PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

Posts Tagged ‘asas perniagaan


Salam, lama juga tak up-date blog. Entah kenapa kesihatan Mamak haji setiap hari merosot sekali. Kemungkinan kepanasan Pulau Pinang semakin hangat. Jangka suhu ketika ini menunjukkan 33 celsius. Panas ini. Klinik kesihatan penuh dengan pesakit batuk dan demam. kemungkinan bahang pilihan-raya umum agaknya. Berita dari Lahat datu lagi panas. Kita doakan semoga askar-askar kita itu sentiasa dalam keadaan selamat.

MARILAH KITA SEDEKAHKAN AL-FATIHAH KEPADA PEJUANG YANG TELAH TERKORBAN MEMBELA KESELAMATAN NEGARA.

Pengorbanan mereka untuk negara adalah sangat besar harap kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan askar kita kepada keselamatan dan kedaulatan tanah Air sentiasa diberi keutamaan. Ini bukan saja untuk yang terkorban dalam insiden Lahat Datu tetapi yang telah berkorban di tangan komunis lebih ramai itu juga diberi ganjaran dan penghargaan yang sama. Kali ini pertama kali mamak haji dah tak larat nak berfikir dan menulis dan buat posting copy dan paste. Ini pun ada sahabat mamak haji hantar melalui e-mail. Memang terbaik artikal ini dibaca dan direnungkan. Harap anda semua baca dan fahamkan. kepada empunya posting ini mamak haji minta maaf banyak- banyak kerana tak dapat minta kebenaraan, tetapi dari nada penulisannya kita tahu beliau ini rela untuk berkongsi demi untuk kemajuan ummah negara dalam bidang ekonomi.

