeri. Walau pun dari kajian pihak yang tertentu mendapati golongan yang pertama kali mulakan perniagaan di bazar ramadhan itu cuma sekadar 5 peratus, namun ia adalah satu pertanda yang amat membersangkan bagi umat Islam di negara ini dalam penglibatan aktiviti ekonomi. Ramai juga yang minat dalam perniagaan pemakanan tetapi terbantut. Bersyukur pada Allah SWT, alhamdulillah syukran kerana sejak Mamak Haji mulakan blog ini, ramai pengunjung blog yang minat dalam industri perkhidmatan makanan dan ingin mulakan perniagaan ini. Saban hari Mamak terima e-mail dengan banyak mengenai persoalan-soalan berkisar tentang bagaimana memulakan perniagaan?. Ramai juga jadikan bulan Ramadhan yang penuh dengan barakah ini sebagai permulaan perniagaan mereka. Ada di antara mereka meminta mamak menulis tip-tip perniagaan khasnya tentang Perniagaan Bazar Ramadhan. Penat lelah Mamak sejak mulakan blog ini rasanya telah hampir mencapai matlamat. Mamak rasa amat berpuas hati dengan blog Mamak yang dapat membantu mereka yang perlukan bantuan. Bebelan Mami kerana Mamak cekang mata untuk menulis posting tidak sia-sia. Mamak tidak punyai Ilmu yang tinggi seperti orang lain untuk anjurkan seminar atau kursus yang profesional, kalau nak sumbangkan wang ringgit pula bukanlah Mamak ini kaya sangat. Maka Mamak ingin buat sesuatu untuk bidang yang Mamak sayangi sejak 30 tahun ini dan khasnya untuk membantu anak-anak muda Melayu yang sering ketinggalan dalam bidang ekonomi negara yang terbentang luas khas dalam bidang permakanan ini. Semasa menjadi katerer kilang saban hari Mamak lihat anak muda Melayu menjadi cuma berkerja seperti robot atau operator kilang tetapi anak muda bangsa lain menjadi jurutera, pengurus atau pun supervisor. Jarang sekali  ada anak bangsa Cina berkerja sebagai operator di kilang, busuk-busuk pun mereka berkerja sebagai supervisor dikilang. Mamak tak tahu tentang kilang lain tetapi dikilang-kilang yang mamak pernah jadi katerer kalau ada pengurus Melayu, dia cuma di Human resources department dan juga jaga kantin. Maka inilah sebab Mamak ingin anak muda Melayu menjadi taukeh. Nak bukak kilang kita tak mampu tapi untuk buka kedai makan kita mampu lakukan. Biar kita mula dari bawah..adakalanya angan-angan Mat jenin itu baik juga. Ini angan-angan mat jenin seorangkaterer baru, ” Mula-mula bukak warung lepas itu bukak pulak kedai makan, lepas itu bukak restoren, lepas itu  bukak Hotel, lepas itu kita bukak kilang proses makanan. Tak perlulah jenuh JAKIM menghalalkan kilang makanan yang dimiliki oleh bukan Islam dan jual cop halal. Mai.. kita bantu JAKIM untuk mudahkan kerja mereka….hahahha!. dah melalut lagi… Untuk tidak mensia-siakan harapan dan cita-cita mereka untuk mulakan perniagaan, Mamak Haji ingin memberi sedikit tip-tip perniagaan dari pengalaman Mamak sendiri semasa menjalankan perniagaan di bazar ramadhan. Ini cuma coretan pengalaman bukan thesis atau penyelidikan perniagaan, level Mamak tak sampai ke sana OK!.

