PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for the ‘Resepi Masakan Dari Utara’ Category


Salam kali ini mamak haji ingin mempertengahkan sup kambing berempah mamak penang seperti diminta oleh seorang pengunjung blog. Sebenarnya sup kambing ini ada berbagai-bagai variasi. Rasa Sup kambing ini akan berbeza di antara satu restoren ke restoren mamak yang lain. Perbedzaan yang ketara sup mamak ini ialah sup ini  kepekatan dan berasa rempah segar dari sup biasa yang cair dan tidak berperisa rempah. Ramai juga tanya kenapa sup mamak ini pekat wal hal sup yang dibuat kita tidak jadi pekat. Jawapannya mudah, tanya mamak yang jual sup pekat itu, berapa lama sup itu berada dalam periok?. Sebenarnya bukan kerana mamak-mamak ini suka recycle tetapi rahsianya terletak pada cara mereneh/ simmering  sup tersebut. Seperti mamak haji terangkan, setiap sup perlu di reneh bukan mendidihkan sampai kering kontang air supnya. “Reneh” atau simmering akan melikatkan sup kerana ‘collegen‘ yang terdapat dalam tulang dan isi daging kambing itu akan pecah dan bertukar menjadi “Gelatin”. Geletin ini adalah pemekat sup tersebut. Gelatin juga digunakan dalam proses membuat ais krim dan juga pembuatan coklat. Maka awaslah gelatin ini. Kalau ternakan yang tidak sembelih, sekiranya bahagian tulangnya dijadikan untuk proses membuat gelatin, ia adalah HARAM bagi orang Islam. Gelatin yang paling murah ialah Gelatin yang dihasilkan oleh haiwan kulit dari “Khinzir”. dibawah permukaan kulit khinzir mempunyai paling banyak gelatin. Maka mamak haji peringatkan umat Islam yang melawat ke luar negara berjaga-jaga dengan bahan gelatin yang terdapat dalam makanan terutamanya Coklat-coklat buatan luar negara. Di Pelabuhan Bebas Cukai Langkawi banyak terdapat Coklat-Coklat yang di import seperti ini. Sebelum membeli tentukan baca dulu bahan-bahan yang digunakan untuk pembuatan coklat ini.

Maka masak sup mestilah masak dengan cara reneh atau simmering. Inilah rahsianya sup mamak dan bukan tambah tepung atau ada rahsia keturunan mamak..hahahaha!.  Cara reneh sup ialah, bila sup mula mendidih, perlahankan api dapur dan biar sup reneh selama sekurang-kurangnya 1-2 jam. Jangan lama sangat nanti bau haruman rempah dan rasa sup akan berubah. Reneh bermaksud anda boleh nampak gelembong udara yang halus dihasilkan dari bawah sup tersebut, sekiranya mendidih gelembong udara besar dan cuma dihasilkan di atas paras sup dengan banyak. Banyak kali ammak haji terangkan mengenai simmering digunakan dalam masakan seperti masakan kurma atau kari. Ini adalah cara asas buat sup jenis apa saja. Tetapi kita selalunya silap dengan mendidihkan sup sehingga gelatin hancur berkecai. Maka sup kita cair. Aroma sup perlu menyelerakan maka dengan menitik-beratkan, kita perlu tambah bawang, berbagai-bagai rempah-rempah dan juga karot. Tujuan kita masukkan tomato dalam sup cuma menjadikan sup keasidan (asid) untuk mempercepatkan masa untuk masak urat dan tisu sambungan tulang supaya ia terlerai dengan mudah. Dengan sebab itu bila gunakan tomato dalam masakan sup. Dalam masakan lain kita sering gunakan cuka, limau, asam jawa sebagai ajen asid. Bila gunakan asid dalam masakan, jangan sesekali gunakan periok aluminium atau kuali aluminium untuk menyediakan masakan kerana bahan logam Aluminium akan bertindak-balas dengan bahan asid (acidic). Bahan yang hasil dari tindak balas logam aluminium dengan asid amat berbahaya untuk kesihatan seperti aluminium oksida. Kepada suri rumah janganlah gunakan bekas-bekas yang diperbuat dari logam aluminium. Tukarkan kepada stainless steel walau pun ia mahal sedikit tetapi akan memberi manfaat untuk kesihatan keluarga.

