PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Archive for the ‘Resipi Kueh-muih’ Category


Murukku adalah makanan tradisional kaum India Malaysia yang resepi nya berasal dari India Selatan terutamanya dari Tamil Nadu. Muruku telah mengambil tempat di hati semua masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Murukku adalah makanan ringan yang sedap, rangup dan senang dibuat dan murah kosnya.  Murukku diperbuat dari Tepung Kacang Tosai/Urad dhal dan Tepung beras dan perasanya bergantung kepada penggemar seperti yang asli atau pun yang pedas mengunakan serbuk cili. Murukku yang biasanya berbentuk bulatan atau pun yang halus. Murukku di buat menggunakan acuan khas seperti cara menekan tepung yang telah uli atau pun cara pemutaran. Alat cara menekan doh murukku lebih murah(RM5.00 – RM7.00), tetapi memerlukan teknik yang baik dan tenaga yang banyak. Alat murukku pemutar tangan pula mudah dan tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak tetapi harganya mahal sedikit (RM15.00). Sila Lihat Gambarnya dibawah:

Murukku di buat berbagai cara, tetapi Mamak dalam blog ini cuma ingin memaparkan resepi yang paling mudah dan murah untuk menghasilkan sebanyak 50 murukku dengan mengambil masa yang paling singkat (45 -60minit)

BAHAN-BAHAN:

Cara menghasilkan tepung kacang Thosai/ Ulundu/ Urad Dhal.

300 gm kacang tosai(putih kekuningan). Goreng kering di dalam kuali se hingga warnanya berubah keperangan. Jangan terlalu lama. Biarkan sejuk sedikit. Kisar halus KERING sehingga jadi tepung dengan menggunkan pengisar(blender) sekiranya terdapat kasar sedikit dibahagian atas tidak mengapa. Anda boleh hasilkan 1 cawan tepung kacang thosai ini.

  • 1 cawan (cup) tepung kacang thosai.
  • 4 cawan tepung beras.
  • 2 sudu buter atau majerin lembut.
  • 1 sudu kecil biji rempah jemuju/ oregano. (boleh dapati dari kedai rempah beli 0.50 sen).
  • 1 sudu bijan.
  • 1 sudu kecil garam. (dilarutkan didalam air suam).
  • 2 cawan air suam.
  • Serbuk Cili ikut kepedasan yang diperlukan* (pilihan)
  • Daun Kari 8-10 helai dicincang* (pilihan)

CARA-CARA:

  1. Masukkan semua bahan di atas ke dalam bekas.  Sebatikan butter/majerin dengan tepung.
  2. Masukkan air suam ke dalam bekas. Jadikan tepung doh yang lembut. Sekiranya doh anda terlalu keras, tambahkan sedikit air. Doh yang keras sukar dan mudah putus semasa memutar dalam acuan murukku.
  3. Pilih acuan mrukku yang anda kehendaki. Masukkan acu pilihan anda ke dalam alat membentuk  murukku.  Masukkan sedikit doh ke dalam alat acuan murukku. Tutup penutupnya.
  4. Ambil Alluminium foil atau sehelai plastik (beg plastik) sederhana lebar dan sapukan minyak supaya murukku anda tidak melekat dan senang dijatuhkan kedalam minyak panas.
  5. Acuan muruku datang dengan berbagai bentuk (putu mayom dibuat dengan alat murukku ini tapi cuma acuannya yang berlainan). Mamak pilih acuan bintang tunggal sebagai pilihan. Anda boleh pilih apa yang anda suka.
  6. Bab nak putar murukku ini memang kekok pada mulanya, tetapi lama-kelaman ia amat mudah dan “Fun”. Mula pusing/tekan perlahan alat murukku anda dengan mulakan dengan membuat bulatan pertama yang kecil di atas foil alluminium anda diikuti dengan pusingan bulatan kedua, ketiga dan ikut sais anda perlukan. Penghujung perlu ditekan pada murukku supaya ia tidak terbuka semasa goreng.
  7. Panaskan minyak dalam kuali sehingga panas dan masukkan murukku satu persatu dengan angkat murukku dari atas aluminium foil dengan cermat dan masukkan perlahan-lahan dalam minyak panas. Tentukan murukku baru masukkan dan telah masak tidak melekat diantara satu sama lain.
  8. Murukku yang telah masak senang untuk kenal pasti. Apabila murukku yang sedang masak telah berhenti mengeluarkan gelombong udara(air bubbles) maka murukku tersebut telah masak. Gelombong udara tersebut adalah wap air yang dibeskan oleh murukku tersebut.
  9. Sejukkan dalam beberapa minit dan simpan murukku anda dalam bekas kedap udara. Anda boleh dapatkan 50 pcs murukku bersaiz 3 inci. Selamat mencuba!.