1. JANGAN RISAU/ “DON’T WORRY BE HAPPY!.”

Bagi Mamak perniagaan di Bazar Ramadhan adalah paling menyeronokkan kerana suasana yang begitu harmoni, penuh tawaduk dan rasa seperti bukan berniaga tetapi berpesta dalam bulan ramadhan. Mamak dan anak-anak mamak yang sering ikut berniaga memang menunggu bulan Ramadhan seperti untuk berpesta. Kami sekeluarga anggap perniagaan ini seperti sebagai hiburan bagi keluarga. Setiap anggaota keluarga secara langsung terlibat. Yang anak perempauan dan Mami dengan memasaknya dan yang anak lelaki membantu melariskan jualan dengan gaya mereka sendiri. Kini anak-anak Mamak semuanya dah besar dan pun ada keluarga sendiri, sebenarnya Mamak rasa kehilangan suasana ini. Dalam perniagaan, Perniagaan Pasar ramadhan begitu Nostalgia bagi Mamak dan Mami. Kini Mamak tak larat meniaga lagi tetapi masa lalu meniaga dalam setahun itu. yang paling gembirakan ialah bulan Ramadhan, bukan kerana makanan habis dijual cepat atau pasal keuntungan wang ringgit tapi suasana bulan ramadhan itu sendiri yang begitu unik. Nasihat Mamak bagi yang pertama kali mulakan perniagaan tak perlulah tertekan perasaan dengan perniagaan anda yang bakal anda mulakan itu. Ambil sebagai “starter” pemula untuk perniagaan. Pasar Ramadhan bukan perniagaan sebenar, ia cuma untuk panaskan badan sebelum lumba lari sebenar. Jadi apa yang anda risaukan sangat itu. “Don’t Worry be Happy”. Jangan terlalu serius memikirkan tentang perniagaan pertama anda. Tak berjaya bukannya bererti kita gagal, kalau anda berjaya, ia bermakna ia satu permulaan yang baik. Perjalanan yang sebenar jauh lagi untuk harungi, onak dan duri perlu dilintasi untuk kejayaan sebenar (The Real Success) dalam perniagaan. Buat apa yang anda patut dan lain-lain hal itu serahkan pada Allah SWT. Insyallah, dalam perniagaan perlukan ketabahan,kesabaran dan penting sekali tawaduk (terima hakikat penentuan).

2. Tentukan Jenis Makanan Yang Anda Ingin Menjual:

Mamak tak nak cerita pasal bagaimana nak dapatkan tapak pasar ramadhan di tempat anda. Mamak tak ada fomula khas dan rumusan untuk itu. Cuma Mamak ingatkan, anda kena bersabar dan lakukan perkara yang baik dan betul semasa dapatkan tapak itu. Di khuatiri bila anda cuba dapatkan tapak itu secara tak betul, punca rezeki yang anda perolehi dari tapak itu juga tak betul. Ini tak perlu pendebatan agama kerana agama Islam itu sentiasa punyai pemahaman yang amat logik. Mungkin ramai pengelola tapak ramadhan menafikan perkara ini tapi ia tetap berlaku. Maka pengunjung blog Mamak, harap jangan tergoda dengan orang-orang yang perlu bodek, rasuah atau memilih cara yang salah untuk dapatkan tapak Bazar Ramadhan anda…kalau ada rezeki dari Allah SWT tiada siapa yang boleh menghalang rezeki anda. Usaha dan serahkan pada yang Maha Esa..ini nasihat Mamak yang tua ini.

Apabila anda berjaya dapatkan tapak, pertanyaan pertama yang perlu main di kepala anda ialah jenis makanan yang anda ingin jual. Jangan lupa sekali-kali kata-kata hikmat ini, ” KENAPA PELANGGAN PERLU MEMILEH MAKANAN YANG SAYA JUAL  DARIPADA ANDA DAN BUKANNYA DENGAN PENIAGA LAIN”. Soalan ini sentiasa perlu anda tanya diri anda sepanjang masa berniaga sepanjang bulan Ramadhan. Apa yang pengunjung/pelanggan Pasar Ramadhan harapkan dari anda?. Adakah mereka beli jualan anda disebabkan jenis makanan ini cuma anda saja jual atau pun Harga, Kualiti, Hygiene (kesihatan dan kebersihan), keenakan makanan, layanan, servis yang cepat, iklan (poster)/ memukau pelanggan dengan mengenalkan produk anda), perhiasan yang kreatif dan lain-lain. Maka mamak tidak mahu panjang lebar menerangkan satu persatu perkara di atas. “Tepuk Dada Tanya Selera”. Cari Jawapan. Kerana anda perlu ingat “anda adalah seorang juru jual yang terbaik”.

3. Modal:

Bila anda telah tentukan jenis makanan dan bagaimana cara anda ingin berniaga maka datang pulak bab, “Cap Agong“. Anda perlu membuat kesimpulan berapa modal yang anda perlukan untuk menjalankan perniagaan anda?. Modal dulu atau memilih jenis makanan yang ingin dijual?. OK ini bab payah nak buat pilihan. Anda minat nak jual nasi tomato tapi modal yang anda ada tak mencukupi, apakah anda membuat keputusan “tunggu tahun hadapan, simpan duit dan berniaga?” atau buat pinjaman?. Pinjam dari mana?, melalui kredit card?, dari keluarga? atau pun dari Ah Long?.  Mamak Haji tak tahu nak jawab, mana satu yang baik tapi bagi mamak haji semuanya cara itu tak baik. Jadi bagaimana dengan modal ini?. Orang kita kebanyakannya jenis tak pernah sediakan payung sebelum hujan. Bila hujan baru nak cari payung. Bank pulak, bila hari cuaca baik beri payung, bila hari hujan tarik payung yang diberi. Inilah hakikat dalam perniagaa. Kalu Mamak jaga baitulmal, Mamak bagi je duit baitulmal untuk perniaga-peniaga yang kurang mampu ini. Simpan duit berbillion buat apa?. Pepatah Cina berkata, Apa guna memberi orang yang lapar memberi seekor ikan?. keran ikan yang diberi itu cuma kenyangkan sehari tetapi sekiranya anda beri mata kail dia boleh gunakan mata kail untuk memancing ikan seumur hidup untuk dia dan keluarga dia mengenyangkan perut dan ada rezeki dia boleh jual untuk dapatkan sedikit wang”. Ini bila Hari Raya beri hamper beras dan botol sirap dan masuk tv. hahahaha!.