Ada juga yang masukkan ubi kentang dalam sup, pandangan mamak haji ubi kentang ini akan menyerapkan segala rasa dan aroma yang ada dalam sup tersebut. Terpulang pada anda sekiranya anda minat kat ubi kentang untuk jadikan mata anda kelihatan biru seperti mata omputih tak salah bukan?.hahahaha!. Sebenanya mamak haji igin nak terangkan cara asas menyediakan, “stock”, “broth” dan “boulion” dalam masakan. Tapi lain kali sajalah. Kalau terangkan ini, lagilah berjela-jela posting ini. Untuk berniaga daging kambing perlu diasingkan dari supnya setelah masak dan jangan reneh terlalu lama. Air sup itu gunakan tulang lebih sesuai. Mengasingankan daging kambing dari sup bukan saja elakan daging berkecai dalam sup tetapi ia memudahkan untuk sukatan dan juga air sup boleh panaskan dan tidak perlu risau isi daging kambing terlerai atau hancur. Masukkan daging kambing dalam mangkuk hidang, tuang saja kuah sup kedalam mangkuk sup. Bawang goreng dan daun sup boleh ditaburkan diatas.

RESEPI SUP REMPAH MAMAK PENANG:

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm Daging kambing.
  • 1kg tulang kambing dijadikan “broth” atau air rebusan untuk sup.
  • 4 biji bawang labu sederhana besar. Perlu dikisar halus.
  • 2 sudu besar (tbsp) pes halia bawang putih / 5 ulas bawang putih dan 2 inci halia.
  • 2 keping kayu kayu manis (2″).
  • 5 biji buah pelaga.
  • 3 kuntum bunga lawang (star annise).
  • 1/2 sudu (tsp) kecil garam masala (kalau ada dalam simpanan kalau tiada tak apa).*
  • 1/2 sudu kecil (tsp) serbuk lada sula.*
  • 1 sudu besar serbuk jintan putih (cummin powder).*
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar (corriander powder).*
  • 3 pokok daun ketumbar, kalau baunya tak suka gunakan daun sup saja.
  • 2 pokok daun bawang dihiris halus untuk dihiaskan ke atas sup.
  • Bawang goreng untuk hiasan juga.
  • Garam secukup rasa.

Nota:  Tanda (* ) bermakana rempah-rempah ini perlu disediakan  dengan goreng kering dan dikisar halus  supaya ia lebih harum dari rempah yang belum digoreng kering. Sekiranya anda tidak mempunyai rempah tersedia, gunakan saja rempah kurma  150gm. Kalau tidak ada rempah kurmak gunakan rempah sup adabi, mamak haji rasa rempah sup adabi tersedia bahan-bahan rempah-rempah yang mamak haji sebutkan tetapi baca dulu air yang perlu digunakan. Semoleknya sediakan rempah sup anda sendiri sekiranya ingin rasa sup mamak yang klasik yang segar.

CARA PENYEDIAAN:

1. Seperti mamak haji terangkan kelazatan sup ini banyak bergantung kepada penyediaan “broth”. Basuh tulang-tulang kambing. Sediakan sebuah bekas, hidupkan api dapur dan masukkan tulang kambing. Kacau rata tulang-tulang ini supaya ia sedikit terbakar melalui kepanasan bekas merebus. Masukkan 3 liter air kedalam bekas rebusan tulang. Masukkan satu batang celeri telah dihiris dan hirisan 1 biji carrot kedalam air rebusan tulang. Jangan masukkan garam. Biar air rebusan ini mengelegak. Bila air mula mengelegak, perlahankan  api dan biar ia direneh selama 1-2 jam. Semasa reneh tutup tudung periok. Selepas dua jam tutup api dan sejukkan. Tapis airnya dan simpan untuk membuat sup. Ia juga boleh disimpan dalam peti sejuk selama seminggu. Sebelum anda buat sup eloklah disediakan air rebusan ini

1. Panaskan bekas buat sup, dan masukkan air rebusan tulang tadi dengan menapis airnya, masukkan Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga. masukan halia bawang putih.  Masukkan rempah serbuk seperti serbuk jintan putih dan serbuk ketumbar.

2. Masukkan air bawang yang telah kisar. Masukkan daging kambing yang telah bersihkan dan saiz yang anda kehendaki.

3. Biarkan sup mendidih, selepas mendidih perlahankan api dapur dan direneh sehingga daging kambing masak. Masukkan garam dan rasa apa yang tak cukup atau terlebih, ia sungguh mudah untuk kita mengubah mengikut selera kita sendiri.

