PERNIAGAAN KATERING & RESTOREN

RESEPI: AYAM MASAK LEMON BERMADU.

Posted on: Mac 15, 2012


Kali ini mamak haji ingin berkongsi satu lagi resepi dari mamak haji. Resepi ini sebenarnya adalah kegemaran anak-anak mamak haji.  Resepi ini pasti akan disukai kanak-kanak kerana warnanya menarik dan ia berasa lemon dan rasa manis madu.  Sembang pasai madu ini, 90 peratus madu yang yang dijual di pasaran adalah madu tiruan. Madu yang asli sukar diperolehi kerana madu lebah ini pun  sudah tak produktiviti seperti dulu. Madu tiruan ini amat mudah untuk dibuat. Gula pasir tanpa air panasskan, bila gula ini bertukar kepada kramel (coklat), masukkan air sama sukatan dengan gula dan masak gula sehingga pekat. Seperti kita ketahui apabila air gula ini sejuk ia akan menjadi keras. Untuk  mengelakan air gula ini tidak keras, disinilah air lemon memainkan peranan. Perahkan air lemon kedalam air gula dan kacau. jadilah ia sama sama seperti madu. Madu asli semut tak hinggap, tapi madu dari gula pasir ini jangan dedahkan, semut buat sarang nanti. Madu asli juga sukar untuk larut dalam air tetapi madu ciplak ini kalau masukan dalam air ia terus larut.  Takat nak berniaga kalau guna madu asli…kena bela madu lebah.  Jadi buat madu tiruan dan simpan. Jangan pulak ada yang tahu rahsia madu tiruan ini, pii jual kat pasar malam. Berdosa berniaga cara menipu ini. Kalau yang berniaga ayam masak madu..bila pelangan tanya, “ini madu asli kah?”. Anda perlu senyum dan buat tak dengar. Pelangan ini pun satu hal juga, kalau madu asli seketul ayam jual RM2.50 boleh untung kah?. Kalau RM5.00 terkejut biawak pulak, ” oii mamak mau cepat pii India kah?”. Mereka seperti ini,  Kalau kena tipu “jamu kuat” sanggup beli RM10.00 segelas, ini seketul ayam RM2.50 merungut nak madu asli!. Resepi Ayam Masak Lemon Bermadu ini, mamak haji rasa pelik dan janggal kerana yang mamak haji tahu “Lemon mana ada Bermadu”, yang suka bermadu ini “orang tua-tua yang  miang keladi”. Tanya Bung Sarawak. Jangan tanya mamak haji tak ada pengalaman bermadu-madu ini. Berbulan madu pun di Pulau Pinang saja sambil masak ayam masak madu kerana layan katering kawan baik..hehehe!.

RESEPI AYAM MASAK LEMON BERMADU:

BAHAN-BAHAN:

  • 8-10 ketul ayam. (kalau nasi kandar jangan lupa saiz ketul ayam. Berat ayam perlu 1.6-1.8kg dan dipotong 10 bahagian. Ini bermakna, 2 peha, 2 atas peha, 2 dada, 2 dari belakang dan 2 kepak. Kalau saiz ketul ayam kecil, ia bukan masakan nasi kandar tapi masakan tom yam. Bila anda membeli ayam di pasar beritahu peniaga ayam, potong sepuluh nasi kandar sekiranya di Pulau Pinang. Di negeri lain beritahu potong sepuluh peniaga akan faham. Masa dulu potong 12 boleh tapi sekarang ini berat ayam dikira kepala, kaki dan isi perut, maka tak jadi kalau potong 12. Bersihkan. Peramkan dengan serbuk kunyit dan garam untuk digoreng.
  • 2 sudu besar (tbsp) serbuk cili.
  • 1 sudu kecil (tsp) serbuk jintan putih.
  • 1 sudu kecil (tsp) serbuk jintan manis.
  • 1/2 sudu kecil (tsp) serbuk kunyit.
  • 1/2 sudu kecil (tsp) serbuk lada hitam.
  • 3 biji bawang sederhana besar (dikisar dengan satu cawan air).
  • 2 biji bawang sederhana besar dihiris halus memanjang. (hiris bawang ada 3 jenis: 1. Melintang 2. Memanjang 3. potong dadu. Masakan nasi kandar biasanya dihiris memanjang dari atas kebawah supaya bila digoreng ia tidak berpisah dari kelopak).
  • 2 sudu besar pes halia bawang putih.
  • 3 kuntum bunga lawang, 5 biji buah pelaga, 5 biji cengkih dan 2 keping kayu manis 1 inci.
  • 1/2 sudu kecil garam masala ( tak dimestikan, sekiranya ada).
  • 3 sudu besar pati oren atau sunkist.
  • 1 biji lemon. (1/2 buat air perahan dan 1/2 lagi untuk hiasan).
  •  daun pandan (dipotong panjang 3 inci – 2 helai).
  • 1/4 sudu kecil pewarna “merah oren”.
  • 6 sudu besar gula pasir.
  • Garam secukup rasa.
  • Madu untuk glazing (mengilatkan).