Tosai atau thosai, tosei, dosa adalah makanan ringan yang lazat di jamuselera diwaktu pagi, petang atau pun malam. Sekiranya anda mengunjungi restoren-restoren Nasi Kandar atau pun restoren India di Pulau Pinang, tosai seperti menu yang wajib bagi restoren-restoren tersebut di sini. Tosai berasal dari Tamil Nadu, India. Di Malaysia tosai semakin popular dalam kalangan masyarakat majmuk. Sebagai bekas pengusaha restoren nasi kandar, Mamak haji dapati peminat hidangan tosai ini lebih ramai dari kalangan orang Melayu dan Cina daripada  kalangan orang Tamil yang menjadi makanan tradisional mereka. Maka haruslah Mamak memperturunkan resepi tosei ini  untuk pengunjung bog ini untuk menikmati bersama keluarga atau pun menjadikan ia satu kelebihan istimewa  di restoren Melayu atau di kantin-kantin anda. Tosei adalah makanan yang rendah kolestral dan sekiranya untuk masak menggunakan kuali tak melekat (non-stickable pan) boleh menghindarkan lemak kosong peratus. Purata nilai kalori sekeping “tosai kosong” adalah 155 kalori bagi satu hidangan. Orang yang  gemari permakanan sihat atau diet, tosei adalah makanan yang sesuai. Peminat roti canai yang semakin menjauhkan diri dari roti canai, dengan nilai jumlah lemak dalam penyediaan roti canai boleh beraleh kepada tosei sebagai sarapan atau makan malam.

Bahan utama dalam penyediaan dalam resepi tosei adalah kacang tosei (bahasa tempatan) atau di gelar dalam bahasa tamil “ulundhu”. Di India kacang ini digelar “Urad Dhal” atau dalam bahasa Inggerisnya, “split black gram”. Kacang tosai pada asalnya adalah berkulit keras yang berwarna hitam dan bentuk seperti kacang hijau. Selalunya kacang tosei di belah dua. Maka ia kenal dengan ” split black urad dhal”. Kacang urad dhal yang hitam ini biasanya perlu direndam dan perlu mengasingasingkan kulit sebelum digunakan. Teknologi semakin canggih sekarang ini urad dal ini dibuang kulit melalului mesin menjadikan amat popular. Kacang Urad dhal yang dibuang kulit memberi aroma yang lembut dari urat dhal yang berkulit hitam. Aroma lembut urat dhal putih (dikupas kulit) lebih sesuai untuk pelbagai kaum. Nilai protein yang terdapat dalam urat dhal adalah amat tinggi. Apabila nilai protin tinggi maka pemakanan ini digolongkan dalam Makanan “bergas” atau dalam bahasa kampung digelar makanan  “Angin”. Kebanyakan Resepi masakan India yang lebih 10 abad punyai ciri-ciri istimewa untuk menghindarkan kemudaratan kesihatan. Walau sekali imbas kita dapati resepi masakan India ini seperti memberi kemudaratan kepada kesihatan tetapi resepi dari benua India ini selalunya menggunakan rempah yang harum sebagai menangkis kemudaratan kesihatan makanan tersebut. Rempah adalah cara terbaik untuk mencegah kesihatan dengan bersifat nilai-nilai perubatannya ter sendiri. Dalam masakan tosai ini pengunaan urat dhal akan menyebabkan perut kita sebu kerana angin atau stomach gasing. Rempah yang digunakan untuk mengatasi masalah dan menambahkan aroma adalah “halba”.  Halba dalam tosai ini selain dari mengharumkan tosai anda, ia juga boleh hindarkan masalah “angin”.

Bahan penting kedua ialah beras. Walau pun beras ini punyai nilai kanji yang tinggi tetapi tetapi kebiasaannya cara masakan India menganjurkan menghindarkan air kanji dalam kaedah masak nasi putih. Apabila gunakan beras sebagai bahan dalam resepi masakan  makanan ringan biasanya ia diperam (fermatation). Apabila beras diperamkan, kanji ini bertukar kepada gula atau glukos. Glukos senang diserap oleh tubuh badan kita. Proses Fermatation atau pemerapan ini membuatkan tosai ini sebagai makanan unik yang dikategorikan dalam pemakanan sihat. Sukatan yang paling mudah buat tosei ialah 1 bahagian urad dhal (kacang Tosai) dan 3 bahagian beras atau nisbah 1:3. Anda boleh gantikan beras kepada tepung beras sekiranya ingin buat dalam kuantiti besar dan menjaga pengisar anda tidak terbakar atau mudah mengalami kehausan pada pemutar getah.

