PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

RESEPI: SOTONG MASAK NASI KANDAR

Posted on: Mac 31, 2011


Hidangan makanan laut dalam resepi nasi kandar, “sotong masak nasi kandar” adalah paling digemari oleh pengemar makanan tempatan. Malangnya masakan sotong nasi kandar yang begitu murah satu masa dulu kini telah menjadi makanan untuk golongan mampu saja. Bukan sotong saja tetapi makanan seperti ikan bilis dan ikan sardin dalam tin tidak termampu oleh golongan pendapatan rendah. Minggu lepas Mamak Haji teringin nak masak sambal ikan masak sardin. Sardin dalam tin yang terbak adalah “cap Ayam” memang keenakan sos tomotonya tak terbanding dengan sardin dalam tin yang lain. Harga sekarang telah mencecah RM6.00 lebih..wow! terkejut Mamak kerana sardin dalam tin masa kecil-kecil adalah untuk golongan pendapatan rendah atau orang kampung yang sukar mendapatkan bekalan ikan air masin segar. Begitu juga dengan ikan bilis yang rangup dan boleh kunyah, sekilo sampai RM30.00. Bayangkanlah. Patutlah sambal ikan bilis dalam nasi lemak, ada peniaga cuma gunakan abuk dan kepala ikan bilis. Tak salah juga peniaga kita nak kekalkan nasi lemak sebungkus RM0.50. Manalah larat penjual itu. Kita tak bising harga barang naik tapi bising pasal nasi lemak dan roti canai harga naik. Yang mangsanya penjual dan ada pihak lepas tangan. Tak ada penjual saja-saa nak naik harga juadah makanan mereka kecuali ada sebab tertentu dan kadangkala terpaksa. Begitu juga dengan “sotong masak nasi kandar ini.  Yang penting anda kalau nak memesan sotong atau udang di restoren nasi kandar  perlu berhati-hati dengan harga.  Baik tanya harga dulu sebelum memesan kerana papan tanda harga di restoren nasi kandaryang tergantung itu, tidak akan ada tanda harga cuma  dengan perkataan, ” Harga Ikut Saiz”. Maka awas yea…!.

Kenapa menu nasi kandar sotong ini mahal?. Ada sebabnya yang kita perlu tahu tentang jenis sotong dan cara masakanya lain dari masakan biasa. Sotong untuk nasi Kandar bukan sebarang sotong. Biasanya Sotong untuk masakan nasi Kandar dipilih dari jenis, “sotong putih yang sarat berisi telur sotong”. Saiz pulak perlu diteliti biasanya yang sedang. Isi sotong putih biasanya tebal, lembut dan manis dari sotong yang jenis warna pink ( sotong yang berwarna merah adalah sotong ais dan sudah dua tau tiga kali disejukan dan boleh dikatakan sotong yang sudah lama). Sotong yang sarat punyai telur sotong, dipilih kerana bentuk asal sotong tidak akan ubah menjadi kempis (leper) bila masak dan telur sotong itu memberi rasa yang enak berlemak dan manis. Masalah sotong yang putih ini ialah, ia cuma ada pada musim-musim yang tertentu. Sekirnya anda ingin dapatkan sotong jenis ini perlu ke pasar basah awal pagi lagi kerana permintaannya tinggi. Di Pulau Pinang tak ada masalah dapatkan sotong jenis ini. Mamak Haji kurang arif tentang pasar di negeri lain. Mamak celoteh banyak sangat tentang sotong ini?. Macam biasalah, mamak haji bukan ingin cuma nak berikan resepi tetapi pemahaman tentang resepi perlu sebelum  kita masak sesuatu resipi. Kalaulah dikatakan inginkan resepi berpuluh ribu blog menulis resepi dalam internet atau beli saja buku resepi pasti hebat. Di sini Mamak haji mahu pengunjung blog ini betul-betul selami apa itu masakan Nasi kandar. Cuma orang Pulau Pinang yang arif tentang apa yang buat nasi kandar itu sedap tetapi di negeri-negeri lain apa yang mereka memahami tentang dari  Nasi kandar ialah satu lagi masakan biasa kari India.

CARA MENYEDIAKAN SOTONG UNTUK MASAK.