Nota: kalau diperhatikan mamak haji tidak tumis perencah-perencah sup ini. walau pun ramai yang menumis dahulu sebelum masukkan dalam sup. Seperti mamak haji katakan variasi membuat sup ini berlainan. Bila kita tumis kemungkinan bau haruman akan semerbak didapur dan tetapi bukan dalam sup.

4. Sup kambing perlu dijamu semasa supnya masih berada dalam keadaan panas. Taburkan daun sup dan bawang goreng keatas sup yang dihidangkan. Ia amat lazat sekiranya di makan bersama Roti Benggali. Sup kambing rempah mamak ini sesuai dihidangkan semasa cuaca sejuk kerana ia akan memanaskan tubuh badan kita serta merta. Ia juga amat sesuai untuk suri rumah yang dalam pantang selepas bersalin. Semoga dapat cuba resepi ini dan perelokan lagi mengikut cita rasa anda sendiri. Mamak haji memberi penerangan berjela-jela ini supaya anda faham dan membolehkan anda cipta resepi sendiri mengikut selera anda. Selamat mencuba. Kalau ada yang punyai masalah dalam perniagaan atau penyediaan resepi sila e-mail Mamak haji: mohd.roslan99@gmail.com.


Ayam Masak Bawang berempah  'ala masakan nasi kandar

Ayam Masak Bawang berempah ‘ala masakan nasi kandar

Resepi kali ini, adalah untuk pengemar-pengemar kari yang berperisa bawang goreng. Mamak haji tak tahu kenapa orang India dan orang Cina ini tidak boleh pisahkan dari penggunaan bawang merah dan putih dalam resepi masakan mereka.  Orang India bukan saja gunakan bawang merah untuk masakan tetapi yang mentah pun mereka bedal juga. Apa rahsia bawang merah ini?. Ada yang kata bawang bagus untuk mengawal kolestrol ditubuh badan dan ada juga mengatakan ia memberi kuasa umpph! untuk lelaki seperti khasiat tongkat ali. Pada ‘amnya bawang merah atau putih ini memang punyai rahsia perubatan yang tersendiri. Maka resepi ini boleh puan-puan masak khas untuk suami yang cepat lesu…hahahaha!. Resepi yang mamak haji berikan ini ialah untuk katerer-katerer yang bosan dengan resepi yang sama.

RESEPI AYAM MASAK BAWANG BEREMPAH.

BAHAN-BAHAN:

– 1 ekor ayam dibersihkan dipotong 12 bahagian.
– 5 Bawang Merah labu dihiris dan digoreng.
– 2 sudu besar serbuk Cili.
– 1 sudu besar Serbuk Jintan Manis.
– 1 sudu kecil Serbuk Jintan Putih.
– 2 sudu besar Rempah Kari (daging).
– 1 sudu kecil serbuk kas-kas – tidak kemestian.
– 2 sudu besar Sos Tiram.
– 2 sudu besar Sos Cili.
– 1 sudu besar sos Tomato.
– 2 sudu besar pes bawang putih-halia.
– 1 sudu kecil serbuk garam masala.
– 2 btg kayu manis, 7 kuntum cengkih, 5 biji buah pelaga, 3 bunga lawang.
– 1 helai daun pandan dipotong 4 inci panjang.
– 1 sudu besar gula.
– 2-3 tangkai daun kari.
– Garam secukup rasa.
– Cili merah dan pudina / daun ketumbar (hiasan).

CARA-CARA MEMASAK:

1. kupas bawang merah labu, hiris halus dan goreng. Bila warna bawang bertukar kepada warna perang keluarkan dari kuali dan sejukkan. Bawang goreng tak perlu ranggup agak kering sudah memadai. Minyak bekas gorengan di simpan untuk menumis rempah.

2. Ketulan ayam telah dibasuh, masukkan garam dan serbuk kunyit. Ketulan ayam yang digoreng jangan terlalu garing. Gorengan perlu 3/4 masak kerana 1/4 lagi akan masak semasa masak dengan campuran kah rempah. Selepas goreng asingkan.