RESEPI TOSEI MAMAK PENANG:

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan kacang tosei (putih).
  • 3 cawan beras / Tepung beras
  • 1 sudu biji Halba/Fenngreek seed)
  • 1 sudu kecil garam.
  • 1 cawan nasi sejuk (untuk mengebukkan tosei dan membantu proses pemerapan)*.

CARA-CARA PENYEDIAAN:

  1. Basuh kacang tosei, beras dan halba dan rendamkan dalam air sekurang-kurang 6 jam.  (Pagi rendam, petang mula mengisar dan keesokan pagi anda boleh memasak). nota: sekiranya gunakan tepung beras tidak perlu direndam. Adunkan saja dengan kacang tosai yang telah dikisar.
  2. Kisar bersama nasi sejuk ketiga-tiga bahan tersebut dengan sedikit air. Tentukan kisaran anda jangan terlalu cair . Kisar sehingga halus. Masukkan adunan itu dalam bekas dan peram semalaman. Jangan terlalu lama peram. Adunan akan menjadi bertambah masam. Sekiranya ingin simpan adunan yang berlebihan simpan didalam peti sejuk. Bleh digunakan tiga atau empat hari.
  3. Jangan masukkan garam semasa pemeraman, kerana garam boleh membunuh bakteria semasa proses pemeraman. Adunan tidak  menjadi. Biasanya adunan akan bertambah dua kali kuantiti yang asal. Hanya masukan garam semasa mula memasak tosei.
  4. Jika bancuhan adunan anda terlalu pekat, cairkan sedikit dengan menggunakan air sejuk (tap water). Bancuhan tosei boleh diuji kepekatan dengan menggunakan senduk dengan menceduk sedikit adunan. Sekiranya adunan yang baik akan melekat pada permukaan senduk.
  5. Masak tosei sama seperti kaedah membuat ketayap (kuih gulung inti kelapa). Ceduk penuh adunan dengan senduk sederhana dan tuang di kuali tak melekat atau kuali leper (kuali leper permukaannya perlu sapu minyak). Buat putaran sehingga tepung anda menjadi nipis dan bulat. Tutup permukaan tosei dgn penutup. Api dapur perlu sentiasa dijaga. Tosei masak dgn cepat 1-2 minit. Keluarkan tosei anda dan lipat sama rata.
  6. Tosei boleh makan dengan sambal tumis ikan bilis, daging rendang, kari ayam, kari sardin atau dengan kuah dhal. Mamak haji tak galakan makan tosei dengan sambal kelapa seperti di restoren,  kerana kelapa punyai kandungan lemak yang tinggi. Sekira ada pengunjung blog ini ingin dapatkan resipi sambal nyior/kelapa e-mail kepada Mamak.

NOTA:

  • Kalau anda ingin Tosei anda lembut, tambah lebih sedikit kacang tosei.
  • kalau anda inginkan tosei anda rangup tambahkan lebih sedikit beras atau tepung beras.

Seperti biasa selamat mencuba dan sekiranya anda ada keraguan dengan resepi ini sila email: mohd.roslan99@gmail.com



Pau yang menjadi makanan kesukaan kaum Cina dari warung tepi jalan, kini telah menjadi kueh yang amat digemari oleh setiap kaum di Malaysia.  Inilah unik negara ini yang berbilang kaum dan tradisi. Kebudayaan Makanan di negara ini tercapai perpaduan yang begitu erat daripada rakyatnya. Kedaan ini berlaku mungkin di sebabkan ahli politik belum lagi masuk campur dalam hal makanan di negara ini. Kueh Pau ini berasal dari Yunan (utara Negara Myanmar sekarang). Nama Cinanya digelar “Man Tau” yang bermaksud ketua orang barbar atau babarian. Pau sekarang ini mempunyai berbagai-bagai inti seperti udang, ayam, daging, sayur, kacang merah, kacang hijau, kelapa, kaya, cream dan ada juga inti pau yang gunakan putih telur dengan isi oren segar. Dalam resipi  sini kita gunakan kaya sebagai inti. Sila ikuti cara menyediakan kaya di blog ini.

Cara Membuat Doh Kueh Pau.

6 cawan (cup) tepung Gandum biasa berprotein. (tepung khas Pau harganya mahal ).