Bisnes & Nikmat Sabar

Ditulis oleh Azzah AR
Assalamualaikum, salam kebahagian buat Tuan Puan pembaca Majalah Niaga yang disayang Tuhan. Semoga sentiasa berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
Seringkali saya ditemukan dengan orang-orang yang begitu ingin menjalankan bisnes sendiri, namun kurang memiliki sifat sabar yang tinggi. Akhirnya, mereka putus asa kerana hasil yang dikehendaki, tidak berada di tangan dalam jangka waktu yang diinginkan dan terus angkat bendera putih – malah ada yang kembali kerja bermajikan!
Kalau diikutkan hati dan emosi lemah, diterjah pula situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, saya sendiri pernah berfikir mahu menutup perniagaan. Apa yang menghalang saya daripada berbuat demikian adalah keinginan bagi mencapai impian kerjaya saya yang terbesar iaitu mengusahakan perniagaan sendiri, dan ketidakinginan untuk kembali bekerja di bawah seorang majikan.. oh tidak!
Apa Yang Membuatkan Saya Bertahan?
Jadi, saya memilih bagi meneruskan perjuangan ini walaupun hanya Tuhan yang tahu betapa dahsyat cabaran bagi mendapatkan job, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi yang merengsakan. Zaman semua orang berkata, “Kami tidak ada duit!”
Ya. Saya hanya bersandar dengan keyakinan terhadap pilihan yang telah saya ambil. Saya amat percaya bahawa bumi ini luas dan Tuhan menyediakan peluang rezeki itu di mana-mana, pada bila-bila masa.
Saya, dan mungkin ada di antara Tuan Puan juga, memulakan bisnes dengan tiada wang simpanan dalam tangan. Atau simpanan cukup-cukup bagi dibuat modal. Tidak mahu dibebankan dengan pinjaman bisnes, atau tidak layak membuat pinjaman. Jadi, tempoh awal bisnes, adalah tempoh yang paling sukar.
Perlu ikat perut, kerana wang yang ada hanya dapat digunakan bagi tujuan bisnes. Lebih-lebih lagi, bagi yang ada tanggungan keluarga, hutang, dan sebagainya. Jujurnya, saya sendiri pernah ada sebuku roti sahaja untuk dimakan selama seminggu. Namun, baca semula perenggan kedua artikel ini, maka saya bertahan dengan tabah.
Apakah yang diperlukan pada waktu-waktu sesak, terutama apabila bisnes baru sahaja hendak bertapak?
Satu kata, ‘sabar’.
Masih Ingat, Bagaimana Kita Boleh Pandai Berlari?
Selepas lahir, daripada berbaring, kita meniarap. Kemudian, kita mula mengengsot perut. Selepas itu, kita merangkak, bertatih, berjalan, dan akhirnya kita pandai berlari.
Kita bersabar dengan kuat dan bertatih dengan gigih. Bangkit, walau terjatuh berkali-kali. Kita melalui proses itu langkah demi langkah, dengan sabar. Jadi hasilnya hari ini, kita sudah mampu berlari, malah melompat dan memanjat!
Lihat kembali, beberapa pengalaman yang pernah kita sendiri alami. Peristiwa yang terjadi atau keputusan yang terhasil, disebabkan ketidaksabaran dan kegopohan kita dalam melakukan sesuatu dan membuat keputusan.
Apakah yang berlaku kepada perasaan kita pada waktu itu? Adakah kita bermurung, menyesal, dan berfikir… ‘Kalaulah….’?
Contoh. Semasa kecil, ibu meminta kita ke kedai membeli gula. Sebaik ibu memberikan wang, kita terus berdesup keluar kerana sukanya kita pergi ke kedai, walaupun ibu berteriak, “Nanti dulu!”
Tiba di kedai, saat tauke bertanya berapa kilo gula yang mahu dibeli? Kita menggaru kepala, kerana tidak menunggu ibu kita memberitahu maklumat lengkap pembelian gula. Kemudian, kita beli gula sekilo, berdasarkan agakan.
Pulang ke rumah, teruk dileteri ibu kerana dia sebenarnya hendak membuat banyak kuih yang ditempah orang, dan memerlukan tiga kilo gula! Waktu sudah lewat, kedai sudah tutup. Akibat tidak sabar, telinga panas dileteri, dan ibu gagal menyiapkan kuih berdasarkan tempahan.
Kalaulah Begitu & Kalaulah Begini
Hanya disebabkan kita tidak mahu sabar walau sedikit! Lalu kita murung, dan berfikir, “Kalaulah saya menunggu arahan ibu tadi, tentu ibu tidak akan rugi dan dimarahi pelanggannya.”
Guru saya pernah berkata, “Perkataan paling sedih di dunia, bukanlah ‘sedih’, tetapi ‘kalaulah’.”
Kalaulah kita bersabar sedikit. Kalaulah kita tidak gopoh. Kalaulah kita tidak membuat sesuatu keputusan berdasarkan emosi pada waktu itu…, tentu… oh!
Justeru, supaya kekesalan itu tidak berulang, ayuh sama-sama kita tingkatkan tahap kesabaran kita dalam bisnes. Rugi sekarang, tidak bermakna akan rugi selamanya. Tiada job sekarang, mungkin ada job yang lebih baik sedang menanti. Ditipu sekarang, boleh jadi Tuhan sedang menunjukkan kepada kita, siapa kawan dan siapa lawan.
Rujukilah rentetan pengalaman tokoh-tokoh bisnes yang cemerlang di negara kita. Mereka tidak sukses dan kaya raya dalam sekelip mata. Ada antara mereka yang sama seperti kita, mengikat perut bertahun-tahun demi menaikkan bisnes. Kesemua tokoh bisnes ini adalah orang-orang yang sabar, dan hari ini mereka memperoleh nikmatnya!
Berita gembira, apabila kita bersabar. Bukan sahaja Tuhan akan anugerahkan nikmat keuntungan dalam bisnes, malah anugerah pahala bagi mendapatkan nikmat penginapan yang terbaik di syurga!
Tuhan mengikut sangkaan kita. Jika kita bersangka baik kepadaNya, maka baiklah yang akan diberikan kepada kita. Jika kita bersangka buruk kepadaNya, maka buruklah jadinya.
Salam kebahagiaan sampai sorga. Jumpa lagi!
iklan

