PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for the ‘RESEPI SAYUR’ Category


Hirisan Terung Goreng Tepung yang ranggup.

Hirisan Terung Goreng Tepung yang ranggup.

Respi mudah ini khas untuk suri rumah. Respi ini mamak haji sering-kali buat kerana ia hidangan sampingan (side dish) yg boleh menyelerakan hidangan yg lain..

RESPI: TERUNG GORENG BEREMPAH:

Bahan-bahan Di Perlukan:

  • 2 terung panjang atau terung bulat pilih yg muda sikit.
  • 1/2 cawan tepung beras.
  • 4 sudu besar tepung gandum.
  • 2 sudu besar tepung jagung.
  • 1 sudu kecil baking powder.
  • sedikit serbuk lada hitam kasar.
  • 1 sudu kecil serbuk cili.
  • secubit garam masala kalau ada.
  • Garam dan serbuk perasa secukup rasa.
  • Minyak utk goreng.

Cara-Cara Menyediakan:
1. Basuh terung dan hiris lebih kurang 5mm ketebalan (jgn terlalu tebal atau terlalu nipis). Bila dah hiris terung, hirisan perlu direndam dalam air supaya terung tak jadi lebam. Untuk masakan lain pun sama sama juga.

2. Panaskan minyak dalam kuali dengan api dapur yang sederhana.

3. Adunkan semua bahan tepung gorengan. Ambil sekeping terung yg telah dihiris..tekapkan dalam tepung di kedua permukaan hirisan tepung. Hirisan tepung disadur terus masukkan dalam minyak panas dan goreng hingga tepungnya menjadi garing.
4. Sekiranya anda ingin lebih garing gorengan hirisan terung, bila buat goreng pertama 2-3 minit, keluarkan dan sejukan. Goreng kembali selama 1-2 minit (double frying). Hindarkan minyak berlebihan dgn letakan hirisan terung yg telah goreng di atas “kitchen towel (tisu). Selamat mencuba.
Nota: Kalau kurang rajin nak buat tepung goreng yg mamak haji berikan.. beli saja tepung goreng ayam ready made dengan tambah serbuk cili.

Advertisements

SUP SAYUR LABU BERSAMA AYAM DAN BUAH KURMA.

SUP SAYUR LABU BERSAMA AYAM DAN BUAH KURMA.

RESPI SUP SAYUR KUNDUR DAN BUAH KURMA:

Jom kita buat sup..sup yang buat sendiri dan sedap, tidak ada tolok bandingan untuk diet tubuh badan. Kenangan di masa kanak-kanak apabila kita sakit, ibu kita menyediakan sup yang panas, beraroma yang pembuka selera makan kita masih kekal dalam ingatan kita….

Bahan-bahan diperlukan:
– 250gm buah kundur / winter melon.
– 2 cawan stok ayam yang telah sediakan atau stok segera.
– 6 biji buah kurma dibuang biji dan dihiris empat memanjang.
– 3 kpg halia 1 inci dihiris nipis.
– 1/2 cawan isi ayam yang telah rebus, air rebusan boleh digunakan untuk stok.
– 1 pokok daun bawang ambil yang hijau saja potong panjang 1 inci.
– Garam dan serbuk lada putih secukup rasa.

Cara Menyediakan:
1. Basuh buah kundur, kupas bahagian kulit yang hijau dan keluarkan biji dan pulpa dalam. Potong kiub 1″.
2. Masukkan potongan labu kundur ke dalam periok isi air secukup dan masak sehingga isinya lembut. Lebih kurang dalam 15-20 minit. Kecilkan api dapur untuk mereneh.
3. Tambahkan 2 cawan stok ayam, halai, serbuk lada putih, garam, hirisan buah kurma dan isi ayam yang telah rebus. Reneh dalam 10-15 minit lagi.
4. Hidangkan dengan taburkan daun bawang. Selamat mencuba.

Label:

Inilah mamak haji katakan memotong peria cara selinder dan hindarkan biji yang terdapat dalam peria tersebut.

Cara menghiris Peria dalam penyediaan peria goreng rangup.