2 dan 3/4 cawan air suam (masukkan 1 cawan dulu dan mula ulian – tambah ikut sesuain doh)

1/4  cawan gula pasir.

1 paket Yis Segera (11gm)/ satu audu besar.

1 sudu besar Serbuk Penaik (Baking Powder).

1/2 sudu kecil soda (Soda Bikarbonat).

2 sudu besar lemak sayur (shortening).Magarine biasa boleh digunakan tetapi warna pau akan kekuningan sedikit.

Cara-Cara:

1. Larutkan gula kedalam air suam hingga larut.

2. Masukkan Yis segera kedalam Air suam yang telah gula larut. Biarkan Yis  segera bertindak balas selama 10 minit.

3. Dalam bekas tepung masukkan serbok penaik dan bikarbonat soda dan sebatikan dengan tepung gandum.

4. Masukkan Magarine atau shortening kedalam tepung dan sebatikan. Masukan air suam campuran gula dan yis kedalam tepung.

5. Adunkan tepung sehingga tepung tidak terlekat pada tangan. Jadikan Doh. Doh perlu diuli dengan baik dan keras untuk pau yang lembut.

6. Tutup doh itu dengan tudung atau pun kain bersih yang lembab. Biarkan doh selama 2 jam untuk doh kembang 2 kali ganda dari size asal.

7. Jadikan doh itu bebola size roti canai. Letakkan bebola ke atas papan golek dan taburkan sedikit tepung supaya tak melekat dan leperkan ketebalan lebih kurang 5mm. Ambil doh yang telah leper dan letakan di tapak tangan anda.  Masukkan inti kaya ditengah doh dan cantumkan doh yang telah diisi inti supaya inti tertutup. Cekup doh yang berlebihan di bahagian cantuman di atas. membulatkan kembali dengan cermat. Permukaan yang cantuman adalah bahagian bawah pau semasa di masak. Lembabkan bahagian cantuman doh  dgn air dan lekatkan kertas putih yang telah tersedia potong. Pau anda boleh disusun kedalam bekas kukus.

8. Masak air dalam bekas kukus. Tunggu sehingga air mendidih dan keluarkan wap. Pau sedia untuk kukus. Kukus selama 20 minit. Jangan kukus lama, warna pau akan bertukar kekuningan. Inti pau  anda bertukar kehendak kesukaan anda. Pau anda telah sedia. Kebisaan 25 biji pau boleh terhasil. Selamat mencuba. Seperti biasa kalau ada masalah e-mailkan masalah anda selepas mencuba kepada: mohd.roslan99@gmail.com

Nota: Sekiranya menggunakan kukus Alluminium tentukan bahagian permukaan dalam tudung bekas kukus (ia itu di antara  permukaan bawah tudung kukus dan susunan Pau),  alaskan dengan  kain lembab supaya wap dari permukaan dalam tudung tidak merosakan pau yang sedang masak. Wap air ini juga akan meroskan permukaan pau tidak licin dan mengerutu.

sila lihat bagaimana cara mengisi inti pau disini:


Soalan: Asssalamualaikum mamak,
Terima kasih atas penjelasan dan resepi mamak yang ikhlas. Saya ingin mendapatkan tunjuk ajar serta resepi membuat putu mayung dan roti canai bagi tujuan berniaga. Harap membantu, Deen.

Mualaikum salam saudara deen,

Tahniah atas niat saudara ingin ceburkan diri dalam perniagaan kecil-kecilan. Sekurang-kurangnya niaga sambilan boleh membaiki kedudukan kewangan keluarga. Tentang Perniagaan niat roti canai itu tangguhkan dulu. Perniagan Roti Canai ini memerlukan kemahiran dan daya ketahanan fizikal yang tinggi. Walau pun doh bola roti canai boleh dapati dari pengilang tetapi kemahiran dan kecekapan untuk menebar roti canai amat perlu dalam perniagaan roti canai. Mamak cadangkan lebih baik mengupah seorang penebar roti canai.  Kadangkala roti canai kalau buat dalam kuantiti sedikit rugi. kos sampingan raoti canai seperti dua jenis kuah dan  perlu mengikut selera pelangan pulak. Mengejar masa satu hal. Dalam perniagaan apa pun kalu nak untung perlu mengira point “break-even”. Apakah jumlah roti canai yang kita jual itu memadai dengan kos membuat roti canai yang dijual. keuntungan adalah sasaran perniagaan. Insyallah mamak akan tulis mengenai break even point ini dalam masa terdekat. Dengan sebab inilah Mamak belum menulis tentang resepi roti canai.  Tentang “Putu Mayam” itu mamak memang setuju dan boleh diniagakan kerana resepi ini amat mudah dan jimat kos.