3. Panaskan kuali, dan masukkan minyak gorengan bawang. Bila minyak panas masukkan rempah empat serangkai. Masukkan pes halia bawang putih. Bila haruman naik kecilkan api dapur dan masukkan kesemua rempah-rempah di atas (tidak termasuk sos tiram, sos cili dan tomato) dan juga daun kari. Tentukan rempah tidak hangus. Goreng selama 1-2 minit sudah memadai. Bila rempah mula mengeluarkan aromanya, masukan sedikit air/stok ayam (ikut kuah yang anda perlukan). Bila air bersama rempah mula didih, masukkan sos cili, sos tiram dan sos tomato.

4. Masih api dapur keadaan kecil, masukkan gula dan garam secukup rasa. Masukan semua ketulan ayam yang telah goreng tadi ke dalam adunan rempah. Kacau rata untuk kuah rempah bersalut pada ayam goreng. Masukkan bawang yang telah goreng dan sebatikan pada ketulan ayam. Biarkan ayam masak 1/4 bahagian lagi. Ia cuma memerlukan sekitar 10-15 minit saja dengan api yang kecil. Masakan ini dlm keadaan reneh (simmering).

5. Keluarkan dan hidangkan dengan taburkan cili merah yang dihiris dan juga bawang goreng di atas hidangan anda.

 


Salam, kali ini Mamak nak bagi satu lagi resepi masakan Mamak yang semakin luput dan tidak lagi di sajikan dalam kenduri-kendara Mamak-Mamak di Pulau Pinang. Bubur Kacang Hijau telah ambil tempat bubur suji ini. Bubur suji sebenarnya adalah dari siri masakan manisan dari India yang digelar “kesari”. Kadangkala kita heran juga kenapa menu manisan ini seringkali dimakan bersama dengan hidangan utama orang India ini?. Menu makan utama dari India selatan (karnataka, kerala, Andhara Pradesh dan Tamil Nadu) ini terbahagi kepada enam rasa. Keenam-enam rasa ini akan diadakan dalam satu hidangan makan tengah hari atau pun malam. Enam rasa asas makanan India Selatan ialah:

  • Manis – susu, minyak sapi, nasi dan madu.
  • Masam – Acar limau, yogurt, pelam dan Asam Jawa.
  • Pahit – Peria, kunyit dan Halba.
  • Rasa dan Bau yang tidak menyenangkan (pungent smells) –  Chili, halia, cengkih, biji sawi (mustard).
  • Astigesasi (astigent) – Kacang (paruppu), kunyit, bunga kobis dan kobis.
  • Masin – Garam.

Adalah dianggap setiap rasa ini amat diperlukan untuk tubuh badan manusia seperti nutrisi, mengelakan masalah angin(gasing), menjadikan makanan seimbang dan juga untuk sistem penghadaman yang baik. Makanan berasal dari India ini perlu mengambil dengan kenam-enam rasa yang Mamak tersebut di atas. Bagi peminat makan nasi kandar perlu faham cara pemakanan India ini. Kalau makan sekali- sekala itu tak apa. Sekiranya makan nasi kandar telah menjadi rutin harian, elok ambil keenam-enam rasa yang mamak sebutkan di atas!. Di restoren, anda sukar dapat makanan seimbang seperti tersebut di atas. Dengan sebab inilah Mamak selalu menggalakan anda semua, sediakan makanan yang segar yang dimasak di rumah anada. Makanan masak sendiri adalah makanan yang terbaik insyallah. Jangan suka sangat makan di luar, yang kita tak tahu bagaimana mereka masak dan siapa masak.  Selalu Mamak pesan, masak bersama keluarga dan nikmati masakan yang telah masak itu bersama keluarga. Praktik seperti ini akan merapatkan lagi kekeluargaan terutama kasih-sayang di antara suami dan isteri akan bertambah erat lagi, insayallah. Mamak dan Mami ini, walau pun sehari masak menu tidak kurang dari 20 jenis tetapi kami cuma akan makan resepi yang khas disediakan untuk keluarga kami oleh mami. Di restoren mamak perkara inilah dipraktikan sehingga sekarang. Lain kali kalau kunjung ke restoren Mamak cuba tanya,”Mamak kasi sama saya itu kedai punya lauk”. hahaha…Pasti resepi ini lain dari yang dijual diluardan sangat lazat. Mamak bongkar lagi rahsia restoren Mamak. Melalut lagi Mamak. Cakap pasal resepi putar sini putar sana..lama-lama mintak-mintak jangan jadi kaki “putar alam” seperti ahli politik sudah.