Salam, seperti mamak haji janjikan kali ini masih lagi dalam tajuk sayur peria yang sangat berkhasiat. Peria Goreng rangup atau pun peria goreng tepung berempah ini sebenarnya tergolong dalam resepi nasi kandar. Ia adalah resepi sampingan bersama seperti resepi telur goreng bawang berempah yang tebal, telur rebus atau telur masin. Banyak lagi resepi-resepi nasi kandar seperti telur puyu masak kuning, burung puyu masak kurmak atau kari masala, telur ikan masak rempah, sotong goreng rangup berempah adalah resepi nasi kandar yang sangat lazat. Di bulan ramadhan nanti mamak haji pertengahkan lagi lauk-lauk nasi kandar yang belum lagi di postkan.  Mamak haji masih ingat lagi ada pengujung yang minta resepi ayam masak ros dan ayam masak kapitan. Harap sabar. Bulan ramadhan ini mamak haji kemukakan tiga atau empat resepi nasi kandar yang sangat lazat untuk anda semua.

Mamak haji ingin nasihatkan katerer yang bersekala kecil baik yang dah lama atau yang baru. Sekiranya pesanan pelangan itu  menu ‘ala nasi kandar pastikan lauk anda betul-betul rasa lauk nasi kandar. Ciri utama dalam masakan nasi kandar ialah lauk pastikan pekat dan rasa rempah yang harum. Dapatkan rempah yang mutu yang baik. Pada cuti sekolah lepas mamak haji hadir banyak kenduri, kebanyakan masakan katerer adalah tidak memuaskan langsung. Kalau masak dalca pastikan dalca itu pekat, kacang parupu yang rebus itu pastikan rebus betul-betul. Kalau masak daging hitam pastikan kuahnya pekat dan kehitaman yang berkilat bila keluarkan daging dari tray. Kari nasi kandar pekat bukan kerana bubuh atau bancuh tepung, tetapi cara mereneh kari perlu tepat. Jangan sampai hangus kari, keseluruhan rasa kari akan rasa hangus. Kepekatan kari terletak pada jangka masa masak kari itu bukan sebab rempah yang terlalu banyak. Pahit nanti. Bawang yang kisar perlu masak betul. Ada juga katerer hidangkan ayam goreng ‘ala nasi lemak untuk cover-up ayamnya dah berbau. Belajar bagaimana dan bila ayam perlu di jaga kesegaran. Alahai sedih mamak haji kalau tegur depa ini, nanti bermasam pulak muka katerer yang menyediakan makanan seperti ini. mamak haji tahu dan merasai betapa penat tapi jangan kompromi dengan kelazatan masakan anda. Jangan mekap lauk seperti cara solek anak dara untuk nenek yang berumur. Agaknya mamak haji perlu postingkan gambar-gambar hidangan yang menyelerakan mata memandang. Katerer yang tidak mahu mengubah cara masakan akan kecundang dalam perlumbaan alaf baru ini. Ramai anak muda sudah mula masak  masakan terbaik. Cuba ubah sikap anda dan sentiasa belajar menu yang terbaik. Kadang-kala menyediakan lauk ini memanglah sedap untuk lidah kita tetapi yang jamu seleranya berbagai-bagai jenis orang. Kita perlu ikut pendapat ramai. Mamak haji tak mahu bebel. Nanti ada yang merajuk.

RESEPI: PERIA GORENG RANGUP MAMAK PENANG.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 atau 2 biji peria “cina” atau peria katak (5-6 biji).
  • 1 sudu besar serbuk cili.
  • 1/4 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  • 1 sudu besar (tbsp) santan pekat ( tidak mestikan).
  • 50 gm tepung gandum.
  • 1 sudu besar (tbsp) tepung ubi kayu.
  • 1 sudu besar (tbsp) tepung beras.
  • 1 biji telur dipukul.
  • 1/2 kiub ayam  (knorr atau maggi) tidak kemestian.
  • 100 liter air ais atau sejuk atau kelikatan yang diperlukan untuk adunan tepung goreng yang sempurna.

Cara-Cara Penyediaan:

1. Basuh buah Peria. Potong dan buang kedua hujung peria. Kerat melintang dua (berbentuk selinder). Bersihkan biji dan isinya supaya peria berongga, jangan cacatkan betuk bulatnya. Hiriskan peria. Jangan terlalu nipis akan hangus dan rupa bulat akan terjejas. jangan tebal, sukar untuk masak, habis ahngus tepung tapi peria tak masak.

2. Ambil sebuah bekas masukkan  serbuk cili, tepung beras dan garam dan adunkan. Ambil hirisan peria satu persatu tekapkan (tekan) pada pada adunan tepung disediakan pada kedua-dua belah permukaan. Asingkan semua hirisan yang selesai tekap. Cara ini untuk mengeringkan hirisan peria supaya bila goreng ia akan ranggup dan garam untuk mengurangkan pahit.