RESEPI PUTU MAYAM.

“Putu Mayam” atau di Penang dipanggil “putu mayung” atau pun orang India Selatan gelar “Idi Apom”. Mana satu betul?. Entalah tapi mamak rasa nama “Putu Mayam”  adalah betul kerana dalam bahasa Inggeris di panggil ” String Hoppers”.  Makanan ringan atau semi berat ini berasal dari benua India dan Sri Lanka. Makanan ini adalah khas untuk majlis keramaian atau pun sebagai sarapan pagi atau petang. Biasanya orang India makan putu mayom ini dengan kari tetapi di Malaysia ia lebih enak dimakan bersama kelapa parut dan gula perang (Gula Merah).

BAHAN-BAHAN:

2 cawan Tepung Beras.

2 dan 1/2 cawan Air Panas.

1/2 sudu kecil Garam.

2 sudu kecil minyak masak.

Alat atau acuan muruku (yang mata paling halus).

CARA MEMBUAT:

1. Masukan tepung beras  dalam sebuah bekas. Didihkan air dan masukkan garam supaya larut. Masukkan air panas sedikit demi sedikit kedalam tepung beras dan kacau sehingga sebati menjadi doh. Boleh adunkan dengan menggunakan tangan dan doh yang dibentuk perlulah tidak melekat pada tangan anda. Bahagikan doh kepada 3 atau 4 bahagian.

2. Panaskan air dalam bekas kukus. Lapikan kain putih bersih sebagai pelapis pada bekas pengukus. Masukkan bahagian doh kedalam acuan muruku dan dan mulakan pemutaran atau pemerahan mengikut saiz yang perlukan. Putuskan bahagian terakhir di setiap kepingan dengan menekan sedikit kepada putu mayam supaya tidak terbarai apabila sedia masak.

3. Kukus 5-10 minit. Hidangkan dengan kelapa parut (100gm) dan Gula perang (100gm). Kalau ingin warna hijau atau berwangi pandan masukan dua helai daun pandan dalam air mendidih dan campurkan perwarna hijau.  Mudah bukan.  Selamat mencuba. Masih ada masalah boleh email kat mamak . mohd.roslan99@gmail.com.





Seri Kaya atau digelar “kaya”  ada dua jenis. Satu berwarna kuning kemasan dan satu lagi Kramel atau bewarna perang. Kaya keemasan ini selalunya hanya menggunakan telur, gula dan santan. Seri Kaya kramel gunakan tambahan tepung jagung untuk pekatkan kaya dan gula hangus atau kramel memberi warna dan rasa yang amat sedap. Pengusaha makanan terutamanya kantin atau restoren boleh buat seri kaya ini dari dapur mereka bila ada kelapangan. Ia amat menguntungkan. Resepi dibawah ini khas untuk suri rumah tangga (700gm) yang boleh jimatkan perbelanjaan Dapur. Anak-anak pasti suka seri kaya ini dengan roti potong.

 

 

BAHAN-BAHAN DAN CARA MEMASAK:

1. Panaskan kuali dengan api dapur sederhana. Masukkan 1/2 cawan gula pasir dan jadikan gula hangus (kramel). Warna kramel inilah akan menentukan warna kaya anda, maka terpulang pada anda, nak lebih brownish masak lama sikit tapi jangan warna kulit mamak haji sudah. Bila warna mula bentuk tuangkan 1/2 cawan air kedalam kuali sedikit demi sedikit dan panaskan kembali. Awas yea air akan sejatkan dan wap panas akan keluar. Tentukan kramel anda tidak menjadi keras ia perlu seperti kepekatan madu. Madu tiruan dibuat seperti ini. Cuma madu tiruan dicampurkan perahan limau nipis. Biarkan kramel ini sejuk sebelum gunakan.
2. Dalam bekas yang lain, ambil 1 cawan gula dan masukkan 3 biji telur dipukul sehingga gula sebati dengan telur.

3. Dlm satu bekas satu lagi ambil 1 cawan santan pekat dan masukkan 2 sudu besar tepung jagung dan bancuh.

4. Panaskan kuali kembali dan masukkan gula kramel dari bekas pertama dan panaskan. Sementara panas masukkan sebatian gula dan telur dari bekas kedua dlm kuali dan akhir sekali masukkan santan pekat yang dibancuh dengan tepung jagung ke dalam kuali. Kacau dan sebatikan sehingga pekat.