Cara bersihkan sotong dalam masakan nasi kandar berlainan sedikit dari yang biasa. Ramai yang tak tahu bagaimana sotong nasi kandar bahagian kepalanya masih bercantum dengan badan sotong dalam masakan nasi kandar. Ada juga yang cucuk lidi untuk mengekalkan keseluruhan sotong untuk mengelak kepala bercerai dari badannya. Cara cucuk lidi itu OK tetapi bila cabut lidi selepas masak nampak hodoh sotong itu seperti kena tikam dan dibunuh..hahaha. Ini sebahagian Tip-Tip membersihkan sotong untuk masakan resepi nasi kandar. Sotong yang beli perlu basuh bersih dahulu. Tarik kepala sotong dengan cermat sehingga anda jumpai pundi dakwat sotong. Dengan cermat keluarkan dan buang pundi dakwat sotong (ia seperti pundi hempedu ayam berwarna kehitaman). Sekiranya pundi dakwat itu pecah dan dakwat hitam percik tidak mengapa. basuh bersih sotong itu. Masukkan kembali kepala sotong kedalam badan sotong dengan cara menekan masuk. Jangan tarik keluarkan tulang belakang sotong itu, nanti lembik pula sotong itu. Rebus sotong sehingga 3/4 masak. Jangan gunakan terlalu banyak air semasa rebus. Tentukan air rebusan sotong ditapis dan disimpan untuk masak. Sekiranya anda tidak dapat sotong yang putih tetapi hitam kemerahan, masukan satu sudu cuka semasa rebusan. kulit sotong yang kehitaman akan terkopek sendiri buat kulit sotong supaya nampak putih.  Jangan rebus terlalu lama sotong anda akan terlalu kecut. Isi sotong akan menjadi tebal semasa masak dan pengecutan tidak boleh dielakan. Maka saiz sotong yang dibeli perlu di ambil kira. Pengecutan selalu berlaku separuh dari saiz asal sotong. Saiz sotong yang terbaik dibeli ialah 5-6 inci dan bila direbus saiz menjadi lebih kurang 3-4 inci.

Resepi sotong nasi kandar yang popular ada dua atau tiga jenis masakan. salah satunya resepi masak sotong masala (kari pekat) atau pun masak kuning pekat atau sotong goreng tepung rangup (kaedah penyediaan tepung sama seperti ayam goreng rempah mamak penang di blog ini). Cara masakan kedua-dua resepi sama cuma masak kuning tidak menggunakan serbuk kari tetapi masak seperti kurmak. Sotong masak masala (kari) lebih popular di luar Pulau Pinang.

RESEPI SOTONG MASAK MASALA (KARI PEKAT) NASI KANDAR.

Sotong Masak Nasi Kandar..

Sotong Masak Nasi Kandar..

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg Sotong putih (sarat telur). Persediaan seperti keterangan di atas.
  • 100 gm rempah serbuk kari jenis daging/ayam. ( 1/2 bungkusan 250gm serbuk kari).
  • 1 biji bawang besar labu (sedang) dihiris. (hirisan bawang untuk masakan resepi nasi kandar perlu di potong menegak bawang atau memanjang).
  • 2 biji bawang labu (sedang) di kisar.
  • Pes bawang putih dan Halia. Pes ini penting dalam masakan nasi kandar. Sila rujuk tulisan mamak yang lepas mengenai bagaimana penyediaan pes ini.
  • 1 tsp serbuk jintan putih, 1 tsp serbuk jintan manis, tsp serbuk kas-kas (tidak kemestian)
  • 1 tsp serbuk cili (tidak kemestian cuma sekiranya ingin lebih pedas, warna kari anda juga boleh bertukar kemerahan yang cantik).
  • 1 tsp gula pasir.
  • kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan buah pelaga (ini digelar garam masala).
  • 2 ranting daun kari.
  • 3 cili merah dibelah dua memanjang.
  • Daun bawang dipotong 2 inci.
  • 75 gm santan pekat atau (4 tbsp yogurt atau 1/2 tin susu cair).
  • Minyak Masak untuk tumis dan Garam secukup.

CARA-CARA:

  1. Bila kuali panas masukkan minyak masak. Bila minyak panas, tumis rempah garam masala ( 4 serangkai). Bila bau haruman naik, masukkan bawang hirisan dan cili merah. Agak hirisan bawang mula bertukar warna keemasan, masukkan pes bawang putih dan halia dan daun kari. Bila mengeluarkan bau haruman(jangan sampai hangus!), masukkan air bawang kisar. (air bawang kisaran adalah cara masak lauk  nasi kandar supaya kuahnya pekat dan tidak ada lapisan air terapung di atas kuah kari bila ia sejuk.).
  2. Bila air bawang mula mendidih (sekiranya anda masak tak tumis betul bawang kuah anda akan berbuih seperti basi apabila ia dihidangkan)  masukkan serbuk kari, serbuk jintan putih, jintan manis dan kas-kas. Tambahkan air rebusan sotong yang telah ditapis. Kacau rata biarkan kuah mendidih dan menjadi pekat sedikit. Masukan santan pekat atau susu cair mengikut selera anda. Kuah jangan terlalu pekat semasa memasak kerana ila sejuk kuah akan semakin pekat. Tunggu hingga kuah mendidih. jangan terlalu didihkan kuah anda kerana kalau santan ia pecah minyak kalau susu ia akan bergentel.
  3. Masukkan sotong yang telah rebus dan sehingga sotong itu masak 1/4 bahagian lagi. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Masukan hirisan daun bawang. Kacau serata. Sotong tak perlu masak terlalu lama. Sekiranya kuah anda pekat tambahkan air rebusan sotong. Pastikan kuah tidak terlalu cair. Mamak haji tidak dapat beri sukatan yang tepat mengenai kepekatan kuah ini. Ikutlah kepekatan kuah mengikut selera anda. Kalau anda tidak mahu rasa kari terlalu kuat kurangkan rempah kari. Hidangan ini biasanya untuk 12 orang. Selamat mencuba. Sekiranya ada masalah e-mail kepada mamak haji: mohd.roslan99@gmail.com.
  4. Nota: Sayang gambar sebenar masakan resepi tiada..walau macam mana pun mamak cuba usahakan nanti.