CARA MEMASAK:

1. Daging Ayam yang telah peram (selama 15 minit) digoreng dengan minyak masak dengan 3/4 masak. Jangan garingkan sangat, nanti isi ayam terlalu liat. Di tepikan.

2. Panaskan kuali, masukkan minyak masak 3 sudu besar, bila minyak panas, masukan rempah 4 serangkai (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan cengkih), masukkan daun pandan, masukkan bawang dihiris sehingga bawang bertukar warna kepada kuning keemasan.

3. Sederhanakan api dapur, masukan pes halia bawang putih, diikuti serbuk cili, serbuk jintan putih dan jintan manis. Bila haruman menusuk hidung, masukkan air kisaran bawang. Sekiranya ingin berkuah tambahkan air. Besrakan api dapur. Biar bawang kisaran masak bersama dengan rempah-rempah. Sekiranya air bawang ini tidak masak secukup, bila hidangan yang siap masak dihidangkan kuah anda akan berbuih seperti basi. Ia sama seperti anda masak lain-lain hidangan nasi kandar menggunakan air bawang sebagai kuah, air bawang perlu masak secukup. Inilah rahsia masakan nasi kandar yang menggunakan air bawang sebagai kuah. Masakan Cina gunakan tepung jagung sebagai pemekat kuah tetapi nasi kandar gunakan air bawang sebagai pemekat kuah pekat dan masakan Indonesia pula menggunakan buah keras sebagai pemekat kuah. Masakan Melayu pula gunakan kerisik sebagai pemekat kuah. Lain padang lain belalang, lain orang lain ragam..hahaha!.

4. Bila kuah sedang mendidih masukkan ketulan ayam yang telah goreng masak 3/4. Masukkan gula. Kecilkan api bila kuah mula pekat.

5. Masukan pewarna merah oren (Orange Red) bukan pewarna kuning telur. Masakan Nasi kandar gunakan pewarna ini. Ia berbentuk serbuk dan sebotol cuma harganya RM2.00. Goreng ayam berempah mamak atau nasi tomato, atau kuah rojak, kuah passembur, inilah pewarnanya. Masak ayam sehingga masak keseluruhannya. Bagaimana anda tentukan ayam anda telah masak sempurna. Bahagian ayam yang lamabat masak ialah peha ayam. Bila peha ayam masak, setkin kakinya nak atas atau berlubang pada urat bahagian bawah menunjukan ayam anda telah masak sempurna. Matikan api dapur. Masukan perahan air lemon dan air pati oren atau sunkist untuk mendapatkan wangian semula jadi.

6. Keluarkan ayam dan hidangkan di atas pingan hidangan. Tuangkan madu dengan mengggunakan sudu atau brus ke atas permukaan ketulan ayam (glazing). Selamat mencuba.  e-mail mamak haji: mohd.roslan99@gmail.com.