5. Sederhanakan api dapur dan masak sehingga lebih kurang 15-20 minit.

Seri Kaya anda telah siap. Isikan kedalam bekas dan simpan dalam peti sejuk. Selamat Mencuba… mohd.roslan99@gmail.com


Donat

Donat

Doughnut” atau pun disebut “Donat” adalah sejenis makanan ringan yang amat digemari oleh semua golongan di Malaysia. Sekian lama saya menceburi dalam bidang penyediaan makanan dan saya amat tertarik untuk mengetahui rahsia membuat donat ini mengikut selera orang Malaysia. Resepi ini amat bersesuain untuk para peniaga kafeteria/ kantin. Para peniaga kecilan atau surirumah juga boleh mencuba resepi ini tanpa sebarang keraguan.

Bahan-Bahan:

– 6 cawan Tepung Gandum berprotein tinggi (wau/blue key/ dll bukan tepung serba-guna 1 Malaysia).
-1 paket kecil Yis Kering (Mauripan) 11 gm.
-1 sudu kecil serbok penaik / Baking Powder.
-1/2 sudu kecil ‘Bread Improver’.
-1/4 cawan atau 4 sudu besar vegetable shortning. Majerin boleh digunakan tetapi warna dlm donat berkuningan dan tidak dapat keputusan baik/ terpulang yea.
– 4 sudu besar gula pasir.
– 2 butir telur.
– 3 atau 4 sudu besar tepung susu full cream dibancuh dengan 1 cawan air suam dijadikan susu penuh cream.
– 1 sudu kecil garam.
– 4 biji kentang direbus, kopek kulit dan dilenyek halus.
– 2 sudu kecil esen vanilla cair.
– 1 kg minyak masak untuk goreng.
– Gula Halus (Gula Kastor untuk salutan).

Cara-cara:
1. Pertama sekali untuk donat yg gebu kita perlu ‘uji’ yis yang digunakan. Kena ingat, yis adalah kulat atau tumbuhan. Yis juga punyai hayat hidup seperti tumbuhan lain. Jika yis yg kita gunakan itu di simpan tempat yg suhu tinggi, ia akan mati. Maka hasil donat anda tidak akan menjadi dan anda akan kebingungan di mana kesilapan resipi. Yis yg kita cuba ini terus digunakan dlm penyediaan. Gula adalah baja bagi yis tumbuh cepat, suhu amat penting untuk yis hidup. Maka untuk uji yis ini kita perlu gunakan ‘air suam’ atau pun air mendidih kita campurkan dgn air biasa. Suhu air tidak panas yea..org kata..suhu kuku. Suhu kuku bermakana suhu tak panas bila celupkan ibu jari. Cara menguji: Isikan 4 sudu besar (1/4 cawan) air suam dlm sebuah mangkok dan masukan 1 sudu besar gula dan cairkan (jadikan air gula). Masukkan yis 1 paket (11gm) kedalam. Larutkan yis sehingga sebati dan biarkan selama 10 minit. Kalu yis yg baik, bueh akan terbentuk dan penuhkan mangkok itu. Ini menunjukkan yis anda sedia digunakan.

2. Sementara yis kembang, gaulkan tepung gandum , serbuk penaik (baking Powder), dan Bread Improver sama rata. Masukkan kentang yang telah lenyek, shortening atau lelemak sayuran dan gaul rata dengan tepung.Tepung perlu jadi seperti bread crumb yg halus.

3. Pukul telur kembang bersama 4 sudu besar gula pasir sehingga gula cair dlm telur.

4. Masukan adunan yis ke dalam tepung. Masukan juga, telur dipukul kembang, esen vanila dan juga garam yg telah larutkan dalam susu. Uli adunan itu sehingga sebati. Masukkan 1 cawan air dan mulakan ulian. Semasa ulian ini memang adunan ini lembik dan melekit. Sapukan dikedua tapak tangan anda dgn tepung dan uli. Jangan risau kalu lembik sgt boleh tambah sedikit tepung…tapi jgn doh anda keras sgt nati hasil donat yg agak keras. Lama kelamaan tepung ulian anda mula bentuk doh. Pengulian perlu dilakukan dengan sempurna untuk dapatkan permukaan adunan doh yang licin. Adunan doh dibentukan bulat dan disapu tepung dan biarkan ditutup tudung dgn kain lembab, selama 2 jam. Adunan doh perlu di selimuti dengan kain/atau tuala dapur yang lembab (basahkan dan perah), Supaya permukaan doh tidak terbentuk selaput keras. Doh perlu naik 2X dari asal.