sebenarnya nak ceburkan dalam perniagaan makanan perlu ada persediaan yang rapi. Bagaimana persediaan itu?. Keperluan asas untuk berniaga makanan perlukan bekalan runcit, kenderaan, peralatan sokongan seperti Payung, meja, kerusi, bekas-bekas untuk pamirkan makanan, lpik meja, pekerja(pembantu), dan lain-lain. Ini belum lagi peralatan untuk masak dan membungkus. Adakah anda seperti bidang terjun, terus keluarkan segala simpanan anda untuk sekali gus beli barang-barang ini?. Walau pun ia nampak barangan remeh temeh tapi kalau kita keluarkan belanja, nilainya lebih RM1,000.00. hahaha!. Inilah sebab ramai pengunjung blog e-mail kat mamak bertanya berapa modal yang diperlukan untuk mulakan perniagaan Nasi beriani, Nasi Tomato dan lain-lain?. Dalam perniagaan kecil seperti ini sebanrnya tidak perlu risaukan berkenaan modal sangat. Berniaga setahun cuma sebulan modal apa yang dirisaukan modal?. Cuma perancangan kita yang salah akan menyebabkan fikiran kita terkongkong dengan modal. Katakanlah  kalau anda punyai perancangan untuk membuka pasar ramadhan tahun ini…dan anda beli setiap barangan keperluan perniagaan satu persatu di setiap bulan. Anda telah mempunyai banyak barangan bila tiba bulan ramadhan. Tapi tak mengapa..apalah sangat perlukan barangan canggih untuk berniaga di bazr ramdhan?. Bazar ramadhan sekarang telah sediakan khemah yang sesuai untuk berniaga, Kalau perlu meja cari papan lapis dan lapikkan dengan kain meja cantik dalam tiga meter, kaki meja bubuh je kotak kayu yang banyak dibuang oleh kilang. Nak kerusi, cari saja kotak kayu sudah memadai, peralatan hidangan cari dekat dapur rumah, Masak lebih sedikit untuk niaga dan keluarga. Sediakan hidangan buka puasa untuk anak-anak sebelum ke tapak perniagaan, kenderaan?. Sekiranya guna kereta kancil, bukak saja tempat duduk belakang boleh isi tiga periok besar nasi kandaq; jadi apa masalah dengan kenderaan?. Kalu pakai motor ikat bakul dibelakang..hehehe!. Tentang modal keesokan hari..kita belanja RM100.00,  sudah tentu jual pada RM150.00 dan  maka hari esoknya kita sudah ada modal dan ditambah RM50.00 keuntungan..tak perlu risaukan. Yang penting mulakan penriagaan itu.

4. Cara Menarik Pelanggan (lariskan jualan):

Cari idea yang kreatif untuk menarik pelanggan. Mulut adalah alat untuk iklan yang baik..tak perlu gunakan modal memasang kain rentang yang berharga ratusan ringgit. Maka gunakan mulut ini menghambat hati pelanggan…seperti : “Korner mai..nasi tomato ori dari tanjung…anak mami hidung mancung, dari jauh macam pelancung…Nasi tomoto bukan sebarang nasi tomato…resepi ori dari keluarga anak mami yang mancung..singgah..mai!.” hahaha inilah istimewa pasar ramadhan..nostalgia mamak!. Cipta pantun dan deklamasikan secara sepontan. jangan senyap dan sunyi…inilah dikatakan pasar. bagaimana riuh pasar dari penjual ikan begitu juga aksi kita perlu seperti penjual ikan yang berlumba-lumba menarik pelanggan.

P/S: Mamak berhenti di sini dulu sementara…penat!. hahahaha. Nanti Mamak sambung lagi,insyallah. Mamak juga cuba balas e-mail e-mail dihantar secara peribadi kat Mamak tentang kos masakan. Mamak minta maaf kerana lewat balas e-mail. Kalau ada yang ingin bertanya soalan secara peribadi sila e-mailkan pada Mamak: mohd.roslan99@gmail.com. segala butiran e-mail dan nama pengirim Mamak  rahsiakan. Tak perlu risau. Anggap saja mamak ini saudara perniagaan anda. Wassalam.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 6,266,107 hits
Oktober 2017
I S R K J S A
« Feb    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Kemaskini Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.