Salam, Mamak haji nak tanya kat taukeh-taukeh restoren, Adakah semua pekerja anda di restoren anda tahu mengenai bagaimana sebuah perniagaan restoren menjalankan perniagaan?. Cuba tanya pada pekerja anda, mereka tahu tak mengenai perniagaan?. Sudah pasti mereka tidak tahu atau tak mahu ambil tahu, “Apa itu Perniagaan”. Bagi mereka cukup bulan dapat gaji sudah!. Ini bukan salah pekerja, bagi mereka kalau tahu pasal perniagaan, sudah tentu mereka dah buka kedai makan. Tak tahulah jadi kuli. Kalau kita fikirkan dari keputusan pendapat pekerja-pekerja ini, sudah tentu mereka pun tak tahu, anda sebenarnya menjalankan sebuah perniagaan. Mamak Haji tanya balik kepada pengusaha restoren, kalau anda begitu bersemangat hendak meningkatkan  jualan harian restoren, bila perniagaan anda semakin hari semakin merundum, bagaimana pekerja-pekerja ini boleh membantu anda?. Akhirnya anda cuma syok sendiri kerana pekerja kita tak faham apa itu perniagaan sebenarnya, walau pun kita faham.  Untuk memahamkan pekerja apa itu perniagaan tak perlulah hantar pekerja itu belajar “business” pulak. Apa yang anda perlu lakukan sebagai pengusaha , ambil sedikit masa dalam setiap minggu untuk sesi taklimat tentang asas-asas perniagaan. Seminggu satu topik, ia perlu berterusan. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Sebelum tutup kedai, panggil pekerja-pekerja anda, belanja makan piza atau McD atau kentucky hahahaha..kalau dua tiga orang oklah tapi kalau ramai suruh tukang masak masakan istimewa. Jamu selera dengan pekerja anda dan mulakan taklimat tentang perniagaan dengan contoh tajuk-tajuk yang mamak haji berikan dibawah ini. Di akhir taklimat asas perniagaan ini, jangan lupa baca doa selamat dan murahkan rezeki, maka ia akan jadi perkumpulan yang diberkati Allah SWT.

1. Keuntungan = Jualan Tolak dengan Perbelanjaan. Sekiranya perbelanjaan lebih dari jualan kita boleh bukak pintu kedai dan tutup. Selepas semua wang tunai habis, kita tutup rapat perniagaan kita dan balik kampung. Perlu terangkan kepada pekerja kita, apa yang kita perolehi dari jualan bukan semuanya untung. Kadang kala ada juga juru wang ini cukup baik, dia akan bocorkan rahsia jualan harian kepada pekerja-pekerja. “Hari ini boss untung bayaklah sampai puluh ribu”. Maka pekerja yang tak faham..biasalah.

2. Perbelanjaan dalan perniagaan ada 2 jenis.  Ia itu tetap dan berubah. Berikan contoh mudah seperti sepinggan mee goreng mamak, semua bahan-bahan untuk menyediakan mee seperti mee, sayur, cucur, minyak dan juga gaji pekerja adalah, “Kos Berubah (tak tetap).”  Kos tetap ialah seperti sewa kedai, yuran astro, yuran lesen perniagaan Majlis Tempatan. Apabila saja mee goreng telah siap kos yang ada pada mee goreng pertama sekali ialah kos tetap.  Bila pelangan bayar duit di kaunter kos berubah akan menyusul. Kalau kita jual mee goreng mamak sepinggan RM3.00 bukan untung RM3.00. Ini kena ingat. Mungkin untungnya cuma RM0.50 saja.