5. Canaikan adunan doh tadi menjadi tebal 1/2″ . Potong dengan alat pemotong donat. Letakan adunan yang telah dipotong di dulang yang ditaburkan dengan tepung (supaya tidak melekat). Biarkan kepingan donat yang telah dipotong berada di tempat yang sedikit panas (untuk tindakan Yis ) selama 15 – 20 minit.

6. Ambil potongan donat itu dan perbesarkan rongga tengah donat dengan menggunakan dua jari. Goreng adunan donat dalam minyak yang panas (160 – 185 C). Sebelum masukan donat untuk goreng suhu minyak perlu sedikit tinggi, untuk bentukan ‘crust” diluaran supaya minyak tidak terlalu banyak serap masuk kedalam donat. Selepas crust dibentuk anda goreng dengan api dapur yg lebut supaya donat anda masak betul. Warna donat yang telah masak akan bertukar ke Kuning ke emasan. Tanda masaknya donat anda ialah semua bueh-bueh kecil akan kehilangan (wap air dari donat mula hilang). Api dapur yang terlalu kecil akan merosakkan adunan donat dengan menyerap minyak yang lebihan. Apabila donut bertukar warna kuning ke emasan keluarkan donat dan segera di selaputkan dengan gula kastor.. Elakkan Gula yang berlebihan kerana donat anda boleh dimakan begitu sahaja kerana gula telah diadunkan di dalam donat anda. (28- 32 keping donat boleh diperolehi).

Tip Tambahan: Glaze Donut (Dunkin Donat).

GLAZE DONUTS

GLAZE DONUTS

 

Anda boleh lakukan glaze keatas donut anda yang telah goreng dan dimasukan ke dalam Glaze gula / Sirap Gula:

Penyediaan Glaz Gula/ Sirap Gula:

Dengan api yang kecil masukkan 1 cup air dan 2 cup gula pasir. Apabila gula telah sedia larut dan masak;  masukkan 1/2  sudu kecil air lemon/ limau. Kacau rata. Air lemon  untuk menentukan gula tidak menjadi keras. Api dapur perlu dijaga supaya air sirap anda tidak hangus. Matikan api dapur.  Masukkan donut anda kedalam sirap gula dan segera keluarkan( sekiranya lama, donut anda akan diserap terlalu banyak gula). Biarkan donat anda sejuk. Sedia untuk hidangan.

Label:

cucurudang
Cucur Udang adalah makanan ringan yang enak dimakan di waktu petang bersama keluarga. Cucur Udang yang paling enak ialah yang sentiasa ranggup walau ia dalam keadaan sejuk apa tah lagi makan panas-panas. Cucur Udang ini juga boleh digunakan dalam resepi mee goreng mamak,Passembur mamak atau rojak Mamak. Masakan cucur udang yang berlebihan boleh disimpan dan boleh digunakan untuk tujuan masakan lain seperti disebutkan.

Ada juga pengunjung blog ini e-mail kat mamak kenapa blog ini ; perniagaan katering tetapi sejak kebelakangan ini mamak posting banyak menu masakan.Untuk pengetahuan saudara dan saudari yang dirahmati allah, resipi adalah nadi utama dalam kemajuan sesebuah restoren.Resepi pelbagaian di katering terutamanya bagi pengusaha-pengusaha kantin adalah suatu yang mimpi buruk.Kadangkala tukang masak yang digajikan hanya tertumpu pada resipi yang dia tahu.Bayangkanlah kalau kontrak anda satu tahun dengan firma tersebut…tak bosankah yang setiap hari makan di kantin anda…ha..ha..ha..memualkan kalau setiap hari menu hidangan yang sama untuk setahun…..maka sila cuba menu Pulau Pinang yang baru ini..he..he..mudah-mudahan para pengunjung ke kantin anda akan sentiasa tertanya-tanya dihati …apakah menu hari ini?…wasalam.

Cucur Udang Mamak Penang:

BAHAN-BAHAN:

  • 1 Kg  tepung gandum ( 2 sudu besar tepung diasingkan)*
  • 250gm udang sederhana besar untuk diletak atas cucur udang.
  • Segenggam daun kucai dipotong 1″.
  • 500gm taugeh dibasuh bersih.
  • 250gm Udang Kapas (udang kecil halus basah atau udang kering kepal/ geragau yang kering) direndam dan dibersihkan. kisar sehingga halus dengan sedikit air.
  • 1 biji bawang besar (sederhana besar) dihiris halus.
  • 1 paket Yis kering (*Mauripan 11 gm).
  • 1 sudu kecil garam atau ikut kemasinan yang diperlukan.
  • 1/2 sudu pewarna kuning  cair atau 1 sudu kecil serbuk kunyit.
  • 1 kg Minyak masak.