3. Dalam sebuah bekas lain masukan tepung gandum, tepung ubi dan tepung yang baki adunan tekapan. Masukan santan, lada hitam, telur telah dipukul, air dan garam secukup. Adunkan supaya anda dapat adunan tepung goreng kelikatan yang tepat. Terlalu pekat adunan tepung akan menhilangkan fizikal peria. maka adunan tepung gorengan kelikatanya perlu seperti gorengan pisang. Dalam adunan tepung untuk goreng tak semestinya anda ikut cara mamak haji anda boleh sediakan berbagao adunan tepung goreng ini. kalu ada tepung gorengan ayam yang berlebihan boleh juga gunakan untuk gorengan ini. Biiasa untuk berniaga mamak haji cuma gunakan tepung berlebihan ayam goreng ia lagi lazat. yang penting dalam gorengan ini ailah tekapan kepada tepung untuk mengeringkan air yg terdapat dalam hirisan peria tersebut. Kalau tidak tepung tidak akan melekat pada hirisan peria. nanti tepung kemana, peria kemana…hahaha!.

4. Panaskan minyak, bila minyak panas secukup(miinyak perlu panas, uji minyak panas dulu), masukkan sekeping demi sekeping hirisan peria yang dicelup tepung. Mas goreng cuma 5-6 minit saja. Bila garing akan dan toskan minyak berlebihan. Sudah siap peria goreng ranggup. Mudah bukan?.

Nota: Tentang tepung goreng anda perhatikan mamak haji gunakan tepung beras dan tepung ubi kerana, masalah besar orang berniaga ialah bila gorengan ini panas, memanglah ranggup bila sejuk?. Akan lemau. Maka dengan sebab inilah mamak haji sengaja keraskan adunan tepung ini. Untuk suri rumah yang ingin makan panas-panas cuma gunakan tepung jagung dan gandum dalam nisbah 1:2 sudah memadai. kalau nak ranggup gunakan setiap cawan tepung 1/2 sudu kecil baking powder. Lebih mudah. dalam sertiap resepi yang penting bagaimana nak buat, selepas itu olah saja resepi ikut selera anda. Biasanya resepi yang olah itu lebih sedap dari resepi asli. Dalam resepi ini mamak haji suka masukkan perwarna “merah oren”, sedikit supaya warnanya meanrik mata pelangan. tetapi untuk goreng di rumah warna serbuk cili yang merah sudah memadai. Masak seperti ini perlu sabar. kalu nak cepat memang tak jadi. Anda kalau tidak percaya resepi ini semakin hari semakin mamak-mamak nasi kandar malas nak buat…hahaha!. Kita kalau  jadi tukang masak yang bagus tanamkan sifat sabar dalam diri. tapi jangan buat pelangan sabar menanti. Itu sikap malas namanya…hahahaha!. wassalam.


Bila saja sebut sayur peria, tekak kita mula kembang dan terasa pahitnya sampai ke ulu hati…hahaha!. Peria yang  terdapat di pasar kita  ada dua jenis. Satu berasal dari negara cina yang permukaan luaran yang berkulit licin sedikit dan berkilat, warnanya kehijauan muda. Ia lebih besar dan panjang sehingga 20-30 cm. Jenis kedua ialah berasal dari India dan amat digemari di benua kecil India dan juga Asia Tenggara. Ia lebih pendek dan bersaiz kecil. Kulitnya bergerutu berwarna kehijaun pekat. Ia juga kadang-kala digelar “peria katak” kerana kulit yang sangat bergerutu. Peria katak ini lebih berasa pahit dari peria berasal dari negara Cina. Anda juga perlu tahu Peria sebenarnya sejenis sayuran yang amat berkhasiat dan mujarab untuk menyembuhkan banyak jenis penyakit. Peria boleh dikategorikan tumbuhan perubatan yang kaya dengan nilai perubatan. Di India peria digunakan sebagai ubatan penyakit diabetes (kencing manis) dengan meluas. Peria juga boleh menyembuhkan penyakit dalam perut, mengurangkan kesakitan semasa haid untuk wanita, Di kerala, India telah terbukti peria boleh membunuh cel cancer buah dada supaya selnya tidak merebak. Di Okinawa negara Jepun yang menjadi makanan kesukaan peria orang tempatan telah dibuktikan mempunyai hayat hidup yang panjang berbeza  di tempat lain di negara Jepun. Kajian telah buktikan peria mempunyai peranan dalam amalan makanan penduduk Okinama. Peria juga digunakan dalam pembuatan ubat perancang keluarga, dengan itu peria boleh digunakan sebagai perancang keluarga. Mamak haji harap wanita kita mulai lah makan peria sekurang-kurang seminggu sekali, ia memberi banyak manfaat dari segi kesihatan untuk keluarga. Anak-Anak kita perlu di latih dari kecil untuk memakan peria ini.