Nota: Kepada bloger-bloger yang berkunjung ke blog mamak haji. Cuba anda beri satu nama yang baru bagi resepi ini dan hidangkan dengan lebih menarik sekiranya anda masukkan dalam blog anda. Mamak haji pernah ke satu, dua blog yang mengambil resepi mamak haji dan mereka ini menamakan dengan nama yang lebih menarik dan hidangan mereka paparkan pun berpuluh kali baik dari mamak haji. Mamak Haji ucapkan taniah kepada bloger-bloger ini terutama kepada   http://wattieshomemadecakes.blogspot.com yang rajin cuba resepi mamak haji dengan gaya tersendiri. Terima Kasih chek!. Lain kali makan “Masala Thosai” ajak Mamak Haji & Mami sekali..hahaha!. Sekurang-kurangnya Masalah nak buat posting baru untuk pembaca dalam blog boleh dikongsi bersama. Walau pun mamak haji sering kunjung ke blog anda semua tetapi maklum sajalah wordpress sukar beri laluan untuk komen di blogspot. Mamak haji halalkan dunia akhirat kepada semua pembaca atau pun blogger-blogger, ambil apa saja tulisan yang terdapat diblog mamak haji ini, tetapi kepada blogger mintak tolong perbetulkanlah ejaan terutama ejaan bahasa Melayu -60-an  mamak haji ini bila posting dalam blog anda. Biar kita suburkan ilmu masakan dan Ilmu perniagaan berkaitan ini kepada pembaca Bahasa Melayu yang dahagakan Ilmu ini di mana saja mereka berada. Wassalam.

4 Respons to "RESEPI: AYAM MASAK LEMON BERMADU."

Assalamualaikum wbt, Mamak,
Patutla dok rasa macam ada orang dok pangge nama cheq, rupanya MamakHaji yg dok sebut sebut, hehehe. tkasih Mamak pasai masih ingat kat cheq. Cheq sebenaqnya ni dok gelak besaq bila baca tulisan Mamak pasai madu asli, nampak gayanya cheq pun tekena jugak, masa beli bukan main depa dok promote kata madu asli, alih2 semut pon mai tumpang sekaki……

Psst : Mamak, cheq mmg nampak kelibat mamak dok ronda mai rumah cheq, hehehe, tkasih. Lain kali nak singgah kat restoren Mamak pulak nak pekena puri yg ada inti kat dalam kegemaran saya, ada ka???. Huisshhh, dah panjang melalut ni, macam besa la, resepi kat ataih tu cheq kopipes dulu buat pekasam, ada masa nak try, tks Mamak, jasamu dikenang……wasalam..

Mualaikum Salam waramuttullah,
Tak tahu cheq suka makan puri..heheh!. Posting akan datang mamak haji keluarkan resepi puri yang mudah dan cepat khas untuk cheq..insyallah!.Terima kasih singgah dan komen di blog mamak haji.Wassalam.

Assalammualaikum Mamak haji, saya suka resepi yang dikongsikan disini minta izin saya nak kongsikan kat blog saya pula…org Penang mai dok merantau ni memang suka mkn nasi kandaq..hehe

Jemput mamak haji singgah blog saya disini http://Nurniezza.blogspot.com

Mualaikum Salam..ambil saja apa yang chek perlukan..di masa akan datang tak perlu mohon lagi..mamak haji beri kebenaran untuk ambil saja yang molek dari blog ini. Ilmu adalah kurniaan Allah, Ia perlu manfaat kepada manusia dan apa saja ciptaan Allah, maka berkatlah Ilmu yang dipelajari itu.Dengan ini Mamak Haji juga menghargai dan ucapakan terima kasih kepada Chek kerana sentiasa memberikan Ilmu yang manfaat kepada pengunjung di blog Chek. Semoaga Allah SWT akan memberikan ganjaran pahala dan berkati Chek.amiin. Wassalam.

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog ini adalah catatan pengalaman dalam bidang Restoren, Katering dan Kantin Perusahaan. Tujuan blog ini adalah membantu para usahawan Melayu yang sedang atau pun berminat dalam perniagaan ini.

Kategori

Top Rated

Archives

Blog Stats

  • 8,887,793 hits
Mac 2012
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031