CARA PENYEDIAAN:

1.Masukkan tepung dalam sebuah bekas (perlu menampung tepung yang akan naik dua kali).

2.Masukan Yis kering ke dalam air dicampur 1 sudu kecil gula pasir dan membiarkan 10 minit. Kacau rata yis supaya ia larut. Masukan dalam tepung dan kacau rata.

3.Masukan garam,daun kucai,taugeh,perwarna kuning ke dalam tepung.

4.Masukan lima cawan air kedalam adunan tepung. Adunkan semua bahan sehingga sebati.Tentukan adunan tidak cair sangat atau pekat. Kelikatan sama seperti menyediakan cucur pisang. Sesuaikan kelikatan adunan tepung. Apabila Selesai tutup adunan tepung itu dan biarkan selama 1 jam untuk tepung itu bangkit. Selepas sejam adunkkan kembali tepung dan sedia untuk goreng.

5.Panaskan kuali.Tentukkan api dapur untuk mengoreng cucur tidak terlalu keras.  Api dapur yang memadai. Jangan pula terlalu kecilkan api.Ini akan menjadikan cucur anda akan meresapi terlalu banyak minyak. Hasil Gorengan pertama anda akan memberi keputusan yang anda perlu sesuaikan api dapur anda atau kelikatan tepung. Gorengan pertama mula dengan satu atau dua dulu.

6.Tepung yang diasingkan (2 sudu besar) masukan sedikit air supaya menjadi likat (buat gam). Masukkan udang besar yang telah dibersihkan supaya ia bersalut dengan tepung likat ini (sebagai gam). Ini menentukan udang yang goreng diatas cucur, tidak mudah bercerai semasa gorengan.

7.Cara goreng cucur mempunyai berbagai cara. Untuk gorengan cara mamak adalah cara yang mudah.Gunakan sudip  yang telah dipanaskan dalam minyak selama 5 minit, ambil sebahagian tepung dari bekas tepung dan letakan udang besar (dilumur tepung) diatas tepung yang perlu digoreng. Masukan kedalam kuali.

8.Walau pun masa gorengan tergantung pada size dan kawalan api dapur kebiasaannya sekiranya gorengan cucur sedia masak akan timbul ke atas permukaan minyak gelembong udara akan terhenti. Apabila gorengan bertukar warna kekuningan emas biasanya cucur telah sedia masak. Keluarkan dari kuali dan letakan di atas kertas tisu dapur untuk menyerap minyak yang berlebihan.

CARA PENYEDIAAN KUAH KACANG MAMAK PENANG:

1/2  Kacang tanah.

150 gm Cili Kering

100 gm udang kepas/ popai (geragau kering).

1 biji bawang besar.

2 senduk gula pasir (untuk kuah yang perang gunakan gula merah).

2 sudu tepung jagung yang telah dicaikan dengan sedikit air.

Garam untuk cukup rasa.

CARA MENYEDIAKANNYA:

1. Gorengkan Kacang tanah dan cili kering hingga garing.masukan Udang kering pepai. Awas kerana udang ini terlalu halus pastikan ia tidak hangus. Angkat gorengan itu dan sejukan.

2.Kisar gorengan tersebut bersama air dan bawang besar.Terbaik kacang tanah di masukkan terkemudian untuk daptkan kisaran yang kasarsedikit. Cili kering dan bawang perlu dikisar halus.

3.Panaskan periok masukan bahan kisaran.Masukkan air yang secukup untuk likatan yang dikehendaki. Bila campuran itu mengelegak masukan cairan tepung jagung dan tentukan likatan itu tidak terlalu likat dan jangan terlalu cair.Masukkan gula dan garam secukup.Sedia untuk hidangan.

Nota: Kuah dan cucur yang lebih boleh disimpan untuk membuat mee goreng mamak yang istimewa.Kuah ini juga sekiranya dicairkan boleh digunakan sebagai kuah rojak yang lazat bersama cucur udang, timun dan ubi sengkuang.selamat mencuba.

Segala masalah penyediaan resepi boleh di email:mohd.roslan99@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Nota: Untuk cucur udang untuk passembur Penang baca posting baru.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 8,401,409 hits
Mei 2021
I S R K J S A
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Kemaskini Twitter

Error: Please make sure the Twitter account is public.