Resepi yang Mamak beri ini adalah versi Mamak yang lama tak buat dan sayangnya Mamak tak boleh makan manisan mami tak bagi kerana Mami ingat manisan itu seperti Madu…hahaha!. Sebenarnya Mamak ini mengidap penyakit diabetes  dan jantung. Mamak juga mintak janganlah bandingkan dengan resepi orang lain. Resepi ini Mamak pinjam dari Mami. Mami memang terror masak bubur suji ini dan arwah bapa sangat suka kat menantu kerana bubur suji ini. Resepi boleh cuba berbagai cara mengikut selera kita. Mamak bagi cuma panduan resepi, tip dan tentang cara masak, rasa terpulang pada empunya diri tentukan. Mamak juga bukan seorang ahli resepi masakan. Cuma Mamak tulis apa yang Mamak tahu saja.

RESEPI: BUBUR SUJI

BAHAN-BAHAN YANG DIPERLUKAN:

  • 1 cawan (cup) tepung suji.
  • 1 cawan (cup) gula pasir. Kalau nak tambah 1/2 cawan lagi tak ada masalah (kurangkan gula).
  • 1/2 cawan ghee atau dua sudu besar ( kalau nak wangi pakai QBB dengar kata JAKIM, dah halalkan brand ini).
  • 3 cawan susu (kotak 1 liter) atau sus cair (sejat) dalam tin pun boleh. Jangan tuang sekali tuang sedikit demi sedikit sehingga kepekatan yang anda inginkan.
  • 150 gm kismis.
  • 150 gm buah gajus orang sini kata jangui.
  • pewarna kuning tetapi mamak suka warna safron (oren).
  • 3 biji pelaga yang telah ketuk.
  • Secubit garam.

CARA-CARA MASAK:

1. Panaskan kuali atau periok steel (periok atau peralatan diperbuat daripada logam aluminium untuk masak di rumah cuba elakan – aluminium oksida adalah racun). Api dapur perlu sederhana  panas.

2. Masukkan minyak sapi (ghee) biarkan cair (suhu perlu diawasi) bila cair masukkan buah pelaga  dan buah kismis dan buah jangus. sentiasa kacau. Kismis bila gelombong menunjukkan ia telah cukup masak. Keluarkan semua bahan gorengan dan asingkan.

3. Masukkan tepung suji dan kacau rata dan gorengkan hingga warna keperangan jangan jadikan terlalu perang. Gorengan sesuai tepung suji ialah bila bau haruman tepung suji mula keluar. Tepung suji perlu digoreng kerana bau tepung suji yang mentah tidak menyenangkan.  Boleh juga tepung suji di goreng kering sebelum masukan dalam periok sekiranya anda tidak mahir lagi tentang tepung suji. Semasa gorengan ini tentukan sentiasa digaul rata supaya gorengan tepung sekata. Pastikan suhu sentiasa rendah dan tepung suji tidak terbakar atau hangus.

4. Masukan gula sedikit dmi sedikit dan keseluruhan gula cair dan adun bersama tepung suji.

5. Masukan susu sedikit demi sedikit dan sentiasa kacau dengan adunan tepung. Boleh tambahkan suhu kepanasan semasa proses ini tapi jangan suhu keras. Tambahkan susu sedikit demi sedikit sehingga kepekatan yang anda perlukan. Awas jangan terlalu pekat nanati bukan bubur yang jadi tapi “kesari” yang akan jadi. Orang India jadikan kesari (seperti tepung talam).

6. Masukan semua bahan yang goreng buah gajus dan kismis. Kalu anda ingin hias di atas hidangan bubur tak perlu masukkan. Masukn perwarna kuning dan secubit garam. garam secubit ini cuma untuk melemakan lagi susu (bubur).

Nota:

1. Masalah besar masak  bubur suji ini ialah “tepung suji akan bergentel (bubble)” dan hangus kalau masak pertama kali. Mamak bagi tip untuk mengelakan ini. Sekiranya kita masak tepung suji ini dengan gula pasti ini tidak berlaku. selepas gaul baik dengan gula baru masukkan susu.

2. Seluruh proses ini perlu lakukan dengan api dapur yang suhu rendah kecuali tahap terakhir bila dah masukkan susu boleh ke suhu sederhana. Ingat!. kalau pertama kali buat, biar lambat, asalkan selamat.