8 Respons to "RESEPI: SOTONG MASAK NASI KANDAR"

as salam. 5tahun lepas arwah suami ajak saya makan nasi kandar di Mydin mall k.terengganu…saya tanya dia sedap ke? Dia jawab ..try lah dulu. So, saya order nasi + sotong kari ( ms tu xtau ape nama masakan tu )+ ayam berempah + acar. Bila duduk an start makann….saya senyum panjang dan arwah suami pun senyum. Maka, sehingga hari ni bila pergi ke Mydin Mall tu sy mmg akan makan nasi + sotong masala walaupun sorang2. Suka sangat bila dapt resepi ni…tq

Salam, terima kasih kerana berkongsi peristiwa silam. Semoga arwah dicucuri rahmat Allah swt.Ya, Allah, Ampunilah dosa sekalian orang-orang Islam dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia dengan rahmat Engkau, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya ALlah! Sesungguhnya kami memohon pemeliharaanMu dan kami menyerahkan kepadaMu agama kami, diri kami, keluarga kami, anak-anak kami, harta-harta kami dan segala yang telah Engkau kurniakan kepada kami.amiin.

Aminnn..ya rabbal aalamin. Sebenarnya sy br balik dr majlis tahlil bekas mertua sy ( bapa arwah suami sy ) yg baru meninggal semalam.
Hr ni jugak sy try masak kari ikan bawal resepi mamak haji. ummphh…mmg kena selera lah. Saya nak mintak izin mamak haji untuk saya masak resepi ni dan hidang dan jual kat restoran saya…..terima kasih.

Duk cari idea nak masak sotong, sekali terjumpa blog mamak.
Teruja nak buat sotong nasi kandaq ni, pasai saya & cik abg memang kaki nasik kandaq. Tapi tak boleh pekena hari-hari, koyak poket.

Ingat nak try buat harini, lepaih tu, duk klik merata dalam blog mamak, baca tips lah, banyak info sungguh. Ralit duk baca, baru perasan hari dah gelap nak hujan. Kalut keluaq pi petik daun kari =)

Nak tanya, mamak ada bukak kedai ka?
kalau ada, tang mana?
Kat kedai, ada juai Kari Itik dak? Payah nak cari, hat duk ada, kadang tak berapa nak syok. Tak sedap..
Mak buyung lagu ni laaa, teringin macam-macam..

Panjang pulak komen saya.
Semoga Mamak terus memberi ilmu yang bermanfaat kepada semua, Amin..

Salam cheq, depa kata lauk itik ini kat permatang pauh sebelah mesjid itu terbaik. Mamak Haji tak makan itik..hehehe!.kesian kat mak buyung..try kat Permatang Pauh ada jual lauk itik depa kata memang bagui..insyallah!.Dulu mami rajin juga masak kari ayam pirus..untuk anak-anak. Lah nie anak-anak dah besaq tak duk sama. Mami pun lama tak buat dah. Cuba cheq masak ikut kari ayam ala nasiq kandaq mungkin org dlm perut itu teringin lauk mamak kot?…hahaha!.Mamak dah pencen dari berniaga..cukuplah apa yang ada..anak-anak ada juga berniaga. Tapi mamak haji tak berani rekomen..depa budak-budak nak cepat pakai BMW..lainlah kita org lama beca pun jadi nooo!.Terima kasih banyak cheq singgah dan letak komen. Panjang tak apa..mamak haji suka baca!.Mamak haji doakan keselamatan dan kesihatan cheq dan keluarga sentiasa terpelihara Allah SWT.Kirim salam hormat kat suami cheq.Wassalam.

terima kasih atas kemurahan hati mama haji

Alhamdullilah. teringin nak masak . terasa di tekak rasa kari sotong. lama x pi penang. nak cuba. tumpang copy ya Mamak Haji. terima kasih

Semoga mamak aji diberkati hidup…..aminnn

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 8,887,163 hits
Mac 2011
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031