RESEPI PERIA GORENG TELUR:

BAHAN-BAHAN YANG DIPERLUKAN:

  • 2-3 biji Peria “Cina”. Dibasuh potong buang kedua hujungnya. Membelah dua memanjang buah peria. Buang semua biji-biji dan isi dalaman peria dengan menggunakan sudu. Hiriskan peria melintang tegak  setebal 5mm. Peria yang telah hiris perlu direndam dengan air garam untuk menghindarkan rasa pahit yang terlampau, sekurang-kurangnya setengah jam. Toskan dan sedia untuk digoreng.
  • 2 biji  telur di pukul.
  • 2 sudu besar (tbsp) minyak masak.
  • 1-2 sudu besar (tbsp).
  • 2 ulas bawang putih dikupas kulit, diketuk dan dihiris (cincang).
  • 1/2 biji bawang labu dihiris halus.
  • 1/4 sudu kecil biji lada hitam ditumbuk kasar.

CARA MENGORENG:

1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak, bila minyak mulai panas, masukkan bawang putih di ikuti dengan hirisan bawang. Tak perlu garingkan, cuma layukan sudah memadai (kerana kita perlu layukan ula peria bersama bawang putih dengan bawang hirisan tadi akan garing bersama dengan hirisan peria).

2.  Masukkan hirisan peria (tentukan air telah ditoskan dan berada dalam keadaan kering) dalam kuuali dan layukan selama 1-2 minit. Renjiskan kicap cair atau kicap sos ikan untuk memasinkan sedikit (anda perlu tahu kita telah pun rendamkan peria dalam air garam). Teruskan goreng selama 1-2 minit lagi. Peria yang telah masak boleh ditentukan dengan tekan sudip pada hirisan peria ia akan putus dua dgn dengan mudah. Jika anda tidak mahir lagi menggunakan api dapur, goreng dengan api sederhana dan tentukan hirisan peria nada masak. Masa diberikan biasanya untukyang sudah pro dalam mengendalikan api dapur. Tak perlulah anda ikut sangat masa itu. Janji yang masak itu perlu masaka dan bila masak sayur perlu faham, haba yang terdapat dalam masakn itu akan masak 1/4 lagi bahan masakan itu. Dengan sayur yang masak di atas kuali dengan api dapur perlu dikelurkan 3/4 masak. 14 lagi ia masak dengan haba yang masih terdapat dalam masakan.

3. Ratakan semua hirisan peria dipermukaan kuali supaya telur yang akan dimasukkan ke atasnya akan diselaputi keseluruhan hirisan peria tadi.  Masukkan telur yang dipukul ke atas hirisan peria yang sedang digoreng. Biarkan selama 1/2 minit.  Selepas itu terbalikan keseluruhan peria supaya telur masak sama-rata.

4. Disini anda boleh hidangkan peria ini seperti cara telur bawang atau kacau kembali telur bersama hirisan peria. Tutup api dapur dankeluarkan dari kuali. Anda boleh hiaskan dengan hirisan cili merah dan bawang goreng ditabur di atas hidangan anda.Hidangan anda telah siap untuk dihidang. Masakan ini adalah sangat popular di restoren-restoren cina. Hidangan ini sangat cantik dan rasanya sangat menyelerakan sekiranya dimakan bersama nasi putih yang panas-panas.  Menu ini amat mudah jangan terkejut dengan penerangan mamak haji yang berjela itu. Mamak haji cuma terangkan berjela ini bagi yang baru dalam masakan. Kalu yang pro bila saja baca bahan-bahan masakan mereka sudah tahu apa yang perlu buat.

Sepatutnya mamak haji kepilkan bersama resepi peria goreng rempah ranggup menu nasi kandar. Posting ini dah panjang pun nanti memualkan pembaca pulak.  Mamak Haji akan sertakan resepi “peria goreng rangup berempah ini pada posting akan datang. Saudara yang bertanya tentang resepi ini harap bersabar yea!. Selamat Mencuba. Wassalam.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 6,187,014 hits
September 2017
I S R K J S A
« Feb    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Kemaskini Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.