Selamat cuba. Wassalam. Seperti biasa kalau ada masalah sila e-mail : mohd.roslan99@gmail.com.


 

GULAI IKAN MASIN TALANG UTARA

GULAI IKAN MASIN TALANG UTARA

Kari Ikan Masin di utara ini digelar “Gulai Ikan Kering” adalah satu hidangan yang amat digemari di di Utara Semenanjung terutama di Pulau Pinang. Hidangan ini selalunya menjadi hidangan pilihan di kenduri-kenduri yang sederhana atau pun ketika disajikan untuk sanak-saudara berkumpul. Resepi ini paling sesuai kerana kos yang murah, cara penyediaan yang mudah dan kelazatan resepi ini menjadikan ia amat popular. Walau pun resepi ini boleh disediakan dengan berbagai cara tetapi versi  Resepi yang Mamak haji perturunkan di sini ialah resepi seorang tukang masak yang berpengalaman lebih dua puluh tahun dalam masakan Melayu utara dan resepi ini telah mendapat sambutan yang hangat dalam perniagaan katering. Walau bagaimana pun anda perlu ingat, garam dan minyak yang berlebihan akan mudarat bagi kesihatan. Maka   minyak dan garam perlu dikawal dalam menyediakan resepi ini untuk keluarga anda.

BAHAN-BAHAN:

  • Tulang Ikan Masin Talang 1/2 Kg atau 8 keping yang telah dipotong mengikut saiz yang anda  kehendaki. Tulang Ikan Kering ini perlu direndamkan di dalam air selama 1 hingga 2 jam unuk keluarkan garam yang berlebihan yang terdapat dalam tulang ikan masin ini.
  • Karot sederhana besar 1 batang, kupas kulitnya dan dipotong serong 45 darjah dengan ketebalan 10 mm.
  • Terung bulat 2 biji, dipotong 4 (direndam dalam air sebelum mula masak untuk tidak lebam).
  • Hirisan nenas yang telah dikupas dipotong serong 5 keping.
  • Kacang Panjang 5 dipotong lintang dalam ukuran 2 inci.
  •  Ubi kentang sederhana besar 5 biji dikupas dan potong 4.
  •  Rempah kari Ikan 2 paket kecil (25gm X 2).
  •  Santan pekat 2 mangkok.

BAHAN-BAHAN UNTUK TUMIS DARAT:

  • Halba campur 1 sudu kecil.
  • Bawang Merah labu sederhana besar dihiris halus.
  • Bawang putih 3 ulas ditumbuk  halus.
  • Halia 1 inci di tumbuk halus.
  • Daun kari 2 tangkai.
  • Minyak untuk menumis 1 senduk (4 sudu besar).

CARA MEMASAK:

1. Bancuh serbuk kari dengan air 1.5 liter air dalam periok. Hidupkan api dapur dan masukkan tulang talang yang telah basuh, kentang, karot dan terung. Mendidihkan sehingga ubi kentang anda masak.

2. Masukan kacang panjang, hirisan nenas dan santan. Apabila kari anda mendidih kali pertama, matikan api dapur anda. Rasa kuah anda. Boleh juga masukkan sedikit air asam sekiranya anda tidak gunakan nenas, perasa makanan dan garam sekiranya kuah anda masih rasa tawar tapi awas. Nota: Pisang sayur atau mangga muda juga boleh digunakan didalam kari ini.

3. Panaskan kuali. Masukan minyak. Apabila minyak panas,  masukkan halba campur (awas halba campur boleh hangus dengan cepat). Apabila halba campur keluarkan bau yang harum masukkan hirisan bawang, hirisan bawang putih dan hirisan halia. Apabial bawang mula tukar warna keemasan matikan api dapur. Segera masukkan daun kari. Tentukan proses tumis diberi perhatian dgn tidak hangus. Tuang semua isi tumisan (dengan minyak sekali)  ini ke dalam kuah kari anda. Segera tutup penutup periok supaya wanginya tidak hilang.  Kari tulang ikan talang kari anda telah siap. Selamat menjamu selera. Seperti lazim kalau ada masalah dan kerumitan sila e-mail Mamak Haji:

mohd.roslan99@gmail.com.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 8,380,655 hits
April 2021
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Kemaskini Twitter

Error: Please make sure the Twitter account is public.