3. Semua bahan masakan, makanan atau minuman yang terdapat dalam restoren adalah seperti wang tunai. Maka setiap barangan ini perlu dijaga dengan baik. Stok yang berlebihan akan membantutkan aliran tunai. Maka setiap gelas air sekiranya pecah semasa basuh sebenarnya anda telah menghilangkan nilai tunai gelas tersebut. Dan berbagai-bagai contoh yang lain anda boleh misalkan.

4. Sebenarnya meningkatkan jualan harian akan lebih menguntungkan dari cuba mengurangkan kos perbelanjaan seperti mengurangkan masakan. Tetapi ramai suka mengurangkan kos dari meningkatkan jualan. Bagi mamak haji suka yang pertama dengan meningkatkan jualan, tapi terpulanglah kepada pengusaha sendiri. Kita perlu punyai kemahiran untuk menangani kedua-dua perkara ini dalam satu masa. Sekiranya ada pekerja yang berminat dan punyai bakat dalam jualan, beri perhatian khas kepada dia.

5. Dalam seringgit ada 20 sen duit syling lima.  Berikan kepada pekerja-pekeja anda suruh mereka bahagikan kepada sewa restoren, gaji pekerja, dan semua perbelanjaan. Mereka akan terkejut apa yang baki tinggal kepada mereka. Pekerja akan lebih memahami diri anda.

6. Beritahu kepada pekerja anda sebenarnya kos mereka adalah lebih dari gaji yang mereka terima sebanyak 30 peratus. Maka setiap RM100 ringgit gaji mereka , tambahan RM30 untuk mereka seperti KWSP, SOCSO, cuti rehat, cuti sakit, pakaian seragam, makanan dan minuman seharian. Sekiranya gaji RM700 sebulan makan tambahan ialah RM210 sebulan. Maka inilah kos pekerja.

7. Di Perniagaan restoren, kos perbelanjaan paling tinggi adalah gaji pekerja. Inilah sebab setiap pekerja selalu diperhatikan oleh majikan.  Produktiviti pekerja amat penting dalam perniagaan restoren. Dengan sebab itu kenaikan gaji dalam perniagaan restoren terlalu kritikal. Kenaikan gaji selalu diberikan mengikut produktiviti pekerja bukanya mengikut tahun berkerja.

8. Peralatan baru dibeli untuk meningkatkan jualan. Untuk beli peralatan perlukan wang, wang mungkin dari kocek pengusaha atau dipinjam.  Peralatan yang terbaik dan dijaga selalunya memberi pulangan pelaburan yang baik. Peralatan bukan saja mudahkan kerja tetapi selalunya menjimatkan tenaga kerja. Penting sekali perlatan di restoren akan meningkatkan jualan yang sedia ada.

9. Kadang-kala kita terlepas pandang pada benda kecil yang terbuang yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dikira mengikut bulanan.  Ini akan mengakibatkan kos tinggi dalam perbelanjaan. Bahan -bahan masakan seperti minyak masak, gas memasak, teh, gula, susu, sabun basu, tisu, air, letrik dan lain-lain yang dibazirkan, walau pun terbuang sedikit tetapi ia kan menjadi jumlah yang besar dan kos terbuang yang banyak. Maka  pada setiap hari barangan ini perlu jaga.

banyak lagi perkara lain kita boleh bincangkan dan beri pengetahuan asas perniagaan untuk pekerja kita dalam taklimat dengan pekerja. Pada pengusaha- pengusaha yang baru buka perniagaan restoren ambil berat tentang perkara ini. Kejayaan sesebuah perniagaan restoren terletak pada berkerja kumpulan atau team work, bukan perseorangan. Mamak Haji harap taklimat seperti  ini anda masukan dalam SOP restoren anda. Wassalam.


Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 8,378,807 hits
April 2021
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Kemaskini Twitter

Error: Please make sure the Twitter account is public.